Gembira Di Aidil Fitri


Gembira Di Aidil FitriKehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam.

Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu, iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan, iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah.

Inilah lambang kesempurnaan manusia kerana kebebasan itu menuntut satu pengorbanan yang besar dan tidak mampu ditanggung kecuali atas keredhaan Ilahi serta keampunannya.

Aidilfitri tidak lain adalah juga hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Hari di mana orang-orang mukmin memperoleh dua kegembiraan yang besar dan memberi kesan yang kuat dalam kehidupan mereka. Pertama, kegembiraan melaksanakan kewajipan mentaati perintah Allah dan kedua, kegembiraan akan memperoleh ganjaran yang besar.

Berhubung hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Bagi orang yang berpuasa itu memperoleh dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan menemui Tuhannya (andainya ajal sudah tiba) dalam keadaan berpuasa.”

Dalam erti kata lain, mereka yang beriman berkeyakinan akan memperoleh ganjaran yang besar dari Allah yang merupakan satu-satunya faktor dalaman yang mendorong mereka mengambil risiko dan sanggup berkorban serta berjihad dan melakukan apa sahaja yang termampu tanpa ragu-ragu.

Tanpa dorongan rohani ini sebagai penggerak ke arah melakukan perkara-perkara kebaikan sudah tentulah ia akan mudah tunduk kepada dorongan hawa nafsu yang mengarah kepada perkara-perkara kejahatan.

Demikianlah Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang daripada pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam pengembaraan itu mereka telah meninggalkan semua perkara yang digemari kerana Allah dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku mereka.

Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat dari Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dan keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat menilai dan memahami.” (al-Baqarah: 197)

Dari segi material, sesungguhnya Aidilfitri adalah satu-satunya perayaan yang mengatasi semua perayaan yang ada. Suasana ini harus diraikan dengan penuh kegembiraan disertai ucapan tahniah, kunjung-mengunjungi, hormat-menghormati, memakai pakaian cantik dan baru serta menikmati juadah yang terbaik daripada limpahan rezeki Allah. Semuanya ini akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

Manakala dari segi rohaninya terserlah semasa perhimpunan umum untuk solat sunat Aidilfitri di mana mereka bertakbir, bertasbih, dan bertahmid memuji kebesaran Allah. Di sinilah lahirnya perasaan belas kasihan terhadap golongan yang tidak berkemampuan yang harus dibantu sebagai tanda persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila mereka berpuasa bulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidilfitri, maka Allah Taala berfirman: Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Hari Raya, juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksilah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka.”

Lalu ada seruan: ”Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.”

Maka Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni.” (Zubadtul Wa’ishin)

Justeru, dalam merayakan hari kegembiraan ini umat Islam seharusnya memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai keislaman.

Aidilfitri adalah hari kegembiraan yang bersifat indah dan ibadah dan bukan kegembiraan yang sia-sia atau lara yang dipenuhi dengan unsur-unsur haram dan menjatuhkan maruah. Ia lebih bersifat menghimpunkan keperluan fizikal dan mental serta mengekalkan unsur-unsur terpuji yang diperoleh sepanjang berpuasa di bulan Ramadan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Gembirakanlah hatimu pada saat tertentu (gembira atau berhibur dengan tidak melanggar ketetapan agama serta dengan akhlak yang baik).”

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 28, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: