Ramadan Kembali


_r9903the200_3

Ramadan datang lagi! Sedar atau tidak, Majoriti daripada kita meladeni Ramadan tanpa persiapan rapi. Semuanya bagaikan berserah. Masuk Ramadan, maka puasalah! Habis Ramadan…rayalah! Bahkan, jika dibandingkan sambutan menyambut Ramadan dan sambutan Syawal, bezanya amat terasa.

Sepatutnya pihak-pihak yang berkenaan wajar menjadikan Ramadan bulan yang istimewa. Kedatangannya wajar dijadikan acara tahunan. Sama seperti menanti kedatangan 31 Ogos. Media massa wajar mempromosikan Ramadan sebaik-baiknya. Inilah musimnya, manusia mampu menjadi baik.

Musim menziarahi masjid dan surau untuk solat, musim bersedekah menambah pahala, musim perokok belajar pelan-pelan berhenti merokok dan musim si gadis mengenakan busana yang lebih sopan. Tidak pelik, pengacara TV yang tidak bertudung pun akan menyangkut tudung di kepalanya pada bulan Ramadan ini.

Surau dan masjid di setiap kariyah sewajarnya menjadikan kedatangan Ramadan bulan mengukuhkan ukhuwah di antara penduduk. Juga Ramadan sebagai bulan mengasah ibadah.

Kita tentu rasa seronok jika melewati taman demi taman atau bandar demi bandar, maka di persimpangan jalan, di tiang-tiang lampu berderetan banner dan bunting yang berlumba-lumba mempromosikan Ramadan. Ramadan sebagai bulan tarbiyyah. Ramadan sebagai bulan ibadah.

Sekurang-kurangnya, kita jadi ingat bahawa Ramadan bukanlah semata Bazaar Ramadan atau pesta juadah. Bukan juga bulan berhabis wang dengan kereta baru, langsir baru, sofa baru dan baju baru.

Jadikanlah Ramadan bulan yang melentur nafsu, jinakkan dengan puasa yang bermutu. Puasa yang mana akhirnya menjadikan kita insan baharu menjelangnya satu syawal nanti…amin.

Oleh: Lokman Hashim, MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Ogos 20, 2009.

 
%d bloggers like this: