Aidilfitri Dan Perpaduan Ummah


Aidilfitri Dan Perpaduan UmmahIbadah solat Aidilfitri yang telah dilazimkan sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w, merupakan tanda berakhirnya puasa Ramadan. Apa yang penting segala amal ibadat yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan itu tidak harus terhenti di Hari Raya sahaja. Ia harus ditingkat dan dijaga agar menjadi pendorong atau semangat untuk meneruskan perjuangan hidup di alam maya ini.

Seharusnya kesucian jiwa serta kekuatan iman dan takwa adalah langkah jitu bagi kaum Muslim untuk melakukan jihad dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, dan sosial.

Allah juga tidak suka umat Islam terlalu banyak beristirahat daripada berjuang kerana para musuh Islam, iaitu syaitan serta sekutunya tidak pernah mengenal istirahat dalam usahanya menyesatkan umat manusia. Justeru Allah menganjurkan kepada hamba-Nya, apabila selesai menunaikan sesuatu amal, maka cepat-cepatlah menunaikan amal yang lain sehingga tercetus slogan di kalangan umat Islam `tiada hari tanpa amal kebajikan’.

Demikian pentingnya pembayaran zakat fitrah oleh umat Islam adalah semata-mata untuk mengingati mereka yang tidak bernasib baik dan lebih daripada itu adalah untuk melahirkan rasa kasih sayang. Dan yang lebih penting adalah untuk membersih diri daripada sifat-sifat mazmumah seperti tamak, sombong, dan dengki. Sedemikian besarnya faedah zakat fitrah sehingga Allah menggantungkan penerimaan ibadah puasa itu sehingga seseorang itu sudah membayar zakat fitrahnya.

Nabi s.a.w menggambarkan sifat orang yang beriman dalam berkasih sayang bagaikan tubuh yang satu. Bila salah satu anggota tubuh itu menderita sakit, maka semua anggota tubuh itu ikut merasa sakit dan tidak boleh tidur.

Diceritakan bahawa dalam satu peperangan, yakni Perang Yarmuk, tiga orang sahabat: Ikrimah bin Abi Jahal, Suhail bin Amru, Al-Haris bin Hisyam, terluka kerana terkena anak panah. Pada waktu Ikrimah minta air kerana kehausan, seorang sahabat memberikannya segelas air.

Ketika ingin meneguk air itu Suhail yang ada di sebelahnya juga berteriak minta air kerana kehausan. Ketika air itu sudah sampai ke bibirnya, Al-Haris di sebelahnya juga berteriak lebih kuat kerana tidak mampu menahan dahaga. Maka ketika Al-Haris ingin meneguk air itu terdengar suara nafas Suhail tercungap-cungap, maka Al-Haris minta agar air itu diserahkan segera kepada sahabatnya. Dalam hatinya berkata, “Temanku jauh lebih parah daripadaku”.

Namun ketika gelas diserahkan kepada Suhail, Suhail sudah gugur. Gelas itu kemudian dialihkan kepada Al Haris, namun ia juga ikut gugur. Akhirnya gelas itu dikembalikan kepada Ikrimah, tetapi ia juga akhirnya syahid di medan tempur. Sehingga tidak seorang pun di antara ketiganya yang sempat membasahi kerongkongnya dengan segelas air.

Sekurang-kurangnya derita yang ditanggung oleh umat Islam di Palestin, Iraq dan wilayah di selatan Thailand, kita rasai bersama atas dasar ukhuwah Islamiah dan ikatan akidah. Selama manakah kita harus membiarkan jiwa saudara kita terseksa dan terbiar tanpa pembelaan.

Ikatan akidah ini jugalah yang mempersatukan umat Islam dalam menghadapi apa jua tentangan daripada musuh Islam. Kemenangan tidak akan tercapai tanpa adanya kekuatan, dan kekuatan tidak akan lahir tanpa adanya persatuan.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 28, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: