Didik Anak Tanggugjawab Siapa?


_r9903the200_5

Bagaikan tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa. Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.

Ada keluarga yang mempunyai anak ramai, walaupun kehidupannya hanya sekadar mencukupi, tidak sanggup menyerahkan permata keluarga itu kepada orang lain. Ada pula pasangan yang sekian lama berkahwin, mempunyai harta yang mencukupi, tapi hidupnya terasa kosong kerana tidak mempunyai anak.

Sebagai buah hati pengarang jantung, ibu bapa sanggup melakukan apa saja, sama ada berkorban harta atau psikologi demi membesarkan anak. Ibu bapa sanggup melupakan kesenangan diri kerana ingin melengkapkan keperluan anak hatta bergolok bergadai sekalipun.

Namun tidak kurang juga ada ibu bapa sanggup menyeret anak-anak dalam pergelutan rasa dan keresahan psikologi. Ada ibu bapa yang tertekan dengan perubahan persekitaran, tekanan pekerjaan, kebuntuan minda sanggup pula mengkhianati permata hatinya sendiri. Anak-anak yang diamanahkan untuk dididik berdasarkan pola pendidikan Islam didera sehingga melupakan, yang didera itu darah dagingnya sendiri.

Berdasarkan statistik, kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun lalu, terdapat 2780 kes berlaku dan merupakan peningkatan sebanyak 501 kes dari tahun 2007. Tahun 2007, sebanyak 2279 kes juga meningkat sebanyak 280 kes berbanding tahun 2006. Pada tahun 2008, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 949 manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 595 kes. Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, 819 kes telah dilaporkan dan Selangor masih mencatatkan kes tertinggi, iaitu 320 berbanding Perak 91 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 79.

Itu hanya meliputi kes-kes yang dilaporkan. Ada anggaran telah dibuat, bahawa kes-kes yang dilaporkan hanyalah merupakan 2% daripada kes sebenar. Bayangkan jumlahnya tentunya akan mencatatkan angka yang menggerunkan jika 98 peratus lagi kejadian dilaporkan. Apa perasaan ibu bapa apabila terserempak dengan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera? Mengapa manusia tidak sayangkan anaknya sendiri, sedangkan “kucing pun sayangkan anaknya”? Di manakah nilai kemanusiaan manusia itu? Dalam sesetengah hal mungkin benar ada pendapat mengatakan, dalam masyarakat manusia ada binatang.

Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar ”melahirkan anak”, dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab. Jika kita memerhatikan masyarakat binatang sekalipun, kita tidak akan menemui perlakuan itu. Anak yang dilahirkan itu akan dijaga sehinggalah anak itu mampu berdikari. Sebelum mampu berdikari, anak akan diajar bagaimana cara menghindari diri dari serangan musuh, mencari perlindungan dan memenuhi keperluan mencari makanan.

Bagaimana pula untuk manusia? Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal, dan fitrahnya. Semasa berada di peringkat bayi, ia akan belajar secara langsung daripada ibu bapa. Setelah mencapai tahap perkembangan mindanya, kanak-kakan akan meniru apa yang dilakukan oleh orang-orang yang paling dekat dengannya.

Namun, dalam kehidupan moden ini ada ibu bapa melupakan tanggungjawab tersebut. Anak-anak dibiarkan membesar di hadapan televisyen, maka sejak kecil lagi kanak-kanak telah diasuh mempelajari ”kehidupan palsu dan ilusi”. Kanak-kanak berilusi dengan watak-watak kartun sehinggalah mampu meniru gerak gerak yang dipelajarinya melalui televisyen. Emosi kanak-kanak terjangkit dengan gerak laku kartun yang tidak pernah bersalutkan emosi sakit, pedih dan sedih. Kerana itu ada kanak-kanak sanggup meniru watak tersebut, dan ibu bapa menggalakkannya dengan melengkapkannya dengan barang-barang mainan yang didagangkan berdasarkan watak pujaan kanak-kanak. Superman. Spiderman. Ultraman. Doraemon. Popeye. Terbaru dan sedang hangat dijual dengan harga istimewa ialah Transformer.

Apakah itu selaras dengan proses pendidikan menurut prinsip Islam? Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, terjemahan Syed Ahmad Semait, Singapura: Pustaka Nasional, 1998, ibu bapa diwajibkan mendidik anak-anak dengan adab. Adab-adab yang dimaksudkan itu antaranya ialah adab memberi salam, adab bercakap (berkomunikasi), adab bergurau, adab belajar dan adab memberi ucapan tahniah.

Dalam berbicara, ibu bapa diwajibkan memanggil anak-anak dengan panggilan yang boleh membentuk sikap positif. Ibu bapa, walaupun terlalu sayangkan anak, tidak seharusnya memanggil anak panggilan yang berunsurkan negatif. Dengan memanggil anak sebagai ”adik”, sepanjang hayatnya akan tetap menganggapkan dirinya sebagai ”adik” walaupun setelah mencapai usia dewasa. Sebagai adik, ia adalah seorang yang manja, kuat mendesak kerana abang atau kakaknya sering diminta untuk mengalah semasa bergurau, bermain dan membesar bersama-sama.

Adab berbicara atau berkomunikasi berdasarkan saranan Dr. Abdullah Nasih Ulwan ialah dalam bahasa yang betul (membolehkan anak-anak belajar struktur bahasa yang betul), bercakap secara teratur (agar mudah difahami), kata-kata sepadan dengan usia, berbicara dengan jelas, memberikan perhatian yang penuh kepada penuturnya, berbicara untuk khalayak (bukan syok sendiri), menarik, jujur dan mudah diingati.

Jika ibu bapa menjauhkan adab mendidik, anak-anak akan membesar dengan tingkah laku yang kasar, tidak menghormati orang tua, kecelaruan identiti dan akhirnya lebih mempercayai rakan sebaya berbanding ibu bapa sendiri. Inilah pola kehidupan remaja sekarang yang sedang melanda, sehingga menganggap ibu bapa hanya sekadar ”sumber kewangan.”

Berdasarkan hakikat dan tanggungjawab itulah Islam meletakkan amanah yang besar untuk mendidik anak-anak. Anak-anak yang diibartakan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi ”hiasan hidup” yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi  ”musuh orang tuanya” (QS 64:14) dan “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia… (Al-Kahfi: 46).

Hakikatnya, kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak,  namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara akan menjadi kenyataan apabila anak sebagai permata negara dididik dengan cara yang betul. Walaupun ada yang berpendapat, faktor genetik merupakan asas pembinaan individu cemerlang, kerana ia diwarisi, ini  tidak nermakna menolak genetik sahajalah dapat menentukan lahirnya seorang yang benar-benar beriman dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpesonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab,  Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan. Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang timpang dan berbahaya. Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus  ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.

Rasulullah s.a.w menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah s.w.t menberi rahmat kepada seseorang yang menbantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya. Ada seorang sahabat bertanya; ”Bagaimana cara menbantunya? Jawab Baginda, ”Menerima segala usahanya walaupun kecil,memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat, dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya.”

Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak “mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti “memang dasar anak degil”, “anak syaitan” atau lain-lain perkataan yang tidak baik daripada mulut ibu bapa sendiri. Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.

Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ”Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan.Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu,Jauhkan dirimu daripada perbuatan tercela.”

Dorothy Low Nolte dalam Children Learn What They Live With mengungkapkan: “Jika anak dididik melalui celaan, ia akan sentiasa menyalahkan. Jika anak dengan simpati, ,ia akan terus meratapi nasibnya. Jika anak dididik untuk memahami, ia akan sentiasa bersabar. Jika anak banyak sentiasa diberikan dorongan, ia akan sentiasa menghargai. Jika anak diperlakukan dengan jujur,ia akan sentiasa melihat kebenaran.

Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Apabila melihat kebiasaan baik daripada kedua-dua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah s.a.w menekankan pentingnya bermain bersama anak. Sabda baginda yang bermaksud: ”Siapa yang mengembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah s.w.t.”

Persoalannya sekarang, kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa. Rasulullah s.a.w adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.

Rasulullah s.a.w kadangkala memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: ”Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan apabila meminta pertolongan mintalah kepada Allah. Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu,maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan apabila mereka akan berbuat jahat kepadamu,maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena.” (Riwayat Tirmidzi)

Kegelisahan Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana baginda ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?

Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi.”

Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“…Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati.” (Al-Furqan: 74)

Luqman Al-Hakim, seorang yang salih dan  sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran, dirakam nasihat Luqman kepada anaknya.

“Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.”

Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka. Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah s.a.w yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

Ummul mukminin ini mengisahkan: “Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun.”

Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda yang bemaksud:

“Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

Oleh: Lokman Hashim

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Ogos 17, 2009.

 
%d bloggers like this: