Syaaban, Antara Kiblat Dan Tekad


_r9903the200_4

SYAABAN membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah s.a.w diangkat sebagai pesuruh-Nya, baginda mengekalkan nama itu – kekal sehinggalah sekarang. Rasulullah s.a.w telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadis baginda. Di antara hadis yang paling masyhur ialah Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabat baginda.

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang amat banyak.” (petikan daripada kitab Raudatul Ulama)

Bulan Syaaban adalah bulan mulia, iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab – padanya Nabi Muhammad s.a.w dianugerahkan perjalanan Israk dan Mikraj dan bulan Ramadan di mana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadan, salah satu daripada rukun Islam yang lima dan mulia. Ketiga-tiga bulan tersebut saling dihubungkait secara rapat – orang yang menyucikan badannya pada bulan Rejab, maka ia akan menyucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang menyucikan hatinya pada bulan Syaaban akan menyucikan rohnya pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan daripada segala dosa, dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati daripada segala cacat cela, manakala bulan Ramadan untuk memberi cahaya penerangan kepada hati, sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Peristiwa paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah s.w.t telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ke Baitullah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat, al-Bara’ bin Azib, maksudnya: ”Selepas Rasulullah sampai di Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan.”

Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam Masjid Qiblatain ketika Rasulullah s.a.w sedang menunaikan solat Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah dengan memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu turunlah ayat 142 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah, dalam bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah s.w.t untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah s.w.t. Ini kerana Rasulullah sudah sedemikian lama mengangkat atau menadah tangan baginda, berdoa dan memandang ke langit, memohon pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah s.a.w itu telah diperkenankan oleh Allah s.w.t pada bulan Syaaban.

Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulaang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka ke arah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada tuhan mereka, dan Allah s.w.t tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Oleh sebab bulan Syaaban adalah di antara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tertentu dan tersendiri, maka wajar sekali usah kita biarkannya berlalu begitu sahaja tanpa mengerjakan amal-amal soleh yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Di antara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan oleh kaum Muslimin sepanjang bulan Syaaban adalah seperti yang berikut:

– Berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Aishah r.a, katanya: “… Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan genap, sesuatu bulan melainkan bulan Ramadan, dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban.”

– Banyak melakukan amalan bagi meningkatkan ketakwaan dan ketaatan.

– Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah s.w.t dan melakukan ketaatan kepadanya dan menahan diri berbuat maksiat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memberi keamanan kepadanya daripada kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya.”

– Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca al-Quran, beristighfar, berzikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan daripada bulan Syaaban, hatinya tidak akan mati, manakala hati-hati orang lain mati.”

– Memperbanyakkan sembahyang- sunat seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi.

– Bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim.

– Melakukan amal-amal kebajikan serta memohon keampunan kedua-dua ibu bapa.

– Memohon restu ke hadrat Allah s.w.t bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

– Memohon restu ke hadrat Allah s.w.t semoga terhindar daripada segala bala bencana, malapetaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, Muslimin dan Muslimat, bangsa dan negara.

– Berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t di setiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengkehendaki (dengan amal usahanya) mendapat manfaat di akhirat, Kami akan memberinya tambahan pada manfaat yang dikehendakinya dan sesiapa yang mengkehendaki (dengan amal usahanya) kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan memperoleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (al-Syura: 30)

Penerbit, Mutiara Islam Online

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 28, 2009.

 
%d bloggers like this: