FADHILAT RAMADHAN DALAM MENGHALANG PENULARAN H1N1


H1N1Sememangnya seluruh umat Islam amat memaklumi bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan. Bulan ini juga merupakan satu tempoh yang menyediakan pelbagai peluang yang amat baik, bukan sahaja untuk menyucikan diri dari segala dosa, tetapi juga memperbanyakkan amal kebajikan.

Di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama manusia, bulan ini juga dapat mendidik umat Islam untuk bersama membantu golongan dhaif dan susah agar golongan seperti ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik lagi apabila menikmati pelbagai derma dan bantuan yang dihulurkan. Dalam ajaran Islam, amalan ini akan meningkatkan lagi jumlah pahala mereka.

Bulan ini turut dimaklumi sebagai bulan yang penuh dengan pelbagai dugaan. Dugaan di bulan ini bukan sahaja bermula dari seawal terbitnya fajar hingga terbenam matahari, dengan berlapar dan menahan dahaga, tetapi juga dugaan untuk mengekal atau meningkatkan jumlah pahala dan kebajikan bermula pada hari pertama Ramadhan hinggalah tibanya Syawal, dan juga dalam bulan-bulan yang seterusnya. Kerana sesiapa yang berpuasa, tetapi pada masa yang sama, perbuatan keji dan tidak bermoral masih mendampingi mereka, apatah lagi jika kehidupan mereka pula jauh menyimpang dari landasan keimanan dan ketakwaan, maka apa yang mereka perolehi akhirnya nanti bukanlah ganjaran pahala, tetapi hanyalah lapar dan dahaga semata-mata, sesuatu yang amatlah sia-sia bagi orang-orang yang berpuasa. Dalam hal ini, dugaan untuk melakukan amalan yang baik pada setiap masa dan sentiasa pula berusaha untuk mengekalkan pahala yang diperolehi itu adalah sebenarnya lebih sukar lagi dari dugaan untuk semata-mata menahan lapar dan dahaga.

Juga tidak dapat dinafikan bahawa antara dugaan yang paling berat ketika ini adalah yang berkaitan dengan naluri manusia khususnya yang berkaitan dengan keinginan makan dan minum. Sudah pasti apabila seharian berlapar tanpa menjamah sebarang makanan akan menjadikan keinginan tersebut meluap-luap. Namun dengan berbekalkan sifat sabar dan istiqamah dalam menjalani ibadah ini, perasaan tersebut mampu dikendalikan sewajarnya.

Selain daripada beberapa dugaan yang telah disebutkan itu, ada satu lagi dugaan dalam bentuk baru yang melanda umat Islam ketika Ramadhan pada tahun ini iaitu merebaknya wabak selsema A H1N1. Penularan wabak yang tidak dijangka ini di kalangan manusia dikhuatiri akan menjadi lebih serius lagi dengan kedatangan Ramadhan memandangkan mobiliti bebas di kalangan umat Islam yang secara tidak langsung memudahkan penularan virus wabak tersebut. Ini kerana di dalam bulan yang mulia ini, umat Islam akan berpusu-pusu mengunjungi bazar-bazar Ramadhan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa. Selain itu, pada malam hari, pelbagai lapisan umur masyarakat Islam akan mengunjungi surau dan masjid untuk bersolat terawikh dan tazkirah secara berjemaah. Manakala ramai lagi di kalangan mereka akan bertumpu di pusat-pusat membeli belah bagi persediaan menyambut ketibaan Aidulfitri.

Walaupun kekhuatiran terhadap pandemik ini melanda seluruh masyarakat dunia, perlu diingatkan juga bahawa khusus bagi umat Islam, fadhilat Ramadhan yang dihayati dan diamalkan sebaik mungkin pasti akan dapat membantu mereka menghindarinya. Secara umumnya, antara sebab penularan penyakit selsema ini adalah berkaitan dengan sikap individu yang tidak prihatin dengan tahap penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Namun, aspek kebersihan ini amat diberi penekanan yang tinggi secara istimewa dalam bulan Ramadhan. Ini amatlah jelas kerana dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam dituntut untuk berlumba-lumba beribadah dan bertaubat memohon keampunan. Atau dalam erti kata lain, menyucikan diri mereka dari segala dosa dan noda. Manakala penyucian diri, sudah pasti merangkumi penyucian dan kebersihan fizikal, spiritual dan persekitaran. Atas sebab ini, Ramadhan itu amat sinonim sebagai bulan penyucian, dan memang tidak wajar jika aspek kebersihan dan kesucian itu diabaikan oleh setiap umat Islam yang berpuasa.

Etika penjagaan kesihatan dan kebersihan diri dalam Islam menuntut amalan-amalan seperti bersuci dengan air yang bersih lagi menyucikan, memakan hanya makanan yang halal lagi bersih, tidak membazir dan tidak berlebih-lebihan dalam setiap perkara. Di bulan Ramadhan ini, berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur amatlah dilarang kerana ia mengundang pembaziran, bahkan jika berlaku pembaziran pula ia amatlah dikeji, manakala makanan yang tidak halal dan tidak suci akan membatalkan terus pahala puasa yang diperolehi dan menjadikannya sia-sia saja. Amalan berdoa dan membasuh tangan sebelum dan selepas makan, menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dan ketika menguap serta sentiasa mencuci hidung dan muka sering dituntut demi memelihara kesucian dan kebersihan diri.

Begitu juga dalam ajaran Islam, apabila seseorang itu dihinggapi penyakit, amalan kebersihan tidak pernah diabaikan. Ini kerana dalam etika penjagaan kebersihan ketika wabak melanda dalam Islam adalah dengan mengasingkan diri dari kelompok masyarakat agar wabak itu tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain yang berhampiran kerana ia mampu mencemari kesucian dan kebersihan persekitaran lantas mengundang bencana. Secara asasnya, sesuatu penyakit itu tidak akan berjangkit jika tiada penghidapnya atau mereka yang berpenyakit itu tidak menjangkitkannya kepada orang lain dengan apa cara sekalipun.

Huraian ini adalah bagi menggambarkan fadhilat Ramadhan dalam menghalang penularan H1N1. Ia juga sebenarnya adalah perkara asas yang perlu diselami dan diamalkan oleh setiap umat Islam. Walaubagaimanapun, manusia ini sering alpa dan lalai dan sentiasa memerlukan peringatan. Oleh itu, di sepanjang Ramadhan ini, majlis tazkirah yang diadakan selepas solat tarawikh perlu turut membincangkan situasi semasa yang sedang melanda ini. Institusi-institusi agama pula, khususnya yang berkaitan dengan kemaslahatan hal ehwal orang Islam seperti Majlis Fatwa Kebangsaan perlu turut serta memberikan panduan bagi kesejahteraan umat Islam dalam manjalani aktiviti Ramadhan atau Haji ketika wabak seperti ini. Memandangkan jumlah kematian akibat H1N1 ini ada peningkatan saban hari, semua lapisan masyarakat wajar bekerjasama antara satu sama lain bagi mengawal keadaan.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 7, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: