Kesepaduan atau berpecah belah?


normal_ummah2wr6

Kesepaduan ummah dan kesatuannya adalah wajib dan penting untuk pembangunan umat Islam di sepanjang zaman dalam menghadapi persaingan dengan umat lain secara sihat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains teknologi, ekonomi, peradaban, politik dan seluruh aspek kehidupannya. Dunia kini adalah dunia global, dunia tanpa sempadan, sesiapa saja boleh maju ke hadapan, dan sesiapa yang leka akan mundur dan ketinggalan.

Oleh itu dalam mencapai kemajuan dalam semua persaingan itu, apakah kita umat Islam akan leka dengan isu-isu sampingan, remeh temeh, isu khilafiah dalam bidang agama yang merupakan isu-isu ijtihadiah serta cabang sehingga menggugat perpaduan dan kesatuan kita?

Sembahyang umpamanya adalah fardu ke atas semua orang Islam, dan kita menunaikan sembahyang sama saja pada dasarnya di mana-mana saja kita berada, orang Islam sama ada Melayu, Arab, Amerika, Inggeris, Afrika dan lain-lain, semuanya sembahyang mengadap kiblat yang satu, ke Kaabah, Baitullah, empat rakaat sembahyang Zuhur, Asar dan Isya, baca surah al-Fatihah yang sama, rukuk sujud yang sama. Itulah dasar sembahyang yang kita sepakati dan kerjakan.

Hal ini menyatu padukan umat Islam sejagat, cuma berbeza waktu sembahyang kerana waktu dunia juga berbeza, kita di Malaysia sembahyang Zuhur umpamanya pada jam 1 tengahhari, tetapi umat Islam di di Arab Saudi, termasuk orang Malaysia yang berada di sana kerana  menunaikan fardu haji, belum sembahyang Zuhur, kerana di sana baru jam 8.00 pagi. Hal ini tidak menjadi masaalah, kerana kita menunaikan sembahyang dalam waktunya, dan mereka akan menunaikan sembahyang Zuhurr apabila tiba waktu Zuhur nanti.

Ketika kita berada di Mekah, dan sembahyang di belakang Imam di sana, kita akan mengikut semua pergerakan Imam, dia tidak membaca Bismillah ketika membaca al-Fatihah secara nyaring seperti yang kita lakukan di Malaysia, dan dia tidak baca doa Qunut ketika sembahyang Subuh, seterusnya selepas sembahyang dia tidak baca doa ramai-ramai seperti yang kita lakukan di negara kita, maka hal itu tidak menjadai persoalan bagi kita, sehingga kita akan mengatakan bahawa sembahyang itu tidak sah umpamanya, atau apa yang dilakukan oleh imam itu adalah terkeluar daripada ajaran Islam, terkeluar daripada Sunnah sehingga dikatakan bahawa perbuatan itu Bid’ah, masuk neraka umpamanya.

Hal-hal itu adalah masalah khilafiah, iaitu perkara yang merupakan perselisihan pendapat di kalangan ahli agama yang membuat tafsiran yang berbeza-beza tentang amalan yang merupakan amalan cabang-cabang dari ibadat sembahyang itu.

Oleh itu pada kita hal itu tidaklah perlu dibangkitkan lagi, atau dibesar-besarkan sehingga kita menjatuhkan hukuman yang berat kepada umat Islam lain yang berbeza pandangan dengan kita tentang perkara-perkara cabang ini.

Demikian juga dalam isu-isu yang sering dibangkitkan dalam masyarakat kita yang merupakan isu-isu ijtihad, seperti bertahlil, membaca Yaasin malam Jumaat, menyambut Maulidur Rasul dan sebagainya. Perkara-perkara itu adalah merupakan perkara-perkara khilafiah diantara para ulamaak yang mempunyai tafsiran masing-masing dan mempunyai hujjah mereka sendiri. Oleh kerana hal itu merupakan hal khilafiah, maka orang Islam bebas mengikut mazhab mana yang mereka mahu, maka dalam masa yang sama janganlah mengatakan bahawa orang lain yang tidak mahu mengikutnya adalah berdosa, masuk neraka dan berbagai hukuman berat lain, yang menggambarkan bahawa isu khilafiah itu seolah-olah merupakan isu akidah dan iman seseorang kepada Allah s.w.t.

Tetapi akhir-akhir ini, nampaknya isu-isu seperti itulah yang amat popular dan disebarkan di sana sini, seolah-olah umat Islam di Malaysia yang mengamalkan Islam menurut mazhab Shafie semuanya salah, berdosa dan ada kalanya boleh membawa ke dalam neeraka, kerana apa yang mereka lakukan itu merupakan bidaah, setiap bidaah adalah sesat, dan setiap yang sesat itu membawa ke neraka.

Maka dengan itu berpecah belahlah umat Islam Malaysia, berlumba-lumbalah mereka membubarkan kumpulan Yasin yang telah wujud selama ini tanpa gangguan, ramailah pula Imam sembahyang yang takut nak baca Bismillah ketika membaca Fatihah, tak payahlah lagi baca doa ramai-ramai selepas sembahyang dan semuanya seolah-olah berdosa sehingga terdapat di antaranya yang bertaubat dengan amalannya selama ini, yang berwasiat supaya tidak diadakan majlis tahlil lagi selepas kematiannya.

Persoalannya kita umat Islam, manakah yang lebih penting, iaitu membina kesatuan dan perpaduan umat, atau berpecah belah kerana masalah cabang dalam amalan agama kita? Bersatu pada jalan Allah adalah wajib, sedangkan mengamalkan amalan-amalan cabang dalam agama mengikut mazhab masing-masing tidaklah sampai menjejaskan akidah kita. Apakah kita harus mengenepikan kesatuan ummah kerana masalah khilafiah? Apakah hal ini yang dituntut oleh agama kita?

Saya rasa keutamaan bagi kita umat Islam dalam dunia persaingan dan global sekarang ini ialah perpaduan, bukannya berpecah belah kerana soal-soal khilafiah yang bukannya merupan isu fundamental agama, atau isu-isu yang boleh menjejaskan akidah kita. Isu-isu khilafiah itu telah timbul begitu lama dan banyak yang telah diselesaikan, kenapakah harus  dibangkitkan lagi?

Nasib baiklah kita di Malaysia belum dibangkitkan lagi isu perpecahan mazhab yang serius, sehingga membolehkan pengikut mazhab yang berbeza-beza itu membunuh para pengikut mzhab lain seperti yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam sekarang ini. Tetapi sekiranya kita tidak berhati-hati dan bercermat, maka kita pun mungkin pada satu hari nanti akan mengambil tindakan ganas juga terhadap saudara-saudara kita sesama Islam yang tidak mahu mengikut mazhab kita. Apakah kita ingin melihat hal ini berlaku di negara kita?

Oleh itu saya rasa semua orang Islam di negara kita ini haruslah tahu membezakan apakah amalan agama yang fundamental dan asasi, dan apakah amalan agama yang merupakan amalan cabang, supaya kita tidak terperangkap di dalam jebak yang boleh memecahbelahkan kita, dan berpecah belah adalah bertentangan dengan ajaran agama kita. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Bersatu padulah kamu seluruhnya pada jalan Allah, dan janganlah kamu berpecah belah.”

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 1, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: