Orang Yang Taksub Sebenarnya Buta


akal

Kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam.  Apabila mereka sudah meyakini atau sudah percaya, mereka kerap menjadi fanatik terhadap kepercayaan ini sehingga sukar bagi kita umat Islam membawa mereka kembali ke jalan yang benar dan dituntut oleh agama Islam.  Lebih daripada itu mereka bersikap tertutup dalam menerima pendapat dan buah fikiran  yang dilihatnya berasal dari golongan orang lain. Mereka menilai anatara benar dan salah itu berdasarkan atas perasaan persamaan suku, golongan, dan aliran.

Syak wasangka, curiga mencurigai sesama Muslim, kekerasan dan pengkhianatan menjadi amalan mereka. Akibatnya, mereka terasing, menjauhkan diri daripada percaturan dunia luar.  Tuduhan bahawa kerajaan zalim, kafir, sekular, dan membandingkan kerajaan ini sama seperti kerajaan Firaun pada zaman Nabi Musa memperlihatkan betapa taksubnya golongan tersebut sehingga menafikan semua kebaikan yang telah dilakukan kerajaan.  Meskipun Rasulullah s.a.w telah memberi garis-garis dalam membentuk pemikiran dengan anjuran “agar melihat apa yang dibicarakan dan jangan melihat siapa yang berbicara”, namun kata-kata yang berharga itu tidaklah mampan bagi mereka yang dihinggapi penyakit taksub atau fanatik  melulu.

Keterbukaan yang boleh membawa manusia luas dalam mengharungi cakerawala pandangan, telah mereka singkirkan. Mereka menganalisis masalah dengan lebih mendahului “siapa” dan bukan “apa”.  Kita seharusnya bersikap kritis dalam menghadapi kemajuan. Justeru, Rasulullah s.a.w sendiri lebih jauh menekankan terimalah kebenaran itu dari mana pun ia datang, walaupun daripada seorang fasik atau seorang kafir.   Inilah adalah suatu petanda bahawa bagaimana kelemahan yang ada pada diri seseorang atau golongan, dari satu segi tertentu ia juga memiliki kelebihan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Bukan golongan umatku orang yang mengajak kepada ketaksuban (fanatisme), bukan termasuk umatku orang yang berperang kerana fanatisme dan bukan tergolong umatku orang yang mati disebabkan fanatisme.”

Mereka yang taksub itu walau setinggi mana pun pengetahuan mereka, sebenarnya mereka buta. Sebahagian besar mereka adalah orang-orang yang tidak suka mempergunakan akal dengan baik dan tidak memahami makna dan isi ajaran Islam.  Secara lahiriah mereka beragama tetapi hakikatnya adalah kaum pengikut secara taklid yang tidak mengerti hendak dibawa ke mana oleh pemimpin-pemimpinnya, sekalipun ke arah kesesatan pasti mereka mengikutinya. Sifat seperti ini sememangnya telah diasuh sebegitu rupa oleh pemimpin-pemimpin mereka supaya pengikutnya bersikap fanatik secara membabi buta.  Sepatutnya, seseorang Muslim itu patut bersikap terbuka, ingin belajar dan mengubah sikap apabila mengetahui kesalahan sesuatu fahaman mereka tanpa rasa angkuh dan sombong.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru ‘assabiah’ atau menolong ‘asabiyah’, maka bangkainya (mayatnya) itu adalah mayat jahiliah.”

Hadis di atas menjelaskan bahawa perasaan taksub dan assabiah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam.   Punca fanatisme melulu adalah disebabkan kejahilan terhadap ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat, dan negara.

Muadz bin Jabal pernah berkata: “Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah s.w.t adalah tanda takut kepada-Nya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman pada masa kesunyian.  Dialah petunjuk jalan kepada agama dan pendorong kesabaran pada masa kepayahan dan kesempitan. Allah s.w.t mengangkat sesetengah kaum kerana ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan petunjuk jalan kebaikan yang diikuti oleh orang ramai. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah s.w.t. Memperhambakan diri kepada-Nya, mengesakan-Nya dan membesarkan-Nya (mengagungkan-Nya).”

Islam memerangi kejahilan kerana akibat buruknya ia melahirkan manusia bersifat taksub. Sifat taksub boleh menyebabkan sesuatu kaum tidak berlaku adil antara satu sama lain. Ini juga akan memecah-belahkan umat Islam dan memutuskan hubungan silaturrahim sesama sendiri. Malah kesan fanatisme (secara membabi buta) juga boleh menjejaskan keutuhan kerajaan Malaysia. Ia akan menakutkan orang-orang bukan Islam malah hak dan keupayaan kita untuk memerintah dengan adil akan terjejas dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 14, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: