Inovasi Dalam Organisasi Pemangkin Kecemerlangan Sektor Awam


Setiap organisasi harus sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Jika sesebuah organisasi masih berada di takuk lama tanpa ada sebarang perubahan ke arah kecemerlangan nescaya sesebuah organisasi itu akan tewas untuk bersaing dengan organisasi pesaingnya.

Lambat laun organisasi berkenaan akan tutup dan terus terkubur. Justeru itu, inovasi berterusan diperlukan dalam mempelbagaikan dimensi bukan hanya mencakupi prosedur kerja tetapi juga inovasi dalam cara berfikir, bertindak dan sanggup berubah supaya terus relevan dan selari dengan keperluan semasa.

Begitu juga, inovasi ini merupakan agenda utama negara yang disentuh dalam Bajet 2010 yang lalu. Salah satu inovasi yang ditekankan adalah menerusi tadbir urus dalam sektor awam dan sektor swasta. Sehubungan itu, inovasi atau pembaharuan adalah satu ciri penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan terutama kepada pelanggan sentiasa berada pada tahap cemerlang dan dalam masa yang sama memenuhi kepuasan pengguna.

Bahkan usaha menjadikan elemen inovasi sebagai pemangkin kecemerlangan perkhidmatan perlulah diterapkan kepada semua kakitangan di pelbagai peringkat bermula daripada pengurusan tertinggi hinggalah kepada kumpulan sokongan.

Namun harus diingat bahawa melakukan inovasi tidaklah semudah yang disangka. Kerap kali perlaksanaan inovasi menemui kegagalan, kerana budaya organisasi tidak secocok dengan keperluan untuk melakukan perubahan. Perlaksanaan inovasi menuntut warga kerja organisasi, untuk berfikiran lebih terbuka, tidak jumud dan sentiasa dinamik, dalam memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan, untuk melakukan pembaharuan. Kegagalan untuk bergerak cepat bersama perubahan ini akan menutup peluang besar yang menyebabkan kakitangan awam akan ketinggalan jauh. Keadaan yang sama akan berlaku sekiranya kakitangan awam tidak berupaya menguruskan perubahan mendadak ini dengan bijaksana.

Antara contoh terbaik penerapan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan, adalah menerusi penggunaan secara meluas aspek perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Perkembangan ICT kini secara langsung telah mengubah cara bekerja dalam organisasi. Sebagai contoh, ketua-ketua jabatan perlu memahami dan mengikuti perkembangan ICT dan bagaimana kecanggihan dan potensinya dapat digunakan secara paling produktif. Sesungguhnya penggunaan ICT yang betul dan strategik akan meningkatkan keupayaan untuk mencorak dasar, strategi dan program-program pembaharuan dalam Perkhidmatan Awam. Langkah-langkah ke arah ini sebenarnya telahpun dimulakan tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan. Apa yang lebih penting ialah ke mana arah tuju organisasi, apakah agenda masa depan dan bagaimana dapat mengisi masa depan dengan agenda tersebut.

Hakikatnya, kepantasan teknologi ini membolehkan sesuatu keputusan dapat dibuat dengan pantas, dan sebaran maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat bagi memenuhi tuntutan pengguna.

Oleh itu, dalam memenuhi tuntutan pengguna, inovasi dalam sistem penyampaian perlu diberi keutamaan untuk menambahbaik mutu perkhidmatan di negara kita. Sebagai contoh perlaksanaan kerajaan elektronik (EG) adalah merupakan salah satu tuntutan tersebut. Walau bagaimanapun, sejauh manakah kecemerlangan perkhidmatan awam menerusi teknologi ini dapat memenuhi tuntutan rakyat?

Tidak dapat dinafikan bahawa revolusi ICT dalam perkhidmatan awam telah wujud sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 lagi. Kewujudan teknologi ini dikatakan dapat meningkatkan akses penyampaian perkhidmatan awam yang mana ia bukan sahaja dapat memperbaiki perkhidmatan antara kerajaan dan rakyat malah dapat meningkatkan lagi ketelusan dan mengurangkan birokrasi.

Salah satu ciri utama kerajaan elektronik di Malaysia ialah melalui portal perkhidmatan untuk orang ramai yang dikenali sebagai MyGovernment. Portal ini turut menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan hampir semua agensi kerajaan antaranya e-perkhidmatan, e-syariah e-perolehan dan sebagainya.

Menerusi e-perkhidmatan, sebenarnya rakyat dengan mudah dapat mengakses dalam membuat pembayaran antaranya pembaharuan lesen memandu, pembayaran untuk saman, pembayaran bekalan elektrik, telefon dan bil-bil internet.

Begitu juga menerusi portal e-syariah yang diperkenalkan pada tahun 2005 ini, ia bukan hanya bertindak dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan dalam pengurusan dalaman malah ia juga mudah untuk bertindak dalam memfailkan pelbagai kes-kes guaman sivil, faraid dan kes-kes jenayah.

Apa yang lebih menarik menerusi portal ini, ia boleh merentasi negara, membenarkan peguam-peguam, pendakwa, plaintif dan defendan untuk memfail afidavit-afidavit dalam talian, mendapat tarikh perbicaraan dan lanjutan status kes-kes mereka. Portal itu juga bertindak sebagai kaunter sehenti pada badan kehakiman, membolehkan orang ramai merujuk semua enakmen untuk pentadbiran mahkamah. Dengan adanya pelbagai fungsi portal seperti ini maka rakyat lebih mudah dalam membuat segala urusan dengan cepat dan pantas.

Sehubungan itu, inovasi dalam sektor awam terutama dalam meningkatkan penggunaan ICT di kalangan kakitangan dan pegawainya adalah penting sebagai salah satu inovasi atau pembaharuan dan juga bertindak sebagai pemangkin kecemerlangan pada masa akan datang.

Tanpa adanya inovasi terutama dalam penguasaan dan kemahiran ICT ini, kualiti perkhidmatan awam negara akan terus berada di takuk lama dan hasrat untuk menjadi antara 10 negara paling cekap di dunia menjelang 2020 tentu sukar tercapai.

Penulis: Nor Hartini Bt. Saari , Pegawai Penyelidik IKIM

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Disember 16, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: