Keibubapaan: Suatu Disiplin Ilmu


Keibubapaan (parenting) merupakan istilah baru mengenai ilmu dan kemahiran membela dan mendidik anak. Dulu soal ini dianggap automatik – kita ikut cara ibu bapa kita membela kita atau ikut cara yang biasa orang lain lakukan.

Kini lain pula. Perkembangan pendidikan dan penyelidikan yang bermula di negara-negara maju telah menjadikannya sebagai satu disiplin.

Keibubapaan kian dianggap faktor penting dalam penyempurnaan perkembangan kanak-kanak. Walaupun ibu bapa hari ini tidak mengambil kursus-kursus formal mengenainya, mereka membaca tentang tulisan, selidikan dan pendapat pakar dan sebagainya.

Apa pandangan anda mengenai beberapa pendapat yang tertera di bawah ini? Setuju atau tidak?

–      Seseorang itu harus menjadikan keluarga keutamaannya.

–      Ibu harus cuba berada di rumah dengan anak-anak mereka.

–      Suami isteri harus berusaha sedaya upaya menyelesaikan perbalahan sebelum bertindak untuk bercerai.

–      Ibu bapa harus mengawal apa yang anak-anak mereka tonton di televisyen.

–      Ibu bapa harus mementingkan pendidikan moral dan nilai-nilai agama.

–      Penghakisan fahaman lama mengakibatkan timbul pelbagai tekanan yang mencabar bagi ibu bapa sekarang.

–      Kanak-kanak membesar dengan lebih baik jika ibu bapa menentukan sesetengah sekatan dengan tegas.

–      Kanak-kanak yang dimanjakan akan membesar sebagai remaja dan orang dewasa yang menimbulkan berbagai-bagai masalah.

–      Remaja yang mementingkan diri sendiri dan bersifat kebudak-budakan adalah kesan kegagalan ibu bapa dalam mengukuhkan sekatan-sekatan yang baik secara berkekalan.

–      Kita mesti menghormati kanak-kanak kerana mereka adalah manusia, dan mereka berhak dihormati dan dengan begitu mereka akan membesar sebagai orang dewasa yang baik.

–      Ibu bapa pun harus mendapatkan penghormatan daripada anak-anak; mendapatkan kerjasama dan sopan santun yang baik daripada anak-anak.

–      Ibu bapa harus memupuk nilai yang baik dan menggalakkan anak mereka menolong orang lain.

–      Kebanyakan masalah kita disebabkan kekurangan didikan agama. Kanak-kanak perlukan aturan, standard, yang ibu bapa juga berhak menghormatinya.

–      Setakat mana kita akur dan membantah kenyataan tersebut – semuanya prinsip Dr Benjamin Spork, pakar keibubapaan yang amat berpengaruh di Amerika? Memang ada kontroversi tentang fahamannya; dan bukanlah tujuan untuk menyarankan kita mengabil bulat-bulat fahamannya itu.

Walaupun masyarakat kita sudah ada cara tersendiri mendidik anak, sayangnya cara itu belum dibukukan untuk dijadikan rujukan oleh orang yang baru hendak berkeluarga dan beranak pinak.

Inilah yang membezakan masyarakat maju di Barat. Mereka sudah ada kaedah untuk dirujuk dan diamalkan. Mereka berhijrah daripada keibubapaan secara autokratik kepada keibubapaan yang saintifik – berlandaskan fakta sains.

Prinsp keibupaan Melayu terpapar dalam peribahasa seperti:

–      Melentur buluh biarlah daripada rebung.

–      Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

–      Bapa borek, anak rintik.

–      Sayang anak tangan-tangankan.

–      Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Dan tentu ada banyak lagi fahaman atau prinsip yang kita amalkan.

Kadang-kadang kita merungut mengapa anak-anak kita sekarang kian ungkal dan luntur budi bahasanya? Padahal, ada beberapa amalan kita berpasakkan agama. Misalnya, bayi baru lahir kita bacakan azan atau qamat di telinga mereka.

Dulu ada orang yang mendodoikan anak-anak yang hendak tidur dengan qasidah atau nasyid. Memakaikan baju anak-anak pun ada lagunya.

Tetapi kini, kita dodoikan dengan Rock-a-Bye Baby, Twinkle Twinkle Little Star dan sebagainya.

Di Barat, orang melakukan kajian tentang kesan mendodoikan anak pada waktu tidur. Menurut mereka, mendodoikan, memeluk, memegang, bercakap, mencium, menetek (beri susu badan), sentuhan, mengurut-urut badan mereka, bertentang mata, lekas mengambil ketika mereka menangis dan ketakutan. Semuanya menimbulkan kesan-kesan pembangunan yang baik dalam pendewasaan mereka.

Nenek-nenek kita pun buat begitu tetapi tanpa alasan saintifik.

Satu amalan, kepercayaan yang ditinggalkan oleh sesetengah nenek moyang kita ialah kalau hendak berpisah lama dengan anak-anak kecil kita kerana urusan dan sebagainya; tinggalkan kain yang sudah kita pakai lama dan berbau badan kita. Jangan basuh.

Malam nanti ketika anak rindukan kita, selimutkan dia dengan kain yang berbau badan kita itu. Dia akan hilang rindunya. Betulkah?

Nampaknya macam karut. Namun, mengikut kajian orang Barat, bau badan ibu atau bapa yang selalu dihidu anaknya ada kaitan dengan perkembangan emosi si anak.

Menurut kajian Barat juga, anak yang sentiasa mendapat layanan ibu atau orang dewasa itu lebih baik perkembangan jasmani, emosi dan inteleknya daripada anak-anak yang selalu terbiar. Bagi kanak-kanak, layanan yang positif adalah kasih sayang.

Kita harus tetapkan kanak-kanak yang membesar itu mendapat masa bermutu daripada kita. Ini bukan bermakna sentuhan fizikal sahaja, ia juga bermakna memahami jiwa mereka, menyelami fikiran mereka, menyelami emosi mereka, memahami hubungan mereka dengan adik-beradik mereka, dengan kawan-kawan mereka dan sebagainya. Mereka perlu merasakan disayangi, dipentingkan.

Terdapat kajian yang mengatakan kanak-kanak boleh mati jika dibiarkan tanpa sentuhan fizikal.

Kalau sejak kecil mereka tidak pernah merasai kasih sayang, sentuhan, pelukan, layanan yang sesuai; mereka akan membesar tidak mengetahui cara berhubungan dengan baik dengan orang dan akan akhirnya hilang kepercayaan atas kebolehan sendiri dan hidup tanpa mengenal harapan.

Ini baru cerita perkembangan kanak-kanak yang tidak mendapat layanan dan belaian kasih sayang ibu bapa. Kita boleh gambarkan bagaimana buruknya lagi kalau keibubapaan kita penuh dengan kekerasan dan keganasan. Tentu lebih parah perkembangan jiwa anak.

Pelikkah kita kalau kita dapati ada remaja kita yang tidak tahu bergaul, tidak tahu batasan, tatasusila, hukum halal haram?

Pelikkah kalau mereka dahagakan rasa sayang daripada kawan-kawannya? Mereka tidak merasai sentuhan kasih sayang, pelukan ibu bapa, puji-pujian yang menggalakkan, nasihat-nasihat yang berguna.

Baik lelaki mahupun perempuan, kekontangan begitu menyebabkan mereka mudah tersungkur dan menjadi mangsa perbuatan mereka sendiri kerana bekalan emosi, intelek dan moral yang begitu rapuh. Semua kerana kesilapan kita sejak awal lagi dalam perkembangan mereka.

Tiada ibu bapa yang sempurna. Kita tetap kekurangan dalam sesuatu, dalam keibubapaan kita. Lebih-lebih lagi zaman sekarang yang begitu mencabar.

Tiada masa untuk anak-anak, kerana kerja, hendak mencari rezeki. Namuni ini bukan masalah orang miskin macam kita sahaja. Anak orang kaya pun terjerumus juga, ada kalanya lebih dahsyat. Jadi di mana hendak kita letakkan duduk perkara keibubapaan?

Apa pun, kita tidak harus menyalahkan itu dan ini. Sampai akhir zaman pun dunia ini tetap akan mencabar. Kita tidak boleh membiarkan peranan kita dalam keibubapaan sambil lewa. Kita tidak boleh ikut-ikut dan mengharapkan keadaan membaikinya. Kita tidak boleh ikut cara dulu, ikut sahaja apa orang buat. Kita harus berdepan dengannya; mempelajari dan mengkajinya.

Timbulkan prinsip-prinsip sendiri dengan ikhtiar apa pun.

Kalau ‘sayang anak tangan-tangankan’ – bagaimana caranya?

Kalau kita hendak anak kita jadi anak soleh – bagaimana caranya?

Kita tidak boleh menyerahkan segala-galanya kepada orang lain.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 1, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: