Tahun 2010, Adakah Masa Depan Rakyat Malaysia Cerah?


Kita sudahpun melangkah bulan ke dua pada tahun ini ia itu Februari 2010.  Labuhan tirai 2009 telah meninggalkan kita dengan pelbagai persepsi.  Jika kita berminat dengan politik, tahun 2009 merupakan tahun yang paling hebat dengan isu-isu politik.  Bermula dengan kesan ayunan pendulum tsunami PRU ke-12 menyebabkan banyak pihak mula resah.  Apakah alunan ombak tsunami akan terus berlanjutan sehingga menjadikan tahun lalu sebagai gelombang kebangkitan dalam mengesahkan populariti barisan parti yang bertindak atas landasan retorik, sama rata, sama rasa”?

Sepanjang tahun 2009, kita telah menyaksikan sebanyak 8 pilihan raya kecil diadakan termasuk dua adalah kerana Pakatan Rakyat berhasrat untuk menguji kekuatan dan sokongan mereka. Termasuk dalam kategori menguji kekuatan ialah DUN Penanti (berdasarkan isu perletakan jawatan Ahmad Fairus, dan PKR berhasrat menggantikannya dengan Dr. Mansor Othman), DUN Bukit Selambau (kerana calon yang menang dalam PRU ke-12 ada masalah dan mempunyai wanita simpanan alias kes moral). Dalam PRK DUN Penanti, BN mengambil keputusan tidak bertanding kerana tidak munasabah mengikut rentak Pakatan Rakyat yang sengaja mencipta gelombang pilihan raya secara berterusan.  Berikutan itu, 6 lagi PRK mempunyai alasan yang kukuh di mana BN mengambil bahagian. Ini kerana penyandangnya meninggal dunia, dan kekosongan tersebut perlu diisi secara mengadakan pertandingan. Kawasan yang terlibat ialah Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), DUN Batang Ai (Sarawak), Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Permatang Pasir (Pulau Pinang), DUN Manek Urai (Kelantan) dan DUN Bagan Pinang (Negeri Sembilan). Hanya dua DUN yang dimenangi oleh BN ialah Batang Ai dan Bagan Pinang. Kemenangan tersebut bukanlah sebagai tambahan, hanya sekadar mempertahankan kerusi yang pernah dimenangi dalam PRU ke-12.

Pada tahun 2009 juga menyaksikan PAS mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya dalam PRU ke-12, iaitu di Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir, manakala PKR ialah Penanti dan Bukit Selambau. BN secara jelasnya kalah satu kerusi dewan rakyat, iaitu Kuala Terengganu. Namun antara dua kerusi DUN yang dianggap terhangat sekali saingannya ialah DUN Manek Urai dan Bagan Pinang.  DUN Manek Urai hampir mengheret kekalahan PAS, yang hanya mampu menang dengan majoriti 65 undi.

Bagi DUN Bagan Pinang pula, kemenangan yang berpihak kepada BN kerana populariti calon dan hubungan dengan pengundi begitu akrab, Tan Sri Isa Samad yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun (menyamai rekod Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri) dan dikenakan tindakan disiplin parti (Tun Dr. Mahathir pernah digugurkan keahlian UMNO setelah mengkritik Tunku Abdul Rahman dan menulis buku Malay Dilemma) atas kesalahan “politik wang” sehingga memaksanya meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Naib Presiden UMNO dan Ketua Bahagian, masih diterima berbanding calon PAS yang bukan anak tempatan (walaupun berasal dari Negeri Sembilan, tetapi pernah dua kali tewas di kampung halamannya sendiri, iaitu Lenggeng).

Bagi hubungan antara agama, tahun 2009 turut dikontroversikan dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh sebuah majalah yang diterbitkan oleh Persatuan Gereja Katholik, iaitu Herald-The Catholic Weekly. Menteri Dalam Negeri dalam keputusannya pada 7 Januari 2009 meminta penerbit akhbar tersebut tidak menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan perkataan God seperti yang terdapat dalam Bible.

Kalimah Allah hanya menjadi milik tunggal agama Islam, kerana itulah pihak penerbit menganggap larangan tersebut sebagai menyekat kebebasan menyebarkan agama Krisitian dalam kalangan penganutnya. Alasannya kerana masih ramai penganutnya tidak fasih berbahasa Inggeris, dan telah menerima pendidikan dalam bahasa kebangsaan, terutamanya di Sabah, Sarawak dan rakyat keturunan Indonesia yang menetap atau bekerja di Malaysia.

Kalimah Allah digunakan secara meluas di Indonesia malah terjemahan Bible dalam bahasa tersebut menggunakan God dengan Allah. Terjemahan dalam bahasa Indonesia masih boleh didapati di Malaysia sama ada melalui jualan terbuka ataupun edaran pihak-pihak tertentu, termasuk mengedarkan risalah kristian melalui peti surat di taman-taman perumahan. Atas alas an ketidakmampuan sesetengah penganutnya memahami bahasa Inggeris, maka pada pertengahan Februari 2009 satu usaha memfailkan semakan semula keputusan Menteri Dalam Negeri dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Jika kita masih ingat, pada 1 Mac 2009, Mursyidul Am PAS dan juga Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa tidak salah bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Sebagai nakhoda sebuah parti yang berlandaskan perjuangan Islam, Nik Aziz yang dilihat cuba mencari sokongan bukan Islam sanggup meliberalkan pendapatnya dengan mengatakan “dalam al-Quran sendiri ada menceritakan bahawa orang bukan Islam telah menggunakan perkataan Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi”.

Akhirnya, pada awal tahun 2010, khususnya 31 Disember 2009 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan bahawa penggunaan kalimah Allah dibenarkan bagi menggantikan terjemahan perkataan God. Maka keputusan memberikan kebenaran menggunakan kalimah Allah meletuskan kemarahan umat Islam sehingga Mursyidul Am tidak lagi mampu mempertahankan pendapatnya yang terdahulu.

Turut berlaku cabar mencabar antara dua orang wakil rakyat dalam pakatan pembangkang, iaitu antara ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin (PKR) dengan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad (PAS). Khalid yang mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas alasan, kalimah Allah bukanlah hak mutlak orang Islam telah diminta oleh Zulkifli supaya keluar dari PAS.  Khalid yang pernah menggegarkan politik tanah air dengan bai’ah talak tiga ke atas isteri wakil rakyat yang tidak setia kepada parti terpaksa menerima tempelaknya sendiri bila tidak mampu menjawab.  Zulkifli terus menyoal bagaimana orang terpelajar seperti Khalid boleh menyokong keputusan mahkamah itu. Soal beliau lagi, “Apakah beliau reda selepas ini kalau segala gurdwara, gereja dan rumah ibadat lain bukan Islam mempamerkan perkataan Allah, Kristian mencatat perkataan Allah di salib mereka dan golongan Punjabi mengukir nama Allah di atas gurdwara mereka? Kalau itu berlaku, saya akan persalahkan Khalid”.

Namun isu ini menjadi sedikit reda apabila Perdana Menteri akan mengadap Yang Di Pertuan Agong untuk memperjelaskan keadaan dan mohon perkenaan memberikan taklimat dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja dalam masa yang terdekat. Menteri Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan agar keputusan tersebut disemak semula dengan mengambilkira sensitiviti umat Islam.  Perdana Menteri meminta supaya umat Islam bertenang dan memberikan peluang kepada kerajaan untuk menyelesaikannya, kerana ia merupakan keputusan secara perundangan. Timbalan Perdana Menteri  turut meminta umat Islam supaya memberikan keyakinan dan harapan kepada kerajaan untuk menyelesaikan. Tetapi, masih kedengaran reaksi masyarakat bahawa kerajaan masih belum membuat keputusan terbaik, termasuk memohon menangguhkan keputusan tersebut.

Masyarakat masih bimbang, dalam usaha mewujudkan ketenangan di kalangan masyarakat Islam, bukan Islam akan terus mengambil kesempatan berdasarkan keputusan yang telah mereka peroleh. Perkara ini bukan mustahil kerana semasa proses semakan sedang berjalan, akhbar tersebut terus menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka, termasuk meletakkan kalimah Allah di sebuah gereja di Sabah.

Tahun 2009 juga menyaksikan  pertumbuhan ekonomi negara pernah mecapai tahap negatif, namun terus merangkak keluar dengan sedikit harapan pada penghujung tahun.  Namun yang lebih penting ialah bila mendepani tahun 2010, pihak pembekal yang banyak mengharapkan janji niaga dengan kerajaan mula menghitung apakah kelangsungan mereka akan terus dapat bertahan? Masing-masing bercakap bahawa bajet tahun 2010 telah dikurangkan ke tahap 15 peratus bermakna semakin kecillah harapan untuk menambahkan pendapatan, malah ada kemungkinan turut menjejaskan urusniaga mereka.

Dalam bajet 2010 yang dibentangkan pada 22 Oktober 2009, di samping beberapa kaedah mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, banyak pihak melihat akan berlakunya sedikit kesan kepada masyarakat. Mulai tahun baru juga diperkenalkan cukai ke atas setiap kad kredit, iaitu sebanyak RM50.00. Belum pun sempat dilaksanakan, masyarakat menjadi terkejut apabila harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram menjadikannya RM 1.65. Namun, ada pihak yang tidak mematuhi harga maksima itu dengan menjual gula RM 1.70 sekilogram dan diberitakan berlaku di Terengganu.

Dengan pengurangan subsidi gula kerajaan dijangka dapat menggunakan lebihan itu untuk melaksanakan lain-lain projek untuk kemudahan rakyat. Namun, secara amnya kerajaan masih memberikan subsidi sebanyak RM1.08 bilion bagi membolehkan gula dijual pada harga RM1.65, manakala harga bahan tersebut di Thailand dan Indonesia berada pada tahap RM2.25 sekilogram. Langkah pengurangan subsidi itu sebagai usaha menggalakkan rakyat Malaysia mengurangkan pengambilan gula, kerana gula banyak dikaitkan dengan kesihatan, termasuk menyebabkan diabetes.

Pada tahun 2010, Perjanjian Perdagangan Bebas ASAEAN (AFTA) akan dilaksanakan. Perlaksanaan ini akan membolehkan aliran keluar masuk manusia, barangan dan perkhidmatan menjadi semakin mudah antara sebuah negara ke sesebuah negara yang lain.

Meskipun terdapat sekatan dan prasyarat kemasukan yang dikenakan, tetapi ianya adalah di tahap paling minimum. Ia bakal menjadikan dunia semakin global, seseorang itu boleh berulang-alik bila-bila masa yang disukainya, seperti keinginan kita untuk balik kampong sama ada setiap hari, minggu atau bulan. Ia bergantung kepada kesanggupan seseorang dan keupayaannya.

Kalau dalam tahun 2009 terdapat usaha untuk meliberalisasikan 27 subsektor ekonomi bagi menggalakkan kemasukan pelaburan asing, tahun 2010 atau menurut jaminan Perdana Menteri akan diperkenalkan model baru ekonomi Malaysia. Proses meliberalisasikan subsektor ekonomi telah dilihat sebagai melepaskan ikatan kebumiputeraan dalam penentuan kek ekonomi, maka model ekonomi baru diharapkan dapat membina semula keyakinan menyuguhkan lahirnya masyarakat perniagaan dan perdagangan bumiputera yang lebih besar.

Apabila Perdana Menteri melantik barisan kabinetnya pada awal April 2009, kedudukan beberapa agensi yang khusus untuk bumiputera (Majlis Amanah Rakyat—MARA) sedikit terumbang-ambing (seolah-olah kehilangan bapak kerana Kementerian Pembangunan Usahawan dimansuhkan, manakala hal ehwal koperasi digabungkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kemudiannya dinamakan semula sebagai Kementerian Pedagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Kooperasi)  .

Dalam model ekonomi baru yang berasaskan kreativiti dan innovasi , ia sebenarnya merupakan anjakan daripada model ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Peningkatan ini perlu dilakukan kerana banyak aspek kreativiti yang semakin berkembang perlu diberikan penekanan, termasuk industry penerbitan filem, animasi dan produk-produk hiburan yang boleh didagangkan secara meluas. Kita mungkin tidak lupa bahawa kebangkitan industri kreativiti telah banyak memberikan peluang pekerjaan, pendapatan negara dan pertumbuhan lain-lain industry termasuk perhotelan, pengangkutan dan sebagainya.

India misalnya, melalui industri perfilemannya telah berupaya menampung puluhan ribu karyawan dari pekerja di belakang tabir, pemuzik, pempamer, pelakon dan seterusnya menambahkan pendapatan negara melalui cukai dan sebagainya. Thailand juga sudah membuktikan industry perfileman mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila menjadikan kreativiti sebagai salah satu penekanan pertumbuhan ekonomi.

Satu lagi aspek yang dijangka dapat berkembang pesat ialah industri sukan. Kalau sebelumnya sukan hanya dilihat sebagai punca pendapatan atlet dan bidang rekreasi,  kini sukan boleh menghasilkan pendapatan yang besar. Sukan boleh memberikan pulangan yang besar kepada pihak penganjur melalui bidaan hak siaran, hak penganjuran terutamanya di peringkat antarabangsa. Kerana itulah banyak negara amat berminat untuk membida sebagai tuan rumah bagi menganjurkan sukan-sukan berprestij, termasuk bolasepak, badminton, tenis dan sebagainya.

Percubaan Malaysia menjadi sebahagian daripada pusingan lumba perahu layar misalnya menjadikan Pulau Duyong sebagai destinasi yang semakin menguntungkan negara. Sewaktu masyarakat pantai timur terpaksa berteleku dengan kesejukan musim banjir, ada segelintir mereka yang sanggup menghadapi cabaran bertarung mencari kejuaraan. Peluang itu boleh digunakan untuk menjana pendapatan, dan kerana itulah bekas Perdana Menteri melihatnya sebagai satu potensi besar kepada industri pelancongan negara untuk jangka panjang.

Wajah-wajah muram sebelumnya telah berubah menjadi ceria. Kadar penginapan hotel penuh pada musim kejohanan perahu layar Monson Cup dan ini tentunya menggerakkan banyak sektor ekonomi termasuk restoran, kraftangan dan pelancongan domestik. Kini keropok lekor sudah menjadi semacam satu bentuk industri yang besar di Terengganu, berbanding sebelumnya. Hampir sepanjang jalan Batu Rakit terdapat gerai-gerai keropok lekor, begitu juga dengan kawasan Losong, Marang dan Kemaman.

Apa yang amat diharapkan ialah pada tahun 2010, langkah pertama sepuluh tahun terakhir mestilah dirintis dengan penuh iltizam dan kesungguhan , kerana ia bakal melakarkan kejayaan cita-cita besar sebagai sebuah negara maju. Pada tahun 2020, Malaysia perlu berada di landasan tepat termasuk mentaliti rakyat kelas pertama kerana infrastruktur kelas pertama sudah ada, ekonomi rakyat berpendapatan tinggi (sasaran Wawasan 2020 lapan kali ganda dari pendapatan pada tahun 1991), dan rakyat bersahsiah tinggi.

Persoalan yang mesti kita hadapi ialah bagaimana untuk mencapai tahap kemajuan seperti yang diharapkan itu kerana pertumbuhan ekonomi sudah mengalami kerencatan. Mampukah dalam masa sepuluh tahun yang berbaki itu dapat diarahkan sedangkan secara puratanya dengan kadar pertumbuhan 7 peratus setahun? Pada tahun ini jangkaan pertumbuhan adalah sekadar 4 hingga 5 peratus, bermakna pada tahun-tahun selepasnya pertumbuhan perlu dilipatgandakan dan tentunya memerlukan sentuhan ajaib.

Bagi membuktikan kesungguhan kerajaan, Perdana Menteri pada tahun lalu memperkenalkan Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bersama-sama Petunjuk Utama Prestasi (KPI).  NKRA dan KPI itu sebagai sasaran yang perlu dicapai oleh agensi dan menteri yang bertanggungjawab, kerana daripada pengukuran itulah bakal memberikan petunjuk bahawa Dua inisiatif ekonomi juga bakal diumumkan, selain melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Tahun 2010 juga akan bermulanya Rancangan Malaysia ke-11, iaitu kaedah perancangan ekonomi secara bertahap dijangka bakal menggariskan matlamat pembangunan negara untuk bangkit dari kemelesetan sepenuhnya. Mungkin beberapa inisiatif akan turut diperkenalkan oleh Kerajaan bagi terus menggerakkan ekonomi, termasuk membina sahsiah tinggi penduduk.

Usaha perancangan yang rapi tentunya tidak akan mendatang hasil jika setiap rakyat tidak ikut serta. Meskipun ada sedikit kumpulan masyarakat yang mengambil sikap bertentangan, usaha itu sebenarnya adalah sesuatu yang lumrah dalam sistem bermasyarakat yang bebas. Contoh yang paling menarik ialah ada usaha yang dibuat oleh pihak pengusaha pusat perubatan menyaman kerajaan kerana membuka poliklinik 1 Malaysia di beberapa kawasan terpilih.

Bantahan yang berpunca daripada cadangan untuk menempatkan pembantu perubatan di poliklinik 1 Malaysia itu dikatakan tidak mematuhi piawaian sesebuah klinik. Sesebuah klinik perlu mempunyai seorang doktor perubatan dan bukannya pembantu perubatan. Dan, dengan menempatkan pembantu perubatan ada pihak mempertikaikannya sebagai status tidak sah untuk diiktiraf sebagai sebuah klinik.

Tapi, ramai pihak yakin cadangan itu hanyalah sebagai permulaan. Disebabkan negara masih menghadapi masalah kekurangan doctor perubatan, maka permulaan dalam bentuk tersebut dianggap memadai. Sekurang-kurangnya pembantu perubatan boleh melaksanakan usaha memberikan rawatan terhadap pesakit ringan atau cedera ringan, dan ini boleh membantu.

Meskipun klinik perubatan yang dikendalikan oleh doktor perubatan swasta juga melakukan kerja-kerja merawat pesakit di tahap yang agak ringan. Manakala pesakit yang menghadapi keadaan serius, pihak pengendali klinik swasta atau doctor turut membuat perakuan untuk ke hospital. Oleh itu, tidak ada sebab kenapa pembantu perubatan yang terlatih tidak menjalankan tanggungjawab tersebut, sekurang-kurangnya sekadar mengesan suhu badan, merawat luka dan sebagainya boleh dilaksanakan walaupun tanpa doktor.

Orang ramai berpendapat tentangan sesetengah pihak itu kerana apabila pliklinik 1Malaysia dikembangkan di kawasan-kawasan perumahan, ia bakal memberikan saingan kepada mereka. Inilah persoalan sebenarnya kerana pada masa kini pengusaha klinik swasta memperoleh pendapat lumayan apabila mendirikan pusat perubatan mereka di situ.

Walaupun Malaysia kini tidak dilihat lagi sebagai negara yang menggerunkan kuasa ekonomi Asia yang lain setelah  China, India, Vietnam dan Indonesia semakin mengambil tempat, tidak bermakna perlu memperlahankan pertumbuhan ekonomi. Malaysia masih lagi mampu bersaing dan akan terus bersaing dalam bidang-bidang tertentu, terutamanya industry yang berasaskan teknologi tinggi.

Pertumbuhan ekonomi di China, India, Vietnam dan Indonesia masih memerlukan pendekatan penggunaan buruh yang tinggi, sedangkan Malaysia sudah lama melepasi tahap tersebut. Disebabkan penekanan penggunaan buruh yang tinggilah menyebabkan negara menjadi tumpuan pekerja asing, dan ini telah banyak menimbulkan masalah sosial.

Mereka yang masuk secara sah akhirnya menjadi pendatang tanpa izin kerana tinggal lebih tempoh dan melarikan diri dari majikan asal. Ketika harga kelapa sawit melonjak, pekerja asing di sektor ladang sering bertukar majikan kerana memburu upah yang tinggi. Begitu juga dalam sektor pembinaan. Keadaan kini menyebabkan mereka melarikan diri dan menyusup ke lading-ladang yang sanggup mengambil mereka tanpa perlu mendapatkan permit. Akhirnya, pekerja tersebut juga menghadapi masalah, orang tengah memainkan peranan, tidak dibayar gaji atau upah sebagaimana dijanjikan.

Bagi meneruskan cita-cita besar, rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu. Rakyat mestilah melupakan sengketa politik yang pernah berlaku, kerana sengketa itu tidak akan memberikan kekuatan kepada pertumbuhan ekonomi. Masa yang ada amat singkat, hanyalah 10 tahun lagi untuk negara bergelar negara maju.  Rakyat perlu bangkit semula dengan lebih bertenaga untuk memakmurkan negara selepas dunia dilanda pelbagai krisis. Krisis ekonomi mengajar negara untuk memperkukuhkan sistem kewangan dan perbankan negara.  Krisis politik mengajar kita erti siapa yang sepatutnya kita memberikan harapan dan siapa pula yang hanya tahu berjanji, menyalahkan orang lain sedangkan usaha mengatasinya tidak pernah terpatri kukuh.

Joseph E. Stiglitz, pemenang Hadiah Nobel Eekonomi  pernah menyatakan bahawa inovasi sepatutnya digunakan untuk menyempurnakan lagi pasaran ekonomi agar lebih cekap dan stabil, bukannya disalahguna untuk menyusahkan penduduk dan merosakkan bumi.  Tetapi segelintir manusia, termasuk kuasa besar amat angkuh dengan sikapnya. Perasaan tamak menguasai setiap tindakan dan sanggup pula melakukan kaedah yang berlawanan dan penyelewengan. Akibatnya seluruh kehidupan menjadi rosak dan dilanda kemusnahan.

Bagi mengelakkan rasa tamak dan melakukan penyelewengan, setiap rakyat perlu menjadikan integriti sebagai motivasi baru bagi mendepani cabaran menjayakan wawasan 2020. Seperti kata Datuk Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pentunjuk rasuah yang amat menjijikkan ialah apabila kita terpaksa membayar hak kita sendiri. Untuk mendapatkan hak itu kita perlu mengeluarkan wang bagi memudahkan prosesnya, itu sepatutnya kita sama-sama tentang sehebat-hebatnya, kerana ada pihak yang cuba menghalang kita daripada mendapatkan hak itu.

Tahun 2010 jangan lagi ikut mencelarukan suasana politik dan ekonomi seperti yang berlaku pada tahun 2009. Seharusnya kita gunakan kesilapan itu sebagai langkah pembetulan agar 2010 menjadi tahun penuh produktif, kreatif dan inovatif. Kita mula membina kekuatan baru yang lebih kuat untuk bersaing (tetapi bukan bertewas seperti difahami oleh orang Kelantan), agar cita-cita besar kita itu bakal menunjukkan sinar kejayaannya nanti.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 31, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: