Antara Cabaran, Halangan Hukuman Sebat Kes Syariah


_r9903the200_2-1

PELAKSANAAN hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik dalam masyarakat di negara kita. Polemik ini terhasil kerana tidak faham mengenai pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat mengikut undang-undang syariah. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebat syariah ini sering kali disamakan dengan sebat undang-undang jenayah sivil.

Mungkin juga kerana istilah digunakan terlalu menggerunkan, iaitu sebat. Namun hakikatnya hukuman sebat syariah ini hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan. Apakah benar hukuman sebat syariah ini tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Kesalahan jenayah syariah yang membawa kepada hukuman sebat berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Banyak negeri tidak memakai undang-undang seragam yang diluluskan Majlis Raja-Raja berkaitan undang-undang kesalahan jenayah syariah. Namun begitu, hukuman sebat maksimum yang boleh dikenakan tidak melebihi enam kali sebat.

Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius, sebat syariah bukanlah bagi kesalahan yang serius saja. Ia termasuk kesalahan berkaitan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan lain.

Alat untuk menyebat tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan diperbuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Sebelum hukuman sebat dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh Pegawai Perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman berkenaan.

Sekiranya pesalah hamil, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran.

Hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat seperti diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi maksud itu.

Cara sebat:

Orang yang dilantik melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang. Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.

Selepas mengenakan satu sebat, dia hendaklah mengangkat alat sebat itu ke atas dan tidak menariknya.  Sebat boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk.

Jika ketika hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebat, sebat itu hendaklah ditangguhkan sehingga pegawai perubatan itu memperakui bahawa pesalah sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

Masa pelaksanaan hukuman

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman penjara, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.

Sebat itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

Kanun Acara Jenayah 1998 (CPC)

Kanun Acara Jenayah 1998 ini terpakai kepada sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Sivil. Sebatan jenis ini agak berlainan dengan sebat syariah. Sejarah hukuman sebat di Malaysia sebenarnya tidak berakar umbi daripada Islam.

Ia bermula kerana diperkenalkan oleh Britain. Apabila Negeri-Negeri Selat terbentuk, maka undang-undang jenayah Inggeris juga terpakai. Di Malaysia, ada lebih kurang 50 orang yang diberi kuasa untuk melakukan sebat.

Sebelum 2005, bagi setiap sebat, tukang sebat itu menerima RM3. Selepas 2005, kadar itu dinaikkan kepada RM10 setiap sebatan. Di Penjara Kajang sebatan dilakukan setiap Rabu dan Jumaat.

Halangan dan cabaran

Sebenarnya tidak wujud halangan besar melaksanakan hukuman sebat ini. Namun begitu ada beberapa aspek yang perlu ditekankan bagi melicinkan pelaksanaan hukuman sebat. Antaranya:

Tidak faham mengenai pelaksanaan hukuman sebat. Antara isu yang ditimbulkan ialah bolehkah pesalah wanita dihukum sebat seperti sekatan di dalam undang-undang sivil. Bagaimana jika wanita itu hamil?

Halangan wanita dijatuhi hukuman sebat hanyalah wujud di dalam CPC yang hanya terpakai kepada prosiding jenayah di mahkamah sivil. Perkara ini dapat difahami kerana sebat di dalam undang-undang sivil membawa kepada kecederaan yang amat ketara. Oleh yang demikian ia dikhususkan kepada orang lelaki saja.

Tiada peruntukan khusus yang melarang hakim syarie menjatuhkan hukuman sebat terhadap wanita. Hakim syarie pula perlu bijak dengan menangguhkan hukuman sekiranya pesalah wanita itu hamil. Hukuman sebat boleh ditangguhkan selepas dua bulan bersalin. Sekiranya dijatuhkan juga hukuman sebat, maka hakim syarie boleh mengeluarkan bon kepada pesalah sehingga wanita itu melahirkan anak.

Persediaan melaksanakan hukuman sebat. Saya difahamkan semua pegawai penjara yang melaksanakan hukuman sebat sudah dilatih menjalankan hukuman sebat syariah. Mereka sudah bersedia melaksanakan tugas mereka, namun tiada pelaksanaan dilakukan melainkan di Kelantan.

Hukuman sebat dikenakan tetapi pemenjaraan tidak dihukum.

Perkara ini sebenarnya sudah pun dikanunkan. Dalam hal pesalah itu dihukum sebat saja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman sebat dilaksanakan.

Hakim syariah juga boleh menggunakan ‘judicial creativity’ dengan mengeluarkan bon jaminan kepada pesalah sehingga pelaksanaan hukuman sebat itu.

Adakah hukuman sebat syariah sama dengan sebat sivil?

Ngeri melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat syariah. Ramai yang menyamakan sebat sivil ini dengan sebat syariah. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat.

Undang-undang berkaitan dengan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman sebat berbeza antara negeri. Lebih banyak kesalahan sepatutnya boleh dikenakan hukuman sebat.

Sebagai contohnya denda di dalam kes khalwat tidak mampu membendung gejala sosial ini yang semakin berleluasa.

Walaupun memang ada peruntukan kesalahan, hukuman sebat amat jarang dijatuhkan melainkan di Kelantan dan Pahang. Oleh yang demikian pelaksanaan hukuman ini belum lagi diuji sepenuhnya.

Ada banyak bantahan diutarakan daripada ahli akademik, aktivis hak asasi manusia dan peguam terhadap hukuman sebat ini. Majlis Peguam sudah meluluskan satu resolusi yang menegaskan bahawa sebat itu adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan amat menyeksakan. Majlis Peguam mendesak kerajaan menghapuskan hukuman sebat.

Hukuman sebat syariah agak berbeza dengan sebat sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya.

Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi yang berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya.

Malah hakim-hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak.

Penerbit MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 25, 2009.

 
%d bloggers like this: