Hubungan Nuzul Quran Dengan Lailatul Qadar


Hubungan Nuzul Quran Dengan Lailatul QadarDua minggu telah berlalu umat Islam berpuasa, bermakna kita sekarang dalam suasana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini amat penting bagi kita kaum Muslimin akan suatu peristiwa besar yang terjadi pada abad keagungan Islam yang lalu.

Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu-satunya rahmat sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira’ pada malam Jumaat, bertepatan 17 Ramadan, iaitu tahun ke-41 daripada kelahiran baginda atau pada 6 Ogos 610 M.

Kebanyakan ulama menetapkan bahawa pada hari terakhir turunnya al-Quran ialah hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun ke-63 daripada tarikh keputeraan Nabi s.a.w.

Pada saat itu Nabi s.a.w. sedang berwukuf di Padang Arafah dalam mengerjakan haji yang terkenal dikenali haji wada’. Kebanyakan ulama tafsir menetapkan bahawa sesudah hari itu tidak ada lagi al-Quran diturunkan untuk menerangkan hukum dan Nabi s.a.w pun setelah haji wada’ selama 18 hari, baginda wafat, iaitu pada 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.

Ayat yang terakhir yang diturunkan menurut pendapat Jumhur adalah surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

“Pada hari ini Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kuucapkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Kuredai Islam itu agama bagimu.”

Jika kita sekarang ini sedang berbicara tentang Nuzul Quran, amat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”

Demikian juga dalam surah ad-Dukhan ayat 3, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“(Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).”

Meskipun kata-kata `malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan ‘penghormatan’ yang amat tinggi Ia dinamakan `malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan Jibril.

Penghormatan ini berlangsung semalaman suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar. Sengaja digambarkan oleh Allah s.w.t dengan kata `salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci, iaitu perdamaian.

Inilah suatu penghormatan yang begitu besar yang pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatul Qadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah s.w.t.

Di dalam surah al-Qadr juga disebut Lailatul Qadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatul Qadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.

Apakah hikmah Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi s.a.w, Lailatul Qadar akan jatuh pada tarikh ganjil pada akhir bulan Ramadan, iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal salih. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukanbertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 8, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: