Al-Quran: ANTARA BACAAN DENGAN PENGHAYATAN


Ramadhan Bulan Istimewa1Al-Quran adalah kitab suci diturunkan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai suatu rahmat yang tiada bandingnya bagi seluruh alam. Penurunannya adalah semata-mata untuk dijadikan petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi sekalian umat manusia di dunia ini.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.” (al-Baqarah: 185)

Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan Allah. Oleh hal yang demikian itu, kandungannya merangkumi segala dasar syariat yang ada dalam kitab suci diturunkan sebelumnya. Mereka yang beriman dengan al-Quran akan membaca, memahami, beramal serta mengajarnya kepada orang lain.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarnya.” (Riwayat Bukhari)

Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang digunakan sebagai sumber hukum sekali gus pedoman dan pegangan hidup seluruh umat Islam. Al-Quran merupakan petunjuk dan penyelamat kita di dunia mahupun di akhirat. Ayat-ayat suci yang terdapat di dalam al-Quran adalah kata-kata terindah sepanjang masa, merentasi zaman apa sekalipun.

Membaca al-Quran

Membaca al-Quran merupakan salah satu ibadah yang wajib bagi umat Islam. Umat Islam yang sentiasa membaca al-Quran dengan ikhlas kerana Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan melimpahkan rahmat dan keredaan-Nya, sehingga ia selalu berada di dalam perlindungan Allah s.w.t. Al-Quran, memang sebuah petunjuk yang memimpin umat Islam dan menjadi cahaya kehidupan. Selain itu, membaca al-Quran mampu membuat hati seseorang menjadi lebih tenang, kerana al-Quran merupakan penawar segala macam penyakit, baik rohani mahupun jasmani pada diri manusia sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Perintah membaca al-Quran terdapat dalam surah al-Alaq ayat 1-5, yang menjelaskan pentingnya membaca al-Quran. Namun, tidak sekadar membacanya sahaja, melainkan penting pula untuk mempelajarinya, mengkaji lebih dalam, menghayatinya, serta mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Sedangkan dalam hadis menyebutkan bahawa membaca al-Quran akan mendatangkan pahala bagi orang yang membacanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari  kiamat memberi syafaat kepada orang yang membacanya.” (Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud:

“Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali gandaa. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf; tetapi alif satu huruf; lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tarmidzi)

Membaca al-Quran perlu diajarkan dan dibiasakan sejak awal. Pada umumnya, anak-anak usia prasekolah sudah dimasukkan oleh orang tuanya ke suatu ‘institusi’ (kelas) pendidikan Islam seperti tadika berorientasikan Islam, kelas J-QAF, dan tadika KEMAS contohnya. Di kelas-kelas pendidikan tersebut anak-anak akan diajarkan membaca huruf Arab dengan menggunakan buku Iqra hingga belajar membaca Juz Amma dan al-Quran. Sedari kecil, umat Islam diharapkan terbiasa dan sentiasa membaca, mencintai, dan menghayati al-Quran.

Bagaimanapun, peranan orang tua dalam membiasakan anak membaca al-Quran juga amat penting terutama di dalam rumah. Rumah merupakan tempat pertama kali anak mendapat pendidikan, terutama daripada orang tua atau ibu bapa. Didikan orang tua di rumah akan terlihat pada pembentukan keperibadian si anak. Apabila orang tua mengajarkan hal-hal yang baik sesuai syariat agama Islam, maka ajaran atau didikan tersebut akan selalu tertanam pada anak hingga ia beranjak dewasa.

Orang tua, dalam hal ini ayah dan ibu, tidak hanya memerintahkan atau menyuruh si anak untuk beribadah dan membaca al-Quran. Ayah dan ibu di rumah wajib memberikan contoh teladan. Misalnya, dengan sentiasa membaca al-Quran di rumah sesudah solat Maghrib atau Subuh, ataupun pada waktu lainnya. Untuk itu, para orang tua juga diharapkan memiliki kesedaran dalam membiasakan membaca al-Quran pada dirinya sendiri terlebih dahulu. Mungkin bagi yang tidak terbiasa, membaca al-Quran secara rutin akan terasa berat. Namun, apabila kita berfikir, begitu banyak waktu yang dapat kita habiskan untuk menonton televisyen, membaca akhbar atau majalah, melayari internet, serta kegiatan yang bersifat duniawi lainnya, maka tidak ada salahnya apabila seharusnya kita juga dapat meluangkan waktu untuk membaca dan mempelajari al-Quran.

Apabila orang tua sudah membiasakan dirinya membaca al-Quran, maka untuk seterusnya dapat mengajak si anak untuk membaca bersama, mengajarkannya, dan bertadabur. Memanfaatkan waktu dengan beribadah dengan seluruh anggota keluarga di rumah merupakan saat yang amat berharga dibandingkan dengan kegiatan lainnya.

Betapa pentingnya membiasakan membaca al-Quran sejak kecil. Apabila sudah ditanamkan sejak kecil, insya-Allah akan terus menjadi kebiasaan hingga anak beranjak dewasa dan seterusnya. Orang tua pun akan bangga dengan kebiasaan membaca al-Quran pada si anak. Keadaan rumah pun akan terasa lebih nyaman dengan lantunan ayat-ayat suci al-Quran. Dan yang terpenting adalah harapan akan rahmat dan keredaan Allah s.w.t demi mencapai kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain diberi ganjaran, membaca al-Quran juga menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang jiwanya tidak tenteram.

Berkaitan hal ini, seorang lelaki menemui Ibnu Mas’ud meminta nasihat untuk dijadikan penawar bagi mengubati jiwanya yang sedang resah-gelisah, fikiran tidak tenteram, tiada selera makan dan sukar tidur.

Ibnu Mas’ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya lelaki itu perlu melakukan tiga perkara iaitu; pertama, membaca al-Quran atau menghadiri tempat orang membaca al-Quran serta mendengar baik-baik bacaan ayat suci al-Quran.

Kedua, menghadiri majlis ilmu yang boleh mengingatkan hati kepada Allah dan ketiga, memohon ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran serta kemurnian hati. Andai jiwa masih juga tidak terubat dengan cara itu, mintalah daripada Allah supaya diberi hati lain, kerana hati dimiliki bukan hatinya.

Lelaki berkenaan mengamalkan perkara yang dinasihatkan Ibnu Mas’ud. Dia pergi mengambil wuduk, kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran, jiwanya terasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.

Perlu dijelaskan, membaca al-Quran sama ada memahami maknanya atau tidak adalah ibadat, amalan salih dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Di samping itu, ia juga memberi cahaya yang menyinari hati, keluarga dan tempat al-Quran itu dibaca.

Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membacaal-Quran.” (Riwayat al-Baihaqi)

Membaca al-Quran tidak sama dengan membaca buku, majalah atau komik kerana al-Quran adalah wahyu Allah. Jadi, membacanya sudah tentu mempunyai adab tersendiri yang mesti diikuti supaya bacaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sama ada untuk dirinya sendiri atau pendengar.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin memberi garis panduan berkaitan adab membaca al-Quran, iaitu adab batin dan zahir. Dimaksudkan adab batin ialah memahami ayat dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalam Allah, menghadirkan hati, memperhalusi perasaan dan jiwa.

Dengan adab batin ini, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah dapat bersemi dalam jiwa dan meresap ke dalam lubuk hati si pembaca.

Adab zahir pula banyak dan perlu dipatuhi antaranya membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan dan membaca di tempat bersih seperti di rumah atau masjid.

Bagi mereka yang berupaya memahami makna dan maksud ayat dibaca, hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Lidahnya menuturkan bacaan kalam Allah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan erti terkandung dalam ayat dibaca.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Jika al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” (an-Nisaa’: 82)

Menghayati al-Quran

Perkataan ‘penghayatan’ berasal daripada bahasa Arab ‘hayah’, bererti hidup atau kehidupan. Penghayatan bererti menghidupkan atau menjadikannya sebagai sesuatu yang hidup dengan sentiasa dipelihara, dijaga dan diberi perhatian supaya dapat berfungsi sewajarnya.

Bertitik tolak daripada itu, dapatlah difahami maksud penghayatan al-Quran ialah memelihara dan memberi perhatian sama ada melalui usaha membaca, memahami dan seterusnya mengamalkan al-Quran dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Sesuatu itu dianggap hidup apabila ia mempunyai roh dan tenaga. Tanpa roh dan tenaga segala pergerakan akan terhenti dan sesuatu itu akan menjadi kaku, beku serta mati. Begitulah dengan penghayatan al-Quran, ia mestilah menampakkan pergerakan aktif dalam kehidupan umat Islam.

Tanpa pergerakan bererti tiada penghayatan berlaku dan kerana itulah peranan al-Quran tidak terasa dalam kehidupan umat Islam, malah ia seolah-olah tidak mempunyai roh lagi.

Sedangkan Allah s.w.t sendiri menurunkan al-Quran sebagai roh, sepertimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh (al-Quran) daripada urusan Kami.” (al-Syuara: 52)

Roh ialah rahsia kehidupan sesuatu. Oleh itu, perhatian hendaklah sentiasa diberikan untuk menyubur dan memperkembangkan supaya roh dapat memainkan peranannya dalam pembinaan diri umat Islam.

Semua umat Islam perlu beriman bahawa al-Quran adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai pedoman dan petunjuk kehidupan. Hidup berpandukan pedoman dan petunjuk al-Quran membolehkan seseorang mencapai kebahagiaan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, tetapkan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan (kepada) kitab (al-Quran) yang diturunkan kepada rasul-Nya (Muhammad) dan juga kepada kitab suci yang diturunkan dulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya dan hari akhirat, maka sesungguhnya ia sudah dengan kesesatan (yang) sejauh-jauhnya.” (an-Nisaa’: 136)

Ayat ini membuktikan bahawa beriman kepada al-Quran dan menjadikan isi kandungannya sebagai pedoman hidup, adalah suatu kewajipan bagi umat Islam. Tiada seseorang Mukmin pun yang boleh menyatakan bahawa isi dan suruhan al-Quran tidak sesuai pada zaman serba moden ini.

Bagi orang yang mengatakan sedemikian, dengan maksud menghina dan memperkecilkan isi kandungan al-Quran, sesungguhnya ia menjadi kufur serta akan diazab Allah pada hari akhirat kelak.

Meskipun sudah lama al-Quran diwahyukan, isi kandungannya tetap utuh dan segar. Ia tidak sedikitpun terjejas oleh peredaran zaman kerana isi kandungannya adalah kebenaran mutlak yang terpancar daripada alam ketuhanan Maha Tinggi.

Tambahan pula, ia diberi jaminan terpelihara oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang benar-benar memeliharanya.” (al-Hijr: 9)

Ramai umat Islam kini memandang ringan dan sambil lewa terhadap al-Quran. Mereka hanya mendekati dalam upacara tertentu sahaja. Ada juga yang meminati al-Quran sekadar untuk menikmati kemerduan dan kelunakan bacaannya sebagai suatu adat.

Amat mendukacitakan apabila ada sesetengah mereka hanya membaca al-Quran pada majlis kematian, untuk tujuan mengemis, malah ada yang menggunakannya untuk tujuan perbomohan atau azimat sahaja.

Sesungguhnya al-Quran diwahyukan Allah untuk dibaca, difahami, dihayati maknanya, seterusnya menjadikan ia sebagai panduan hidup.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepada kamu (dan umat kamu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Sad: 29)

Sikap umat Islam yang memandang ringan terhadap al-Quran adalah faktor utama menghalang mereka daripada hidayahnya. Ini kerana al-Quran hanya akan membuka khazanahnya kepada orang yang benar-benar memberi perhatian kepadanya dengan tujuan penghyatan.

Menurut al-Zarqaniy dalam kitabnya Manahil al-’Irfan Fi ‘Ulum al-Quran, umat Islam kini tidak akan maju jika tidak memberi penghayatan kepada ajaran al-Quran yang menjadi sumber kebahagiaan di dunia mahupun akhirat. Begitu juga dengan pengamalan ajaran al-Quran, ia tidak dapat diamalkan melainkan setelah difahami makna dan maksudnya.

Perlu ditegaskan semua fakta terkandung dalam al-Quran adalah mutlak sifatnya. Sama seperti fakta yang dimanifestasikan oleh alam semesta. Jika alam ini adalah ayat atau ungkapan yang diam membisu, tetapi dapat dibaca atau diperoleh idea dan pengajaran daripadanya, maka ayat al-Quran pula alam yang berkata-kata, memperkenalkan kepada manusia akan Tuhannya, membimbing serta menerajui mereka dengan wajar melalui liku hidup di dunia.

Pengajian mengenai al-Quran daripada pelbagai sudutnya penting untuk memahami isi kandungan serta meletakkan nilainya yang wajar dalam kehidupan manusia.

Pengajian al-Quran juga bertujuan untuk dihayati dan dijadikan panduan dan pedoman dalam segala bidang kehidupan.

Ini kerana kehidupan yang tidak berpandukan kebenaran akan terus menderita dan sengsara dilanda pelbagai krisis dan sentiasa dikunjungi bermacam masalah yang kian hari semakin parah.

Contohnya, kebelakangan ini banyak urusan kehidupan diterajui oleh ‘isme-isme’ sekular, kapitalis, atheis dan material yang melepaskan diri daripada bimbingan wahyu Allah. Malah memisahkan sebarang urusan agama dengan urusan hidup.

Justeru, timbul situasi kacau-bilau dan porak-peranda sebagai akibat daripada keangkuhan serta kesombongan manusia yang tertipu dengan keupayaan akalnya sendiri. Kononnya ideologi dan ‘isme’ yang mereka cipta dapat menyelesaikan semua masalah dan menjanjikan segala kemewahan.

Demi menyelamatkan dunia daripada kehancuran, kepemimpinan mestilah berpandukan kebenaran mutlak yang hanya didapati dalam al-Quran, iaitu wahyu Allah yang terakhir untuk semua umat manusia.

Penghayatan al-Quran yang sempurna akan merubah seluruh keadaan hidup umat Islam dan selanjutnya akan meletakkan mereka pada kedudukan terbaik kerana menjalani kehidupan berpandukan cara yang diaturkan Islam.

Kesimpulan

Al-Quran diturunkan untuk dibaca oleh setiap orang Muslim, direnungkan dan difahami makna, perintah dan larangannya, kemudian diamalkan. Sehingga ia akan menjadi hujjah baginya di hadapan Tuhannya dan pemberi syafaat baginya pada hari kiamat. Allah telah menjamin bagi siapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya tidak akan tersesat di dunia dan tidak celaka di akhirat, dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.” (Thaha: 123)

Janganlah seorang Muslim memalingkan diri dari membaca kitab Allah, merenungkan dan mengamalkan isi kandungannya. Allah telah mengancam orang-orang yang memalingkan diri daripada al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Barangsiapa berpaling daripada al-Quran, maka sesungguhnya ia akan memikul dosa yang besar di hari kiamat.” (Thaha : 100).

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Thaha: 124)

Setiap Muslim juga berkewajipan untuk mengajar, menyampai dan mendakwahkan al-Quran kepada sekalian manusia yang menghuni alam ini. Rasulullah memperingatkan dan juga memuji umatnya yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada manusia lain. Bukankah Rasulullah pernah melantik sahabatnya Mus’ab bin Umair sebagai da’ie Rasulullah ke Madinah dan beliau digelar Muqri’ kerana beliau telah mengajar dan menyampaikan ajaran al-Quran kepada masyarakat Madinah ketika itu.

Setiap Muslim sewajibnya bermuhasabah dan menilai diri, apakah keimanan kita kepada al-Quran sudah pun menepati ciri-ciri yang disebutkan, iaitu bermula dengan keimanan yang tulus terhadap kebenaran al-Quran, kemudian  membaca al-Quran dengan elok beserta adab-adabnya, memahami dan menghayati isi kandungannya dengan kefahaman yang syumul  dan seterusnya menterjemahkan isi kandungan al-Quran tersebut dalam ruang lingkup kehidupan yang serba mencabar, dan akhirnya mengajar serta menyampaikan ajaran al-Quran kepada manusia lain.


Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 5, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: