Tahun Baru Yang Lebih Diberkati


Sekurang-kurangnya telah tiga kali hari Jumaat – dengan catatan ’sejarah’ tersendiri – kita lalui sepanjang Disember sebelum ternoktahnya tahun 2009. Dan tahun baru Masihi 2010, juga jatuhnya pada hari Jumaat. Salah satu tarikh bersejarah pada penghujung tahun 2009 itu adalah permulaan kalendar baru Hijrah (18 Disember).

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, dan banyak keberkatan yang dapat diambil bagi membolehkan kita memperoleh pahala yang lebih. Sebagai permulaan hari, pada hari Jumaat sebenarnya setiap orang Islam berada dalam kemuliaan dan sentiasa dalam kesucian.

Pahala dilipatgandakan pada hari Jumaat, dan kerana itulah banyak yang didengar, disunatkan membaca Yaasin pada malam Jumaat, diwajibkan bersembahyang Jumaat secara berjemaah, disunat bersama isteri sepanjang malam Jumaat dan disunatkan bermandi pada hari Jumaat dan disunatkan berpagi-pagi ke masjid untuk mendapat ganjaran  yang lebih besar.

Sebagai seorang Muslim, kita perlulah memperkuatkan azam untuk meningkatkan amal ibadah kita pada hari-hari akan datang. Ini tidak pula bermakna, sebelum tibanya tahun baru, kita tidak perlu melakukan amalan yang baik-baik dan  bersesuaian dengan Islam. Tidak pula bermakna, semasa malam menyambut tahun baru kita perlu melakukan sesuatu yang kurang berbudaya luhur dan mengkesampingkan nilai moral.

Ada orang menyambut ketibaan tahun baru dengan pesta dan majlis tari menari. Sambutan sedemikian bukanlah sesuatu yang perlu kita galakkan, kerana dalam Islam, pada malam tahun baru seharusnya kita melipatgandakan ibadat mensyukuri nikmat Allah s.w.t. Sekurang-kurangnya berterima kasih kerana diberikan rezeki dan umur yang panjang sehingga kita boleh melangkah ke tahun baru.

Kita dianjurkan melakukan refleksi:melihat masa lalu bertujuan mengambil ikhtibar, manfaat, perhitungan,serta melihat ke depan untuk menyiapkan bekal bagi persiapan hari esok.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin itu tidak terikat kecuali oleh tiga masa; membekali diri untuk kembali ke akhirat, berjuang untuk kehidupan dunia dan menikmati apa yang tidak di haramkan.”

Sebelum memasuki tahun baru, kita perlu merenung sedalam-dalamnya apakah yang telah berlaku sepanjang tahun 2009. Jika fikiran kita menjadi sesak memikirkan situasi politik negara yang tidak pernah sunyi dengan kejutan dan keceluparan kata, maka tahun 2010 kita perlulah mempertingkatkan semangat bekerja dan beramal dengan lebih gigih.

Biarlah kita tutup tahun 2009 itu dengan sedikit duka, tetapi mengharapkan ketibaan 2010 bukanlah dengan menambahkan lagi sengsara kemelesetan ekonomi, misalnya. Sebagai seorang individu, kita perlu meneliti kembali apakah semangat yang boleh kita teruskan untuk menghadapi tahun baru.

Kita mungkin dapat memahami, meneladani petunjuk-petunjuk yang ada di sekeliling kita. Contohnya, musibah yang berlaku pada tahun 2009, kita jadikan sempadan kerana sebahagiannya adalah disebabkan oleh kelalaian kita sendiri. Tragedi bas dua tingkat yang mengorbankan 10 nyawa beberapa hari lalu adalah kerana kecuaian manusia. Memang ia satu takdir yang menuntut kita mengembalikan segala sesuatu kepada Allah s.w.t agar kita lebih tenang kembali. Seharusnya kita menjadi orang yang memiliki satu sikap yang tenang dengan suatu penguasaan peribadi yang tetap utuh.

Sempena Tahun Baru 2010 ini, kita bermuhasabahlah agar peribadi kita menjadi semakin kuat dan diselubungi dengan sifat-sifat baik serta sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah s.w.t dan teladan yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w, insan terbaik yang pernah dihadirkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia.

Kita juga mungkin terfikir apakah setiap langkah yang telah kita ambil itu selaras dengan ‘sumpah dan ikrar’ terhadap Allah s.w.t. Kita bertanya kepada diri kita sendiri: apakah kita telah melalui jalan yang benar, yang menepati petunjuk keredaan-Nya dan amalan yang kita galas itu menepati konsep ketakwaan dan keikhlasan.

Apakah kita telah menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba Allah yang diamanahkan kepada kita sebagaimana kita selalunya tamak untuk mendapatkan hak-hak sendiri, dan membuat perbandingan pula dengan senarai kebaikan yang kita lakukan. Dari dua belahan nilai itu, manakah yang lebih berat?

Meskipun hanya sekelumit noda, kita tidak seharusnya lupa noda itulah yang akan menyebabkan manusia dilanda kehancuran. Musibah yang melanda, tentunya ada kaitan dengan apa yang kita lakukan.

Untuk tahun baru, kita sentiasa mengharapkan kehidupan yang kita hadapi itu sentiasa diberkati dan diberikan perlindungan oleh Allah s.w.t. Kehidupan yang berkat adalah kehidupan yang sentiasa berada dalam panduan hidayat dan keredaan Allah s.w.t. Suatu kehidupan yang mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk dapat memecahkan setiap persoalan yang datang menimpa.

Keberkatan hidup juga tercermin dari perilaku manusia yang terus berusaha mencari rezeki secara halal, dan menjauhkan diri dari segala nilai-nilai khurafat, hasad dengki dan buruk prasangka. Ia sentiasa berzuhud dan menyerahkan segalanya secara bertanggungjawab dan amanah. Setiap usahanya memberikan impak positif kepada orang lain, sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah umum. Misalnya, menyeru setiap yang malas bekerja supaya bercucuk tanam menambahkan hasil dan mengurangkan pergantungan import bahan makanan.

Tanah terbiar menjadi sesuatu yang amat bermakna. Bumi Malaysia yang subur dan makmur perlu dipenuhi dengan pelbagai tanaman makanan, kerana itu juga sebahagian daripada ibadat kita sebagai orang Islam. Kita membantu memberikan makanan kepada orang lain melalui hasil yang kita keluarkan, dan hasil tersebut boleh digunakan pula untuk membeli lain-lain keperluan, termasuk menyekolahkan anak-anak.

Ingatlah, ilmu adalah sesuatu yang amat tinggi kedudukannya dalam Islam. Kedatangan Islam telah melenyapkan zaman jahiliah, dan kitalah yang akan menentukan kegemilangan Islam pada masa depan melalui keutamaan ilmu.

Pada hakikatnya paling tidak ada dua alasan utama yang menyebabkan keberkatan hidup itu hilang atau telah diangkat oleh Allah s.w.t: Pertama, jika umat manusia telah menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, tanpa mempedulikan apakah cara yang ditempuhnya benar ataukah salah dalam pandangan Islam.

Misalnya, banyak orang berlumba-lumba mengejar pangkat tanpa mengendahkan apakah caranya itu betul dan selaras dengan prosedur? Apakah jawatan yang diraih itu benar-benar menepati dengan kebolehan dan kemahirannya atau di sebaliknya.

Apakah tujuan sebenarnya seseorang itu amat memerlukan jawatan tersebut? Bak kata pepatah, mungkin ada udang di sebalik batu kerana dengan kedudukan tersebut dia boleh melunaskan cita-cita peribadi? Atau jawatan itu menjadi batu loncatan untuk terus mengumpul kekayaan tanpa menghiraukan orang lain? Atau digunakan untuk mengumpul kekuatan pengaruh bagi menguasai pihak yang lain, membentuk hegemoni kuasa dan pengaruh peribadi.

Kedua, umat Islam telah meninggalkan kegiatan amar makruf nahi munkar. Betapa banyak orang yang mengaku beragama Islam tetapi perilakunya menunjukkan hal yang sebaliknya. Demikian pula ketika muncul seruan daripada sejumlah ulama yang memfatwakan haramnya riba dan pornografi, maka banyak pula orang yang mengaku Muslim menentangnya dengan dalih kebebasan asasi.

Perilaku inilah yang sebenarnya digambarkan Allah s.w.t yang bermaksud:

Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh berbuat yang munkar dan melarang berbuat yang makruf  dan  mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah lupa kepada mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik.” (at-Taubah: 67)

Jika hal ini masih terus dan selalu terjadi, tentunya keberkahan hidup hanyalah akan menjadi sebuah impian. Semoga kita menyedari akan hal ini dan berusaha untuk selalu memperbaikinya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Jika umatku terlalu mengagung-agungkan dunia, maka kehebatan Islam akan diangkat daripada umatku. Dan jika mereka meninggalkan amar makruf nahi munkar, maka keberkatan wahyu akan terhalang. (Riwayat Abu Daud).

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 1, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: