Mendaki Usia Emas


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

“Dan Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah  Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.” (an-Nahl: 70)

Jelas dari maksud firman Allah surah an-Nahl ayat 70 ini bahawa soal umur telah ditentukan oleh Allah s.w.t. mengikut peraturannya.  Justeru itu sebagai wargatua yang dianugerah Allah umur tambahan atau subsidi serta pula sihat dari segi mental dan fizikal apakah kita telah bersyukur kepada Allah atas kurniaan itu?

Usia Emas’ yang dimiliki ini harus dimanfaatkan dengan mengingati dan mencintai Allah-Nya serta memohon keredhaan dan rahmatnya, mudah-mudahan dengan sebab rahmat dan kasihan belas Allahlah seseorang itu dapat masuk syurga.

Masyarakat Islam khususnya mestilah bersikap positif dan prihatin terhadap golongan yang telah mencapai usia emas ini.  Kita harus bersedia menghadapi fenomena ini.  Kita harus menyusun satu sistem kesihatan dan kebajikan yang sempurna jika kita tidak ingin melihat ramai golongan telah tua ini hidup melarat atau terasing daripada masyarakat.

Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata kerana pada masa kini Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya mempunyai 108 buah rumah orang tua yang hanya boleh menampung seramai 937 orang sahaja.

Berhubung penjagaan serta penghormatan ke atas warta tua ini Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadisnya yang bemaksud:

“Bukanlah dari golongan kami siapa yang tidak memuliakan orang tua kita dan tidak pula berbelas kasihan tehadap anak kecil dan tidak menyuruh berbuat makruf dan mencegah mungkar.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud:

“Tiada seorang muda yang menghormati seorang tua melainkan Allah Taala akan mentakdirkan  seorang lain menghormatinya, apabila dia menjadi tua pula.”

Dalam usia emas yang sebegini ia adalah merupakan suatu masalah dalam lingkaran hidup manusia yang dihadapi dengan penuh kebimbangan dan kewaspadaan.

Justeru itu Rasulullah s.a.w sebagai Rasul penutup telah bersabda yang bemaksud:

“Hendaklah kamu merebut (peluang) keuntungan (keemasan) daripada lima perkara (peluang) sebelum kedatangan lima perkara iaitu:

1) Keuntungan semasa hidup engkau sebelum tiba kematian engkau.

2)    Keuntungan semasa sihat engkau sebelum tiba kesakitan engkau.

3)    Keuntungan di kala kelapangan engkau sebelum datang kesibukan engkau.

4)    Keuntungan semasa muda engkau sebelum datang masa tua engkau.

5)    Keuntungan semasa kaya engkau sebelum tiba masa kepapaan engkau.” (Riwayat Bahaqi dan Al-Hakim)

Adapun umur yang paling baik sekali ialah umur yang dibekati Allah Taala yang diberi taufik untuk mengerjakan amalan soleh dan kebajikan-kebajikan yang lain.

Ada kalanya Allah Taala meletakkan berkatnya pada umur yang pendek kepada setengah-setengah hambanya yang terpilih sehingga amalannya lebih banya yang baik daripada orang yang dipanjangkan umur.  Contohnya Imam Shafie meninggal ketika umur 54 tahun.  Imam Al-Ghazali 55 tahun dan Imam Nawawi ketika 34 tahun.

Usia emas bagi warga tua seharus tiada disia-siakan dengan begitu sahaja kerana Nabi s.a.w pernah memberitahu:

“Umur kebanyakan umatku ialah antara 60 ke 70 tahun.” (Maksud Hadis)

Sabda Nabi s.a.w ini seharusnya menjadi perhatian dan juga perhitungan kita.  Berapa tahunkah kita telah melayari bahtera hidup sampai sekarang dan berapa tahun lagi kemungkinan umur kita akan dilanjutkan Allah?

Rambut putih itu mengingatkan kita akan ketibaan ajal dan menutup semua jalan cita-cita dan angan-angan.  Pepatah ada menyebut:

“Alangkah buruknya perbuatan dosa-dosa kecil dari seorang insan, pada hal rambut dan janggutnya sudah menampakkan uban!”

Kerana itu janganlah kita banyak berangan-angan dan tertipu oleh kemewahan, kesenangan dan keindahan yang tidak bererti ini.  Gunakanlah masa di hari ini untuk hari ini (bagi kepentingan akhirat) dan masa esok untuk esoknya.

Penuhkanlah liku-liku masa dan waktu hidup anda dengan mengingati dan mencintai Allah dan Rasul-Nya.  Mohonlah pada Allah akan keredaan dan rahmat-Nya, di mana dengan sebab rahmat dan kasihan belas Allahlah seseorang dapat masuk syurga.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.a.w telah berfirman yang bermaksud:

“Demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku dan keperluan sekalian makhluk-Ku, sesungguhnya Aku merasa malu terhadap hamba-Ku baik lelaki atau wanita yang masing-masing telah mencapai umur tua di dalam Islam untuk aku menyeksa mereka pula.  Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis.  Lalu dikatakan kepadanya:  Apa sebab engkau menangis?  Jawab Baginda:  Aku menangiskan orang tua yang tuhan malu kepadanya, sedangkan ia tidak pula malu kepada Allah s.w.t.”

Allah telah berfirman dalam surah Yaasin ayat  68 yang bermaksud:

“Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?”

Orang yang telah mengalami umur tua seharusnya dapat menyesuaikan diri dengan peringkat umur yang sedang dihadapinya iaitulah peringkat warga tua.  Andainya peringkat umur muda-remaja tidak lagi boleh kembali ke peringkat kanak-kanak: baik dari segi mental dan fizikalnya; demikian jugalah peringkat umur menua, tidaklah boleh lagi kembali ke pringkat muda-remaja.

Justeru itu terdapat sebuah kata-kata bidalah Arab yang bermaksud:

Kiranya kemudaan itu kembali lagi pada suatu hari…” (Tetapi cuma tinggal dalam bentuk angan-angan dan khayalan sahaja.)”

Di dalam kehidupan dunia inilah, manusia telah dijelaskan akan matlamat hidup yang sebenarnya seperti yang terungkap dalam firman Allah taala dalam surah Az- Zariyat, ayat 56 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku.”

Berdasarkan kepada mafhum ayat suci ini, matlamat utama kehidupan umat manusia ialah menyembah Allah Taala.

Perlu ditegaskan, yang dimaksudkan dengan menyembah Allah di sini ialah kita sewajibnya memusatkan penyembahan kita kepada Allah taala semata-mata semasa kita menjalani kehidupan kita di dunia ini dalam segala lapangan hidup, terutama dalam aspek hubungan dua paksi, iaitu paksi menegak, yakni hgubungan kita dengan Allah taala dan paksi mendatar, yakni hubungan kita sesama manusia sejagat.

Dalam erti kata lain seluruh ruang lingkup hidup kita pada setiap detik yang berlalu dan di mana-mana jua kita berada sama ada dalam aspek ibadat mahupun muamalat seharian semuanya dilakukan dalam rangka penyembahan kepada Allah taala dengan niat mengharapkan keredaan-Nya jua.

Semasa di dunia inilah jua manusia diperintahkan untuk menjunjung segala titah perintah Allah taala dan dalam masa sama dituntut untuk menjauhi segala larangan-Nya.  Ini adalah kerana dunia ini adalah tempat  untuk beramal sebanyak mungkin seumpama tempat untuk bercucuk tanam di mana akhirnya diberikan ganjaran yang setimpal di hari akhriat nanti.

Ini bermakna kesempatan hidup di dunia ini hanyalah bersifat sementara sahaja dan ianya juga berlaku hanya sekali sahaja dalam umur manusia di mana tidak akan ada lagi kesempatan tersebut pada waktu-waktu lain di masa akan datang.

Sudah menjadi sunnah Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian. Maka setiap manusia telah ditakdirkan semenjak azali lagi bilakah masanya dia akan datang mengadap Allah Taala.

Jemputan ajal yang tidak diundang ini sekurang-kurangnya telah menginsafkan setiap manusia  betapa mereka perlu bersedia menghadapi satu alam yang bernama alam Barzakh yang merupakan peringkat keempat dalam kehidupan manusia.

Alam barzakh atau alam kubur adalah antara perkara ghaib yang wajib diimani oleh setiap individu yang beriman kepada Allah.  Alam kubur itu adalah umpama pintu gerbang akhirat atau sebagai pintu masuk untuk menuju ke alam akhirat yang merupakan alam terakhir dalam peringkat kehidupan mansia.

Di alam kubur manusia akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia dahulu.  Di sana Allah akan memperlihatkan keadilan-Nya.  Jua, di sana terdapat azab kubur yang merupakan seksaan kepada sesiapa yang derhaka kepada Allah Taala.

Sehubungan dengan alam kubur ini, Baginda s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:

“Ketika mayat itu diletakkan di dalam kubur, maka kubur itu berkata sambil mengeluh: Wahai Anak Adam!  Apakah engkau tidak mengetahui bahawa aku ini rumah fitnah, rumah gelap gelita, rumah sempit lagi dingin, rumah cacing?  Apakah engkau tidak menduga ketika lewat di atas punggungku?  Kalau sekiranya mayat hamba yang soleh, maka dia akan menjawab dengan baik.  Kata kubur itu lagi:  Apakah engkau mengerjakan amar maaruf nahi mungkar?  Aku mengubah tubuhmu menjadi rumput hijau, membuat jasadmu menjadi nur dan menaikkan rohmu ke hadrat Allah Taala.” (Riwayat At-Thabrani)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Disember 28, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: