Kembalikan Kesucian Kalimah Allah


Pengetahuan tentang Allah adalah kebajikan yang paling agung. Memahami bahawa Allah s.w.t hanya satu (esa) dengan segala kebenaran-Nya merupakan penegasan sejati tentang keesaan Allah.

Kita tidak faham akan keinginan pihak tertentu yang bermati-matian hendak menggunakan nama Allah tetapi tidak mahu menerima hakikat sebenar akan zat Allah  seperti mana yang terukir di dalam firman-Nya yang bermaksud:

Katakanlah: Dia Allah Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.

(Al-Ikhlas: 1-4)

Kita amat berlapang dada sekiranya mereka itu menggunakan nama Allah tersebut selaras dengan hakikatnya yang sebenar, iaitu Allah adalah Tuhan Yang Esa dan tunggal pada zat-Nya (bererti tidak ada lagi zat lain yang berhak disembah dan yang menciptakan segala kejadian ini) tiada sekutu bagi-Nya.

Al-Quran menganjurkan cara yang betul menggunakan perkataan atau kalimah Allah, seperti mana yang ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

Katakanlah: Hai ahli kitab, marilah berpegang kepada satu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak pula sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemikpin dan sebagainya  sebagai tuhan selain Allah.”

(Ali-Imran: 64)

Bagaimanapun, tidak begitu kenyataannya kerana nama yang suci lagi Tunggal dan Esa itu hendak dipermainkan untuk kepentingan tertentu, maka penggunaan cara yang salah dan mengelirukan tersebut sudah tentu mencabar maruah umat Islam di negara ini.

Inilah suasana yang berlaku kepada kaum musyrikin Mekah semasa zaman Rasulullah s.a.w dahulu, apabila ditujukan pertanyaan, siapakah yang menciptakan langit bumi, mereka menjawab, Tuhan Allah, bukan tuhan yang mereka sembah, iaitu berhala dan lain-lainnya, sebab mereka tahu dan yakin bahawa tuhan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: ”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah.” Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

(Surah Luqman: 25)

Mungkin ada sesetengah orang mempersoalkan bagaimana dengan kaum musyrikin yang mengaku Allah yang menjadikan langit dan bumi?

Jawapannya, pengakuan tersebut bukan pengakuan keimanan (yang lahir dari hati dan jiwa) tetapi jawapan untuk melepaskan diri dengan membuat pengakuan kenyataan sebenar yang diakui oleh semua manusia. Kumpulan ini juga adalah seperti kaum musyrikin tersebut kerana kenyataan sebenar ‘mendesak’ mereka supaya berkongsi nama tersebut sebagai Tuhan mereka untuk melarikan diri daripada sesuatu kebuntuan dan pertentangan fikiran dan ilmu yang tidak ada jalan keluar untuk mereka. Sebab itu mereka ingin meminjam nama Allah untuk tuhan mereka.

Mereka sepatutnya mengakui keesaan Allah s.w.t dengan menyembah-Nya dan menerima ajaran agama-Nya (Islam), satu-satunya agama yang diterima dan diakui benar dan relevan sepanjang masa.

Sekarang seluruh manusia di Barat dan di Timur mulai sedar bahawa Allah yang disembah oleh umat Islam itulah Tuhan yang sebenar dan berhak untuk disembah dengan sebenar-benarnya, yang bersifat dengan keesaan pada zat-Nya, esa pada sifat-Nya dan esa pada perbuatan-Nya , bukan suatu yang lain daripada makhluk-Nya seperti Nabi Isa a.s, Mariam ibunya, apatah lagi  batu atau patung dan sebagainya, kerana semuanya itu tidak layak untuk disembah dan diagung-agungkan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu,dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesunggunnya Al-Masih, Isa putera Mariam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikannya kepada Mariam dan dengan tiupan roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan:  ‘(Tuhan itu tiga), berhentilah (daripada ucapan itu). Itu lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha suci Allah daripada mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

(An-Nisaa: 172)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 6, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: