MEMBENDUNG MUSIBAH WABAK SELSEMA BABI


4f6a24f3275501b865a8de9e9bd51d44-grande

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa bagi memastikan kita tidak terjebak dengan perbuatan menderhaka kepada Allah dan menzalimi sesama manusia. Mudah-mudahan kehidupan kita terselamat daripada musibah dan tidak terkena kemurkaan Allah.  Memandangkan musibah selsema babi atau H1N1 mula menyebabkan peningkatan kematian di negara ini, maka Minda Penerbit Siri Ke 25 ini menekankan tentang tajuk: “Membendung Musibah Wabak Selsema Babi”

Pada 29 April 2009,  Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah meletakkan wabak Selsema Babi kepada kedudukan tahap kelima (5).  Kemudian pada 11 Jun 2009 Pertubuhan Kesihatan Dunia telah mengisytiharkan peningkatan amaran dari tahap 5 ke tahap 6 iaitu tahap di mana virus telah merebak secara berleluasa di beberapa negara, sukar untuk dikenalpasti rangkaian pemindahan wabak dari manusia ke manusia dan menandakan penularan berterusan  tidak dapat dielakkan lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan Bilik Gerakan Pencegahan Penyakit Menular Kebangsaan semenjak 26 Jun 2009 bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negara. Sehingga 29 Julai 2009 sebanyak 1,124  kes berkaitan Selsema Babi dapat dikesan. Dari jumlah ini didapati sebanyak 574 kes adalah berpunca daripada luar negara dan 554 kes lagi berpunca dari dalam negara sendiri. Setakat ini 4 orang dilaporkan telah meninggal dunia di negara ini.

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Tanda-tanda utama selsema babi ialah apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit. Jika simptom ini berlaku dalam keluarga kita, maka kita hendaklah bersegera, serta merta bawa ke hospital.

Tempat-tempat awam adalah tempat yang paling terdedah dan berisiko tinggi merebak dengan cepat wabak selsema babi. Dengan demikian semua kementerian, syarikat dan pertubuhan yang terlibat dengan perkhidmatan asas awam seperti polis, imigresen, kastam, hospital dan perkhidmatan kaunter perlu memastikan anggota barisan hadapan mereka sentiasa menjaga kebersihan yang baik untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan penyakit wabak yang cepat merebak ini. Apabila wabak bahaya ini dapat di kesan di sesuatu tempat atau di sesuatu kawasan, maka tindakan cepat perlu diambil.

Langkah yang paling berkesan diambil ialah menutup premis atau menjauhi kawasan yang dikenal pasti kawasan wabak. Tindakan yang diambil termasuklah tindakan menutup sekolah, institusi dan menjauhi majlis-majlis rapat umum dan perjumpaan awam. Kerjasama untuk bertindak pantas amat diperlukan daripada semua pihak yang terlibat jika wabak berkenaan dapat di kesan.

Bagi membendung wabak yang sedang merebak ini, maka Kementerian Kesihatan dan pihak hospital telah memberi peringatan kepada orang awam yang tidak sakit tidak digalakkan melawat hospital atau pusat kesihatan terutamanya membawa kanak-kanak yang berumur kurang 12 tahun, kecuali bagi tujuan rawatan. Langkah ini adalah bagi tujuan mengurangkan pendedahan atau risiko jangkitan kepada orang awam.

Bencana dan musibah tidak putus-putus menimpa manusia. Berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW bahawa terdapat perkaitan kuat malapetaka dan musibah yang menimpa manusia berkait rapat dengan tabiat, tingkahlaku dan kelakuan buruk manusia sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41,

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat.”.

Berbagai cara kemurkaan Allah menimpa manusia. Ada kemurkaan yang hanya menimpa seorang manusia, satu keluarga, satu suku dan ada juga yang menimpa satu bangsa sehingga sesuatu bangsa itu pupus di muka bumi.

Minda Penerbit ingin mengingatkan bahawa semua malapetaka alam, yang sering terjadi di permukaan bumi ini, samada banjir, gempa bumi, taufan, kelaparan, kekurangan makanan, peperangan, penyakit-penyakit menular dan bala bencana yang lain adalah pembalasan kepada kejahatan dan kekufuran manusia. Bencana alam yang dahsyat dan kemunculan wabak-wabak penyakit yang luar biasa penularannya bukan berlaku secara kebetulan tetapi  hakikatnya hukuman Allah supaya manusia insaf dan kembali menjadi manusia yang beriman dan soleh.

Oleh itu marilah kita menjadi manusia yang beriman dan soleh.  Adalah satu pembaziran hidup dan menjadi hidup paling rugi jika sebahagian besar hidup kita bergelumang dengan melakukan penderhakaan kepada Allah, melakukan kejahatan sesama manusia dan menjadi kuda tunggangan atau bersyubahat untuk menghapus pihak lain. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, sebagai renungan marilah kita hayati Firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 33:

Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau berada di antara mereka, dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar meminta ampun”

Oleh: Lokman Mohd Hashim, Penerbit Mutiara Islam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Ogos 1, 2009.

 
%d bloggers like this: