ADAB BERDOA


Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56:

Maksudnya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Ketika menjelaskan perkara yang sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

Mafhumnya: Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan”. (Riwayat Tirmizi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang. Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul. Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “ Wahai Sa’ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layak untuknya”. (Hadith Riwayat Thabrani)

Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab-adab tertentu. Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadith, antara lain adab berdoa itu ialah:

Pertama : Suci dari hadas besar dan kecil,

Kedua : Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW,

Ketiga : Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan mengkabulkan doa sama ada cepat atau lambat,

Keempat : Berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah, dan tanpa putus asa; dan

Kelima : Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturrahim, kerosakkan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.

Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”.

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini mimbar mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadith Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa;kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Riwayat Tirmizi)

Akhir sekalai, adalah menjadi tanggungjawab kita umat Islam sekalian supaya berhati-hati tatkala berdoa. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang-orang yang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu.

Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi.

Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, maka mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak akan terlepas begitu saja. Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT ini.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan terpulang kepada durunya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat:46)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Disember 13, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: