Bertafakur Mengingati Mendiang, bakar lilin Untuk Orang Kafir Tersasar Budaya Islam


_r9903the200_2

Kisah lilin dan protes aman terhadap sesuatu perkara seakan sudah sinonim. Ketika bersekolah dulu, setiap kali sambutan hari guru, kami akan melukis gambar di papan hitam lakaran lilin dikelilingi bunga-bungaan simbol guru yang membakar diri menerangi insan lain.

Atau kata mudah, guru berkorban jiwa dan raga untuk mendidik anak bangsa menjadi pandai dan fasih berbahasa Inggeris sebagai contoh. Di sesetengah negara orang memprotes dengan lebih berani dan tegas ialah dengan menjadikan dirinya lilin dalam erti kata sebenar membakar diri.

Ia umpama luahan rasa paling melampau dibuat oleh golongan yang memprotes. Di Malaysia hanya lilin sebagai galang ganti, asal niat itu sampai. Lilin dalam banyak upacara pelbagai bangsa sebagai menunjukkan kesucian dan rasa terharu yang teramat sangat kepada sesuatu keadaan dan peristiwa.

Bagi orang Muslim lain pula caranya iaitu kita berdoa dan terus berdoa, beristikharah dan tiada istilah bertafakur. Upacara Karwa Cauth dalam budaya etnik India misalnya api yang dimasukkan dalam bekas kecil akan dihanyutkan ke sungai menandakan kasih isteri kepada suami yang suci selain puasa sebagai tanda pengorbanan.

Api nyata adalah simbol suci budaya dan agama yang bukan daripada Islam. Kesedihan dan kepiluan juga kegembiraan dilambangkan oleh nyalaan lilin. Apabila menyambut hari jadi yang bukan budaya Melayu dan Islam, orang akan meniup lilin menandakan berapa banyak usianya sudah padam dan orang ramai akan berebut makan kek yang ditiup dengan hembusan penuh keghairahan diri yang semakin tua.

Lilin dalam konteks ini jelas satu peringatan kepada diri dan orang ramai, namun lilin yang dipasang kerana protes terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kematian seseorang yang dianggap disebabkan sesuatu sebab yang hanya Tuhan yang tahu, perlu dirasionalkan oleh pemimpin Islam dan Melayu.

Penerbit Mutiara Islam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 25, 2009.

 
%d bloggers like this: