Burqini – Mengikut Syarak Dan Keselesaan


PRESIDEN Nicolas Sarcozy telah menegaskan bahwa pakaian seperti Burqa dan sejenisnya tidak ‘dihalalkan’ di Perancis, dan menggambarkan hal tersebut sebagai diskriminasi terhadap wanita. – Gambar hiasan


HAJAT wanita ini hanya ingin berenang sebagai senaman fizikal. Tidak seperti yang lain, wanita Paris ini, Carole yang baru sahaja memeluk agama Islam memakai baju yang menutup aurat. Baju renang Muslimah yang dikenali sebagai burqini akhirnya mengundang masalah kepada Carole. Carole dilarang menggunakan sebuah kolam renang awam kerana dia memakai baju renang yang menutup aurat. Baju yang dibelinya itu dikatakan tidak bersih dan membahayakan perenang lain. Benarkah begitu atau perkara ini merupakan diskriminasi kepada wanita Islam? Sedangkan baju renang yang menutup hampir keseluruhan tubuh wanita kecuali muka dan tapak tidak mempunyai perbezaan dengan baju renang yang sedia ada di pasaran.

Bergaya sopan, cantik dan tampil kemas sememangnya dituntut dalam Islam kerana ia menyerlahkan peribadi, di samping mampu meningkatkan diri serta keyakinan. Justeru, walau ke mana saja kaki melangkah penampilan perlulah dijaga supaya ia bukan saja dapat menjaga dan meningkatkan imej diri, tetapi turut membuatkan orang lain berasa senang untuk berdamping dengan kita.

Bagi umat Islam di negara ini, memilih fesyen sesuai yang memenuhi aspirasi sedemikian bukanlah begitu sukar kerana kini sudah pun semakin banyak pilihan. Malah, kebanyakan ragam fesyen yang mempunyai ciri-ciri itu diketengahkan mengikut arus aliran terkini dan dapat diterima semua.

Cuma elemen Muslimah mencantikkan lagi wanita Islam memakainya.

Dalam pada itu, Pengarah Projek Aktif Bestari, Nuraini Mohd. Ariffin yang merupakan pelopor baju renang Muslimah di Malaysia memberitahu, baju ini mempunyai kualiti yang sama dengan baju renang moden.

Burqini yang mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2006 ini masih berada di tahap baru era fesyen dunia.

“Ia merupakan baju renang tertutup. Pada awalnya ia juga sukar diterima di negara kita. namun, saya yakin dengan adanya peranan kerajaan dan media, ia mula diterima secara perlahan-lahan.

“Sebagai seorang Muslimah, kita perlu menutup aurat dan tidak bermakna kita perlu membataskan pergerakan. Dengan adanya baju ini, ia dapat membantu wanita mudah melakukan aktiviti fizikal,” katanya.

Berbeza dengan Dubai, baju renang warna-warni tidak dibenarkan.

Kerajaan mereka mahu pakaian yang polos untuk tidak menarik perhatian orang ramai.

“Di malaysia setakat ini ada pihak pengurusan hotel yang memahami situasi ini dan membenarkan golongan wanita berenang memakai burqini.

“Bagi saya, ia bukan halangan kerana baju ini juga mempunyai keistimewaan. Ia tidak berbulu, ringan dan mudah kering. Sama baju renang biasa,” ujarnya.

Pihak pengurusan hotel tidak mahu menerima baju berbulu kerana takut bulu yang terjatuh di kolam akan menyebabkan kolam tersumbat.

Jelas Nuraini, ia akan menyebabkan kos menguruskan kolam mereka meningkat.

“Dengan menggunakan fabrik spandex lycra, saya berani memberi jaminan bahawa pakaian mandi ini adalah ringan dan memeri. Ia secara tidak langsung akan menjadikan si pemakai bukan sahaja selesa tetapi tidak panas serta mudah kering dan pakaian mandi, ia tidak mudah berbulu.

“Dengan kelebihan ini juga, pemakai boleh terus memakainya dari rumah, terus ke kolam renang malah selepas itu pulang dengan pakaian sama. Ia juga sesuai untuk mandi di laut atau sungai,” jelasnya yang boleh dihubungi di talian 03-7843 0272.

Pakaian

Nuraini turut menyediakan pakaian yang boleh digunakan untuk semua pelanggan iaitu berlengan panjang dan bertudung yang boleh dileraikan. Terpulang kepada pelanggan yang bukan Islam sama ada ingin memakai tudung tersebut atau tidak.

“Seperti yang berlaku di perancis, ia sepatutnya tidak berlaku kerana Islam agama global dan ramai pemimpinnya terdiri daripada penganut Islam.

Sepatutnya sebagai memberi sokongan kepada wanita Islam yang ingin melakukan aktiviti fizikal,” tegasnya.

Berkaitan dengan hukum menutup aurat wanita secara jelasnya telah dinyatakan oleh Allah Taala dalam al-Quran sebagai satu perintah dan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh hamba-Nya mengikut keadaan dan situasinya yang tertentu. Adalah menjadi satu kemestian “wajib” bagi setiap wanita akur dengan perintah Allah untuk memakai pakaian yang menutup seluruh badan kecuali muka, tapak tangan dan tapak kaki tanpa banyak alasan yang tidak ikhlas dan jika perlu termasuk juga mukanya.

Di bawah ini diperturunkan petikan khas maksud ayat-ayat al-Quran berkaitan perintah-perintah tersebut, sama-samalah kita renungi dan menghayatinya, Insya Allah akan memberi keberkatan kepada kita, di samping dapat menjauhkan kemurkaan Allah.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman:

Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak saudara lelaki mereka, atau anak saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. Surah An-Nur (31).

Disediakan Oleh: Lokman Hashim, MutiaraIslam Online

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Ogos 16, 2009.

 
%d bloggers like this: