Salah Tafsir Terhadap Ajaran Islam


Palestinian_kids_are_seen_sized

Dahulu umat Islam adalah umat yang satu dan bersatu. Mereka adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan di muka bumi ini. Mereka telah membentuk tamadun yang tiada tolok bandingnya.  Bagaimanapun, kesemua ini tinggal kenangan dan sejarah yang terasa ‘perit’ untuk dikenang. Umat Islam hari ini telah kehilangan kesatuan dan kerjasama. Kita bukan lagi pembangun atau pembela peradaban kerana kita menghadapi masalah kemunduran dari segala aspek termasuk ekonomi mahupun keilmuan.

Kelemahan inilah yang kadang-kadang menjadikan umat Islam itu sendiri tidak mampu untuk menjelaskan hakikat sebenar ‘‘ajaran Islam” sebagai suatu agama perdamaian, agama yang menjunjung toleransi, bukan agama ganas dan kejam. Di samping juga agama yang mementingkan pembangunan fizikal dengan tidak mengabaikan pembangunan spiritual.

Tuduhan agama Islam sebagai agama ganas dengan melabelkan tindakan permusuhan sebagai pendirian agama adalah suatu ‘pandangan dangkal’ yang tidak boleh diterima sama sekali. Bagaimana mungkin sesuatu agama yang menggalakkan persaudaraan dan tolong menolong, dikatakan agama yang menyeru pula ke arah permusuhan dan persengketaan.  Setiap manusia beranggapan bahawa penentangannya terhadap orang lain adalah bertujuan memelihara nilai dan maruah diri, atau ia bersifat mempertahankan diri daripada serangan orang lain.

Apabila kita menghayati konsep tersebut, kita akan dapati bahawa perkara utama daripada pertelingkahan itu adalah untuk menyelesaikan kemelut kezaliman yang akan lahir daripada serangan musuh.  Islam sering dituduh dan dipertanggungjawabkan dengan tindakan ganas sesetengah daripada penganutnya. Andai diturunkan kaedah tersebut, nescaya semua agama akan terlibat dengan pertuduhan itu kerana semua penganutnya pernah terlibat dengan tindakan ganas.

Oleh hal yang demikian itu, agama haruslah dinilai daripada ajaran dan rukun- rukun asas, tidaklah hanya kepada tindakan sesetengah penganutnya yang sentiasa melakukan kesilapan.  Adalah penting untuk melihat kepada sebab-sebab yang mendorong sesetengah pihak cenderung untuk memilih keganasan. Sorotan ringkas sebegitu tidak bermakna mengiktiraf kesilapan mereka, tetapi boleh menunjukkan kepada kita hakikat sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemarahan mereka sama ada yang berbentuk perbuatan ataupun perkataan. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan perbalahan antara sesama manusia dengan menjadikan agama sebagai faktor yang berperanan mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dunia.

Islam meletakkan batasan untuk tidak membunuh kecuali kepada orang yang memerangi mereka terlebih dahulu. Al-Quran menjelaskan dalam satu firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, dan musuhmu…” (Al-Anfal: 60)

Menakuti atau menggentarkan di sini bermaksud peperangan yang ditujukan hanya kepada musuh-musuh Allah dan musuh-musuh umat Islam. Dari segi realitinya, apakah yang telah dilakukan oleh badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam membela dan ‘memelihara’ rakyat Palestin yang sentiasa dihalau, disembelih, dijajah tanah airnya, dimusnah ladang-ladang dan diruntuhkan rumah-rumah mereka. Semuanya ini dilakukan  oleh golongan Yahudi zionis dengan bantuan Amerika tanpa batas dan, seluruh dunia pula mengetahui dan menyaksikannya.

Apakah yang telah dikatakan oleh badan dunia seperti PBB itu mengenai kewujudan tentera Amerika di Afghanistan dan di Iraq, yang seluruh dunia menyaksikannya sebagai suatu penjajahan, keganasan, rampasan, pemusnahan, pembunuhan dan pembakaran.

Badan dunia iti tidak melakukan sesuatu pun, bahkan Amerikalah yang memerintah dan Amerikalah yang melaksanakan rancangan keganasannya ke atas para pejuang yang mempertahankan hak-hak mereka daripada serangan para penceroboh zalim yang berterusan itu.

Jelas sekali bahawa kekerasan dan keganasan bukanlah merupakan fenomena Islam. Kita melihat bahawa tindakan kekerasan berlaku di seluruh dunia di mana umat Islam menjadi penduduk minoriti ditindas seperti di India, China, Thailand, Myanmar, Filipina, Rusia, dan Amerika. Mengapa dalam isu keganasan hanya orang-orang Islam sahaja yang dilabelkan sebagai ganas dan kejam.

Sejarah Amerika dipenuhi dengan berbagai-bagai jenayah dan musibah. Sejarahlah yang menjadi sebaik-baik saksi tentang apa yang berlaku di Hiroshima, Palestin, Afghanistan, Iraq, dan lain-lain. Semua ini adalah bukti kepada keganasan Amerika yang didokong oleh kekuatan ekonomi, politik, dan ketenteraan. Siapakah yang akan menghukum pengganas ini?

Undang-undang manakah yang boleh membawa mereka ke muka pengadilan? Pihak manakah yang dapat menjatuhkan hukuman ke atas segala jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ini?

Penggunaan perkataan pengganas di kalangan golongan yang zalim adalah semata-mata mengikut hawa nafsu mereka. Sedangkan keganasan yang sebenarnya tumbuh di kalangan mereka sendiri dan merekalah sebagai pelopornya. Ini adalah seperti yang telah disebutkan di dalam lembaran sejarah.

Mereka yang pertama sekali yang telah melakukan perbuatan merampas kapal terbang, dan mereka juga yang mencipta sekatan-sekatan ke atas bangsa-bangsa lain.

Bukankah perbuatan menghalang orang lain daripada mendapatkan makanan itu suatu keganasan?

Bukankah perbuatan menawan negara lain dan mencabuli itu suatu keganasan?

Bukankah perbuatan melepaskan tembakan terhadap orang ramai di negara dan rumah mereka sendiri suatu keganasan?

Bukankah perbuatan meletakkan tentera di segenap jalan dan memeriksa orang ramai dengan kasar dan keras itu suatu keganasan?

Bukankah perbuatan menguasai harta benda dan sumber kekayaan orang lain itu merupakan suatu keganasan?

Bukankah perbuatan menyekat perkembangan ilmu dan peranan para ulama dan saintis itu suatu keganasan?

Sampai bilakah penindasan dan kezaliman ini akan berterusan dan sampai bilakah agama Islam akan terus menerus dilabelkan sebagai agama kejam dan ganas?

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 31, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: