Mengapa Mesti Radikal?


Indonesia Explosions

Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, radikalisme agama pada umumnya berakhir dengan kegagalan, apalagi jika falsafah yang digunakan adalah berasaskan kebencian dan fanatisme. Menempuh jalan radikal sama maknanya dengan harakiri, suatu perbuatan yang hanya mungkin dilakukan oleh golongan yang ‘sesak nafas dan pendek akal’ kerana tidak berani hidup secara berimbang dan harmoni.  Berfikir secara radikal itu adalah cara berfikir manusia pengecut.

Padahal, al-Quran itu amat menitikberatkan kehidupan yang sejahtera dan aman damai. Bagaimanapun, golongan ini lebih memilih kecelaruan daripada ketenangan, lebih memilih kematian daripada kehidupan.

Amat dikhuatiri bahawa radikalisme atas nama agama adalah sebagai petanda pengecut dalam menghadapi kehidupan yang sentiasa menuntut kita mengisi atau memaknakan alam ini dengan suasana sejahtera, makmur dan penuh kesederhanaan.  Kita seharusnya menggunakan akal batin yang sihat lagi waras untuk bersama-sama mencipta satu suasana kehidupan yang ceria dan harmoni, terbuka, serta lapang dada. Bukan kehidupan gelap, tertutup dan jelek. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w diutus Allah s.w.t untuk membawa rahmat bagi semesta alam?

Membunuh dalam apa jua keadaannya, jika tidak disertai alasan yang dibenarkan oleh Islam, merupakan suatu kejahatan mahupun yang amat keji dan sukar diampuni Allah s.w.t. Hal ini demikian kerana seorang yang membunuh tanpa syarie bererti dia telah menghancurkan ciptaan Allah s.w.t, memutuskan rahmat-Nya, sekali gus memutuskan silaturahim, dan memutuskan rantaian kehidupan alam ciptaan-Nya.

Dalam hal ini, Rasulullah mengingatkan menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan diadili di hadapan Allah di hari kiamat adalah masalah darah (pembunuhan).” (Riwayat Bukhari, Muslim, an-Nasa’i Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Allah s.w.t menetapkan bahawa membunuh seseorang manusia yang dilakukan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarie, maka baginya sama dengan membunuh seluruh umat manusia. Sebaliknya, sesiapa yang memelihara dan menyayangi kehidupan seseorang manusia, maka sama dengan memelihara dan menyayangi kehidupan manusia seluruhnya.

Itulah ketetapan daripada Allah s.w.t, Pencipta dan Penguasa alam semesta. Betapa indah dan adilnya Allah s.w.t dalam menetapkan aturan bagi makhluk ciptaan-Nya, iaitu suatu ketetapan yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang teramat tinggi.

Islam mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian, dan kebahagiaan hidup masyarakat lain. Hal ini demikian kerana dalam suasana hidup yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian, manusia akan lebih mudah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Oleh sebab itulah Allah s.w.t melarang hamba-Nya menumpahkan darah.

Allah s.w.t. menegaskannya menerusi firman-Nya yang bermaksud: “… dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah s.w.t (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahami.” (al-An’aam: 151)

Sebagai seorang yang beriman dan sentiasa mengharapkan pertolongan Allah s.w.t, emosi seharusnya dikendalikan oleh kekuatan akal yang sihat.

Peristiwa pengeboman dan pembunuhan yang berlaku di merata dunia, apa pun motif dan siapa yang melakukannya, ia tetap merupakan suatu tindakan yang tidak beradab dan bertentangan dengan nilai-nilai agama serta nilai kemanusiaan sejagat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jauhilah olehmu tujuh perkara yang merosakkan.” Nabi kemudian menunjukkannya satu persatu dan salah satu daripadanya ialah, “membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah s.w.t kecuali dengan dengan alasan yang benar.”

Islam tidak sahaja menghukum berat para perlaku pembunuhan yang tidak didasari oleh peraturan Allah s.w.t dan Rasul-Nya, bahkan menghukum orang yang bersubahat, termasuk orang yang menyaksikannya tetapi tidak menghulurkan pembelaan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jangan sampai terjadi seorang di antara kamu berdiri di suatu tempat yang di situ dilakukan pembunuhan terhadap seseorang dengan penganiayaan. Hal ini kerana laknat akan turun kepada orang yang menyaksikan, sedangkan dia tidak mahu membelanya.” (Riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Jika kita ingin melihat masa depan dunia Islam yang cerah, satu-satunya jalan terbaik adalah berusaha dengan bersungguh-sungguh menguasai sumber-sumber kekuatan pihak lain, seperti penguasaan ilmu dan teknologi. Umat Islam jauh tertinggal di bidang ini sehingga kita kehilangan kekuatan dalam hal-hal pengurusan duniawi.

Umat Islam di negara ini seharusnya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita sekarang. Ketidakpuasan hati atau apa sahaja istilahnya harus diselesaikan dengan cara berhemah dan ‘berakal dan berbudi’, bukan menimbulkan kecelaruan dan huru-hara yang membuat rakyat berada dalam keadaan bimbang, takut, dan curiga.

Penerbit, Mutiara Islam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 30, 2009.

 
%d bloggers like this: