Di sebalik kemeriahan menyambut tahun baru 2010, umat Islam kebingungan


Kedatangan tahun baru Masihi 2010 disambut meriah di negara kita. Menjelang jam 12.00 tengah malam 31 Disember 2009, ketibaan tahun baru 2010 disambut dengan sorakan gembira, pelukan mesra dan ditambah lagi seri dan indahnya apabila langit ibu kota Kuala Lumpur dan kota-kota besar lainnya di Malaysia diterangi oleh cahaya indah berwarna-warni bunga api yang bergemerlapan.

Rakyat negara ini dari kalangan semua kaum dan budaya menyambut meriah ketibaan tahun baru, dengan azam baru dan semangat kental untuk menghadapi tahun-tahun mendatang, sesuai dengan falsafah dan wadah baru negara yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, iaitu gagasan 1Malaysia. Semuanya bergembira dan menyanyi-nyanyi dalam semangat 1Malaysia yang penuh toleransi dan perpaduan.

Bagaimanapun, ketibaan tahun baru itu agak mengejutkan sesetengah kalangan masyarakat Islam di negara kita yang hanya pada pagi tahun baru itu barulah berkesempatan membaca berita-berita yang tidak dapat diikutinya pada malamnya melalui media elektronik kerana berada di luar rumah merayakan ketibaan tahun baru 2010.

Umat Islam di Malaysia yang bersarapan dengan akhbar pada hari pertama tahun baru itu agak terkejut dengan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan nama Allah di dalam penerbitan Kristian. Keputusan itu dibuat, mengikut berita yang di baca, adalah berdasarkan Perlembagaan dan hakikat bahawa penerbitan itu bukanlah bermaksud untuk menyebarkan ajaran agama lain kepada masyarakat Islam.

Masyarakat Islam tentulah tidak berniat untuk mencabar keputusan mahkamah, atau mempertikaikan proses perundangan semata-mata berdasarkan sentimen melulu, kerana ruang untuk merayu mengikut proses perundangan juga masih terbuka luas.

Cuma kalau dapat difahamkan perasaan umat Islam dan pentafsiran mereka tentang nama “Allah” itu, maka hakikatnya nama “Allah” adalah khusus kepada Tuhan penganut agama Islam dalam konsep dan definesi bahawa “Allah” adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang merujuk kepada konsep ketuhanan agama Islam.

Islam menolak sebarang sekutu Allah dalam sebarang bentuk, dan hal ini bukan hanya merujuk kepada makna dan konsep ketuhanan Islam itu sahaja, malah dalam konteks bahasa dan budaya Melayu sendiri, “Allah” adalah sinonim dengan Tuhan Yang Esa, berdasarkan konsep tauhid yang dibawa oleh Islam untuk seluruh umat manusia. Dan apabila konsep ini dicemarkan, maka Islam menolak sebarang konsep ketuhanan yang berdasarkan wujudnya sekutu Tuhan itu, terutamanya kerana hal ini akan menimbulkan kekeliruan yang banyak di kalangan generasi baru umat Islam sendiri tentang konsep ketuhanan mereka.

Memang benar seperti yang dihujahkan oleh sesetengah kalangan masyarakat bahawa orang-orang kafir musyrikin telah berterus terang mengakui Allah sebagai pencipta langit dan bumi ini, umpamanya seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran, iaitu di dalam surah al-Ankabut ayat 61 dan 63, ketika  orang kafir musyrikin mengakui bahawa Allah yang menjadikan langit dan bumi, juga menundukkan matahari dan bulan untuk mereka manfaatkan, tetapi pada akhir ayat tersebut Allah bertanya pula, kalau demikianlah pengakuan mereka, maka kenapakah mereka dapat dipalingkan daripada jalan yang benar?

Dalam ayat 63 pula, ketika mereka mengakui bahawa Allah yang menurunkan air daripada langit lalu menghidupkan bumi yang telah mati, tetapi Allah bertanya pula di akhir ayat itu, kalau begitu, maka mengapakan kebanyakan mereka tidak memahaminya?

Pendirian mereka ketika mengakui bahawa Allah yang menjadikan segala-galanya itu mungkin boleh ditafsirkan sebagai pengakuan mulut yang tidak disertai dengan keimanan kepada Allah dalam konsep Tuhan Yang Maha Esa, sebab itu Allah bertanya kenapakah mereka berpaling daripada jalan yang benar. Demikian juga pengakuan mereka bahawa Allah itulah yang menurunkan hujan dari langit dan menghidupkan bumi yang telah mati, mungkin juga dapat diertikan sebagai pengakuan mulut juga, kerana mereka masih tidak mahu memahami konsep keesaan Allah s.w.t seperti yang diakui dan disaksikan oleh orang Islam.

Untuk penjelasan lanjut marilah kita baca bersama ayat 61 dan 63 daripada surah Al-Ankabut itu yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?, tentu mereka akan menjawab: Allah, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar.”)

Ayat 61

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab: Allah, katakan (wahai Muhammad) alhamdulillah, tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya.”)

– Ayat 63

Kiasan Allah bahawa ucapan mereka yang mengakui tentang kekuasaan Allah tetapi dalam masa yang sama masih melakukan amalan syirik dan menyeleweng, jelas membayangkan bahawa bagi mereka konsep Allah itu tidaklah sebenarnya menepati konsep Allah seperti yang diturunkan wahyunya oleh Allah sendiri tentang keunikan tuhan bagi manusia Muslimin yang bernama Allah itu, dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan Nabi dan Rasul terakhir bagi umat manusia.

Penggunaan istilah Allah untuk tuhan, dan pengakuan tentang keunikan kandungan kalimah ini tentu tidak memungkinkan amalan ahlil-kitab untuk mengubah dan meminda kitab suci mereka, dan tidak membenarkan sama sekali mereka menyengutukan Allah dengan tuhan yang lain.

Konsep ini jelas menunjukkan percanggahan yang ketara tentang penggunaan nama Allah bagi tuhan selain dari pada tuhan orang Muslimin, dan amat bertentangan dengan sifat Allah yang diyakini dan diimani oleh orang Islam.

Bagaimanapun, atas dasar ajaran agama Islam sendiri yang memberikan kebebasan beragama, “bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”, maka orang Islam bersetuju bahawa masing-masing agama adalah bebas melakukan sembahan terhadap tuhan mereka. Ketuhanan adalah sesuatu yang mempunyai hubungan rapat dengan sistem kepercayaan pengikut agama yang tertentu. Orang Islam tidak dapat berkongsi dengan bukan Islam, termasuk pengikut Kristian yang percaya kepada konsep trinity, kerana orang Islam percaya bahawa Nabi Isa bukanlah anak Allah. Tetapi berdasarkan unity in diversity, maka orang Islam tidak sedikit pun mengganggu amalan dan akidah mereka, juga berdasarkan konsep agree to disagree.

Rasulullah s.a.w sendiri ketika diajak supaya berkongsi menyembah Allah dan tuhan mereka secara bergilir-gilir, iaitu orang musyrikin menyembah Allah untuk beberapa hari, dan Rasulullah s.a.w menyembah tuhan mereka untuk beberapa hari pula, maka baginda tidak dapat menerimanya, sebaliknya menegaskan bahawa “bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”, (surah al-Kafirun), yang bererti bahawa dalam soal akidah seorang Islam itu tidak mungkin dapat bertolak ansur sama sekali, termasuklah segala sesuatu yang mempunyai hubungan dengan akidah ketuhanannya Yang Maha Esa.

Bagaimanapun, saya rasa, apa-apa saja keputusan mahkamah, atau tanggapan orang tentang dasar penggunaan nama Allah dan konsepnya yang berbeza-beza, maka umat Islam sendiri haruslah menerimanya dengan dada yang terbuka, dan dalam menghadapi keadaan ini, maka mereka haruslah mempersiapkan diri sendiri dengan kekuatan ilmu dan akidah yang tidak mungkin dapat digoyangkan oleh sebarang tafsiran dan gagasan lain yang akan seterusnya timbul dari semasa ke semasa dalam hal ini.

Bentuk reaksi umat Islam terhadap cabaran ini adalah amat penting dalam mengekalkan sifat toleransi Islam dan keterbukaannya, yang tidak bermaksud bertolak ansur dalam akidah dan amalan agamanya, tetapi dalam bentuk menjaga keharmonian sesama umat manusia, dan mengelakkan sebarang tindakan dan reaksi yang tidak bertamadun.

Kebimbangan bahawa hal ini akan mengelirukan generasi muda Islam tentang agama mereka, seharusnya mendorong umat Islam dengan lebeh kuat lagi untuk menyusun agenda mereka bagi memberikan kefahaman dan keyakinan generasi yang tersebut tentang agama mereka dan ajarannya yang unik itu, terutamanya tentang akidah dan syariahnya.

Moral dan maruah umat Islam tidaklah jatuh dengan satu dua keputusan mahkamah, kerana mahkamah adalah bertindak mentafsirkan undang-undang, dan sekiranya hal itu merupakan sesuatu yang amat subjektif, maka terdapat beberapa peringkat mahkamah lain dalam proses membuat keputusan. Malah sekiranya dalam proses itu masih terdapat keadaan yang tidak memuaskan perasaan beberapa kalangan masyarakat, maka ingatlah “bumi mana yang tidak ditimpa hujan”. Yang pentingnya adalah iman dan akidah umat Islam itu sendiri yang seharusnya sentiasa kuat dan utuh.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 6, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: