Tolak Kekerasan Atas Nama Agama


Islam mengamalkan sikap hidup penuh dengan toleransi. Walaupun berbeza pandangan dan pendapat, Islam tetap mengiktiraf setiap orang sebagai ahli masyarakat selagi mereka tidak mengkhianati prinsip-prinsip hidup Islam. Dan, cadangan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Antara agama dikira berupaya dijadikan wahana menarik bagi membentuk persefahaman antara pelbagai penganut.

Namun demikian, jika  toleransi agama mahu disuburkan, majlis perundingan antara agama itu mestilah ditafsirkan secara jelas bahawa tujuannya bukan untuk mencari kelemahan dan kekurangan dalam aspek amalan penganutnya. Ia perlu diasaskan kepada hasrat mencari kesefahaman bagi membolehkan setiap penganut agama yang berlainan hidup dalam keadaan yang harmoni.

Tanpa harus  mengorbankan prinsip-prinsip agama yang dasar mereka yang terlibat dalam perundingan ini hendaklah memiliki niat baik untuk saling mendengar antara satu sama lain. Ini sudah tentu bukan satu perdebatan antara agama. Segala perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari.

Dalam hal ini juga kita harus merendah diri,berakhlak dan sedia berunding dengan kebenaran dan kesabaran. Sejarah peradaban Islam masa lalu merealisasikan ajaran-ajaran etika keagamaan dapat menjadi alat pendukung dialog dan amat berharga bagi proses pencarian nilai-nilai keagamaan yang lebih mendasar.

Dan yang lebih penting lagi dalam perundingan itu masing-masing perlu melengkapkan pegetahuan tentang agamanya sendiri dan juga tentang agama lawan. Di samping juga harus memahami istilah-istilah teologi kedua-dua belah pehak dengan tepat. Jika perkara ini diabaikan, maka dialog yang hendak dilaksanakan sudah tentu akan gagal.

Setiap tafsiran yang berhubung dengan kebebasan beragama perlu juga mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama rasmi, kesejagatan nilai dan budaya yang menjadi tunjang pengamalnya. Agama-agama yang tidak disekat diamalkan pula harus tidak cuba untuk mencabar dan mencari jalan untuk mentafsirkan nilai budaya pengamal Islam berdasarkan perbandingan nilai dan budaya mereka. Ia perlu dilihat dalam konteks dan perspektif Islam.

Pernah terjadi dalam kebanyakan pertemuan dan dialog antara agama menjurus kepada usaha menonjolkan persamaan, menyeragamkan nilai-nilai bersama tetapi usaha untuk memahami perbezaan tidak dilakukan secara positif. Jika ada usaha yang dibuat, perbezaan itu dilihat sebagai punca kepada pertentangan dan konflik.  Setiap perbincangan atau dialog harus dibuat dengan meneliti setiap aspek, sama ada yang ada nilai-nilai persamaan ataupun perbezaan. Jika ada perbezaan, konteks perbezaan itulah yang perlu difahami dengan jelas.

Islam sentiasa memberikan penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat. Untuk hidup bermasyarakat, Islam memberikan ruang yang luas bagi setiap orang agar mengamalkan toleransi dan menghargai kebebasan. Demikian juga al-Quran adalah kitab suci yang menonjol dalam pengakuan terhadap keabsahan agama-agama selain Islam.

Di bawah naungan empayar dan pemerintahan  Islam, orang Yahudi dan Nasrani dilindungi sebagai ahli kitab dan diberi kebebasan untuk mempratikkan ajaran agama masing-masing.

Islam tidak menafikan semangat  pluralisme (kemajmukan). Di dalam banyak ayat al-Quran dan Hadis,  kita menemui semangat pluralisme, di antaranya kebebasan beragama, hidup damai berdampingan walau pun berbeza bangsa, keturunan,  agama, dan budaya.

Pluralisme agama sebenarnya bermaksud bahawa setiap pemeluk agama bukan sahaja dituntut untuk mengakui keberadaan dan hak agama lain, tetapi terlibat dalam usaha memahami perbezaan dan persamaan untuk mencapai kerukunan dalam perbezaan itu.

Al-Quran dengan jelas menberi gambaran semangat ini melalui firman-Nya yang bermaksud:

”Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?”

(Surah Yunus: 99)

Dan dalam satu firman-Nya lagi yang bermaksud:

”Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.”

(Surah Hud: 118)

Justeru itu Allah s.w.t. menciptakan manusia dalam keadaan yang berpuak-puak, pelbagai suku kaum dan berbagai macam ras. Perbezaan itulah yang diminta oleh setiap manusia saling memahami dan kenal mengenal agar dapat membangunkan kekuatan bersama dalam ikatan kerjasama dan kebaikan.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-banga dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”

(Al-Hujuraat: 13)

Pada hakikatnya kemajmukan diakui dan diterima oleh Islam selagi ia bercirikan kedamaian. Justeru itu dalam hal untuk mengadakan dialog antara agama di samping sikap pluralisme, sikap keterbukaan dan toleransi juga amat penting sebagai landasan dialog. Tanpa adanya ketiga-tiga unsur ini, dialog yang bakal diadakan, besar kemungkinan tidak akan mencapai hasil yang memuaskan.

Kegagalan dalam mengembangkan semangat tolak ansur serta pluralisme agama seperti yang tercatat di dalam al-Quran hanya akan membangkit golongan Muslim radikal. Sebaliknya, keberhasilan dalam melahirkan kosep toleransi beragama sangat bergantung pada kemampuan umat Islam menanamkan kesedaran masyarakat akan prinsip al-Quran tentang pluralisme keagamaan secara umum dan sikap positif terhadap agama lain.

Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.

Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat menbantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negatif dapat diperbetulkan.

Toleransi dan sikap kesederhanaan yang diajarkan harus sentiasa menjadi acuan dan pedoman dalam hubungan penganut Islam dengan penganut agama lain. Umat Islam turut dituntut untuk bersama-sama menbetulkan kekeliruan yang boleh menimbulkan syak wasangka dalam pemikiran masing-masing.

Dalam hubungan ini, umat Islam mesti mampu untuk memberi teladan dalam menjalin kerjasama di samping membina dan menjauhi perdebatan teologi yang selalu berakhir dalam keadaan buntu.

Dailog yang hendak diadakan hanya berkaitan isu-isu peradaban bukan teologi kerana ia hanya akan menimbulkan persengketaan yang tidak mungkin dapat di selesaikann.Dailog ini harus dibatasi pada persoalan-persoalan sosial dan kemanusiaan yang manfaatnya dapat dirasakan langsung oleh umat manusia.

Kekerasan atas nama agama harus ditolak oleh kedua-dua komuniti yang ingin berdailog. Harapan kita kepada  tokoh ulama dari kedua-dua pihak ini agar mereka mampu mencegah timbulnya pentafsiran keagamaan yang boleh membakar sikap radikalisme dan kekerasan penganut masing-masing. Dan secara khususnya dalam lingkungan Islam, tugas ini terletak diatas bahu para ulama.

Merekalah yang berkewajipan untuk memasyarakatkan konsep kesederhanaan bagi menghindari sikap ekstrem dalam beragama, terutama yang berhubung dengan hakikat bermasyarakat dan bernegara.

Ketegaran sikap dan ketegasan dalam masalah tauhid merupakan tunjang yang mesti dipertahankan.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 26, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: