Jadilah Umat Yang Kebal Dalam Menghadapi Cabaran


SIRAH JUNJUNGAN TAHAJUD CINTA / ISTANA BUDAYA

Banyak  peristiwa dan insiden yang telah berlaku sekian lama yang menunjukkan penentangan terhadap Islam dan para penganutnya di seluruh dunia, terutamanya dari dunia Barat, atas nama agama atau politik.

Peristiwa terbaru ialah larangan kerajaan Switzerland terhadap pembinaan menara bagi bangunan masjid di sana. Sebelum ini banyak cabaran dan penentangan lain yang berlaku, umpamanya dalam tahun 2004, Perancis melarang para pelajar Islam memakai tudung sebagai mematuhi ajaran Islam untuk menutup aurat.

Setelah itu berlaku peristiwa lain, yang bukan hanya merupakan cabaran, malah telah menunjukkan penghinaan terhadap Islam, termasuk penghinaan kepada peribadi Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam iaitu dengan lahirnya lakaran kartun, filem dan sebagainya, yang amat menyentuh dan melukakan hati umat Islam.

Penentangan terhadap Islam dan pertembungan Barat dan Islam dari segi agama dan politik, sebenarnya telah lama berlaku, yang dapat ditafsirkan sebagai  pertembungan diantara ideologi sekularisme dan Islam, atau  dalam beberapa segi, pertembungan di antara Kristian dan Islam.

Pertentangan ini berlaku sejak lama, kembali kepada sejarah silam ketika berlakunya peperangan Salib, dan berterusan ke zaman moden dengan berlakunya krisis Bosnia tidak lama dulu, yang antara lainnya menggambarkan bahawa Islam tidak seharusnya lahir sebagai satu agama yang mendominasikan masyarakat Barat, dan lambang Islam tidaklah seharusnya mengganggu landskap negara sekularisme itu.

Bagaimanapun, krisis politik dan agama diantara Barat dan Islam itu tidak pernah menganggu gugat kesetabilan dan keharmoniaan rakyat kita, di negara kita yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya dengan kepelbagaian agama ini.

Majoriti rakyat kita, khususnya para penganut agama Islam, mungkin masih merasakan  bahawa kerisis diantara Barat dan Islam tentang beberapa isu yang tertentu, seperti isu pemakaian tudung kepala atau purdah, menara masjid dan isu-isu keagamaan yang tertentu, tidak mengundang kontroversi yang besar, dan tidak seharusnya menimbulkan protes besar-besaran atau keganasan dan kekerasan sehingga mengorbankan nyawa orang yang tidak berdosa seperti yang berlaku di sebahagain negara lain.

Kita mungkin dapat berfikir secara rasional dan tidak perlu membangkitkan emosi dan sentimen melulu terhadap beberapa isu yang tidak menyentuh akidah dan syariah kita dalam beberapa isu yang bukan fundamental. Umpamanya, seperti yang tersiar di dalam akhbar, bahawa seorang Imam masjid dari Kanada menegaskan bahawa ia masih dapat bertolak ansur tentang masjid tanpa menara di negara Barat, kerana kita dalam keikhlasan beribadat kepada Allah s.w.t itu, maka bukan simbolnya yang menjadi isu besar, tetapi pengisian di dalam masjid itu yang seharusnya diberikan penekanan yang berat sebagai umat Islam, terutamanya untuk mengelakkan konfrantasi dengan umat lain, dan mengelakkan penentangan terhadap undang-undang negara Eropah itu.

Mungkin sebahagian besar umat Islam bersetuju dengan pendekatan Imam ini, iaitu dalam menangani cabaran terhadap Islam, maka isunya yang seharusnya diberikan perhatian, apakah penentangan itu merupakan cabaran dan penafian terhadap akidah dan syariah serta akhlak Islam yang fundemental, atau mencabar hak umat Islam dalam memahami kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dalam dasar dan falsafah ketuhanan dan ibadah khususnya. Rekasi dan tindakan umat Islam tentulah bergantung di atas bentuk dan motif cabaran ini.

Dalam konteks ini, saya merasa mungkin buat pertama kalinya, masyarakat umat Islam di Malaysia telah dihadapkan dengan kerisis berbentuk agama yang agak serius, iaitu tentang penggunaan nama Allah di dalam satu penerbitan Kristian yang diputuskan oleh mahkamah menjelang tahun baru 2010 baru-baru ini, yang membenarkan penggunaan nama Allah di dalam risalah yang tersebut.

Umat Islam di Malaysia tentulah tidak mempunyai niat untuk menentang keputusan mahkamah dan mencabar  proses undang-undang yang membuka ruang untuk rayuan ke peringkat perundangan yang lebeh tinggi. Tetapi penentangan ini adalah berdasarkan cabaran yang dianggap mencabar isu akidah umat Islam tentang konsep dan definesi “Allah” itu yang amat unik dan hanya boleh dirujukkan kepada makna ketuhanan yang ditafsirkan mengikut takrifan “Allah Yang Maha Esa” yang hanya merujuk kepada konsep ketuhanan dalam agama Islam. Hal ini ditegaskan Allah s.w.t dengan jelas di dalam Surah Al-Ikhlas.

Islam menolak sebarang sekutu Allah, malah dalam konteks bahasa dan budaya Melayu Islam di negara ini, Allah adalah Tuhan bagi agama yang mengesakan Tuhan, bukan seharusnya digunakan sewenang-wenangnya kepada apa saja nama tuhan lain yang disembah oleh penganut agama bukan Islam.

Maka dalam konteks ini, kalau boleh difahami perasaan umat Islam di Malaysia ini, ternyata bahawa rasa bimbang dan khuatir terhadap keputusan mahkamah itu ialah tentang penggunaan nama Allah untuk Tuhan agama lain yang mungkin membawa kepada kekeliruan kefahaman masyarakat Islam terhadap konsep ketuhanan dalam agama Islam sendiri. Maka hal inilah yang menimbulkan perasaan tidak puas hati masyarakat Islam, yang juga merasakan bahawa kefahaman tentang sesuatu konsep agama di dalam masyarakat negara ini tidaklah hanya dapat ditafsirkan melalui proses undang-undang sahaja, tetapi seharusnya diambil kira juga tentang konteks bahasa dan budaya negara ini, serta sensitivi umat majoriti negara ini yang dilindungi oleh Perlembagaan, juga yang disimbolkan di dalam kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu yang seharusnya mempunyai otoriti yang mutlak tentang isu-isu agama di bumi ini.

Namun begitu, umat Islam tidaklah juga selama-lamanya akan berada di posisi pertahanan semata-mata, bahkan umat Islam haruslah sentiasa berada di barisan hadapan dengan gagah dan kuat, tanpa menggugat kekuatan orang lain. Ertinya, dalam menghadapi cabaran-cabaran terhadap Islam dan penganutnya ini, umat Islam haruslah sentiasa meningkatkan kekuatan dan kemampuannya dalam segala bidang, iaitu ilmu, ekonomi, sosial, keluarga, politik dan sebagainya.

Sekiranya motif cabaran yang dihadapi ialah untuk mengelirukan penganut agama Islam sendiri terhadap akidah dan syarihanya, maka umat Islam haruslah diperkuatkan dengan bersungguh-sungguh dalam akidah dan syariahnya, serta dikuatkan juga nilai-nilai moral kerohaniannya, supaya apa-apa saja cabaran yang dihadapi, maka umat Islam tetap kental dan mampu mempertahankan kekuatan akidah dan syariahnya. Jika kita benar-benar berpadu dan kuat, maka cabaran yang kita hadapi akan dengan sendirinya menurun, atau kalau semakin kuat cabaran itu, maka semakin kuatlah pertahanan diri kita. Dan dengan itu sebarang cabaran yang mendatang tidak sedikit pun akan menjatuhkan maruah kita umat Islam, kerana kita akan sentiasa memahami bahawa tujuan cabaran itu ialah untuk melemahkan kita, atau sekurang-kurangnya memecahbelahkan kita, dan menjadikan masyarakat kita porak peranda supaya senang dikuasai dan dijerut lehernya. Renungkanlah pepatah kita: “tak akan runtuh bukit disalak anjing.”

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 26, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: