Manfaatkan Harta Allah


“Dan jadikanlah sebahagian kekayaan dan kurnia yang Allah berikan kepadamu di jalan Allah dan amalan untuk kehidupan akhirat. Janganlah kamu mencegah dirimu untuk menikmati sesuatu yang halal di dunia. Berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dengan mengurniakan nikmat-Nya. Dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi dengan melampaui batas-batas Allah. Sesungguhnya Allah tidak meredai orang-orang yang merosak dengan perbuatan buruk mereka.” (al-Qasas: 77)

Dalam Islam, keseimbangan yang adil merupakan asas dalam pemilikan harta. Malahan Islam tidak menganiayai sesiapa, terutama golongan miskin, dan juga tidak menzalimi kebebasan individu. Islam memilih jalan yang seimbang di antara kedua-dua sistem tersebut dan sistem ini telah lahir bersama kelahiran Islam sejak lebih 14 kurun yang lalu.

Sistem ekonomi Islam tidak melampau dan tidak pula mengabaikannya. Islam memberi hak kepada individu dan masyarakat dan ia menuntut kedua-dua faktor ini dalam melaksanakan kewajiban dan tanggungjawab masing-masing.

Sesungguhnya Islam telah meletakkan asas yang cukup sempurna dalam soal harta. Islam menilai harta sebagai perkara keperluan asasi dalam kehidupan manusia yang disebut oleh ulama Usul Fiqh al-Kuliyyat al-Khamsah, iaitu agama, jiwa, akal, keturunan, dan harta.

Kelima-lima aspek ini hendaklah dijaga dan tidak boleh dipandang ringan oleh manusia. Apabila lima perkara ini dilupakan dan tidak dipedulikan dengan tidak menurut keutamaan kategorinya, maka ia boleh membawa bahaya dan akan menyebabkan ketempangan dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian itu, Islam melihat harta sebagai wasilah dan sarana untuk mencapai kebaikan dan keredaan Tuhan, bukan sebagai matlamat akhir kehidupan manusia.

Islam juga tidak menganggap kekayaan sebagai penghalang bagi orang kaya untuk berbakti kepada agama dan meningkatkan mutu ibadat serta mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan Islam sendiri menyuruh umat Islam mencari harta sebanyak mungkin, tetapi mestilah tidak melalaikannya daripada mengingati Allah setiap waktu dan tempat. Allah sendiri telah melimpahkan kekayaan kepada Rasul-Nya.

Firman Allah s.w.t dalam surah ad-Dhuha, ayat 8, yang bermaksud:

“Dan engkau dapatinya seorang miskin, lalu diberinya kekayaan.”

Malahan Rasulullah s.a.w sentiasa berdoakan supaya dimasukkannya dalam kalangan orang yang kaya dan dijauhkannya daripada kemiskinan dan kefakiran.

Islam tidak menyuruh umatnya hidup dalam keadaan miskin, sentiasa mengharap simpati orang lain dan merempat di merata tempat. Anggapan yang menyebutkan bahawa jika ingin menjadi hamba yang salih mestilah hidup dalam keadaan miskin bukanlah syiar agama Islam. Oleh hal yang demikian itu, orang kaya yang bersyukur lebih dikasihi Allah daripada orang miskin yang sabar.

Oleh hal yang demikian, tidak timbul persoalan yang menyebutkan bahawa umat Islam perlu hidup dalam kemiskinan kerana ia adalah ketentuan Allah. Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam karyanya Masalah Dalam Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya (terjemahan daripada bahasa Arab) mengatakan bahawa kemiskinan itu boleh membawa seseorang melakukan perkara yang boleh menjejaskan akidahnya serta berbahaya kepada pemikiran, akhlak, masyarakat, dan negara.

Kekayaan yang dimiliki boleh dikecapi, tetapi secara sederhana dan tidak menghamburnya / menghabiskannya pada jalan maksiat dan kemungkaran. Islam melarang keras umatnya membazir kerana ia merupakan perbuatan keji daripada pekerjaan syaitan.

Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Janganlah kamu membelanjakan harta kamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu saudara-saudara syaitan.” (al-Israk: 27)

Pada akhir zaman ini, manusia jelas kelihatan berlumba-lumba mencari kekayaan dan berusaha mencipta nama di pentas dunia.Tanpa disedari, kekayaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t terhadap golongan ini tidak dimanfaatkan ke jalan yang diredai-Nya. Apa yang memilukan hati, golongan ini mula menyerlahkan keperibadian dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk (sombong, angkuh).

Dunia ini pernah menyaksikan orang-orang ternama yang mencapai kecemerlangan dalam bidang-bidang tertentu. Sebahagian mereka meninggalkan nama dalam catatan sejarah. Sebahagian mereka mempengaruhi beberapa aspek kehidupan manusia dengan cara dan gaya yang tersendiri.

Al-Quran menggambarkan seluruh sejarah manusia, bagaimana kelakuan manusia berbeza-beza dan perkembangan kebudayaan, serta tamadun mereka, tetapi telah dibinasakan apabila mereka mengingkari dan menentang hukum-hukum Allah s.w.t. Salah seorang manusia yang sombong dengan kekayaannya adalah Qarun yang mempunyai harta yang sangat banyak dan perbendaharaan yang melimpah ruah dan memenuhi peti simpanan. Harta dan peti-peti ini sangat berat untuk diangkat kerana beratnya isi kekayaan beliau.

Dengan mempergunakan harta ini dalam kesesatan, kezaliman dan permusuhan, telah membuatkannya menjadi sombong, malah mabuk dan terlena dengan timbunan harta kekayaannya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Kami kemudian meruntuhkan tanah bersama Qarun. Qarun dan rumahnya bersama hartanya ditelan. Tidak ada penolong yang dapat menghindarkannya dari azab Allah, dan ia pun tidak dapat menolong dirinya sendiri.” (al-Qasas: 81)

Tidak dapat dinafikan sememangnya Islam amat menggalakkan umatnya mencari kekayaan dengan tujuan mencari rezeki dan mendapat keselesaan hidup. Tetapi harus difahami bahawa konsep kekayaan itu tidak seharusnya digunakan dengan membeza-bezakan golongan kaya dan miskin. Malah melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda seperti mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan.

Situasi ini dapat dilihat pada masyarakat hari ini dalam mengadakan majlis secara besar-besaran. Ini menjadi budaya masyarakat, apabila golongan mewah dan kaya mengadakan majlis, jarang sekali mendahulukan orang miskin dan kurang berada bagi menyertai majlis tersebut.

Hal ini dijelaskan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari yang bermaksud:

”Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir miskin tidak diundang untuk makan bersama.”

Selain itu, berhutang juga dijadikan alasan untuk tidak membayar zakat, malah menjadi suatu yang lumrah dalam dunia hari ini. Jarang benar kita menemui orang yang tidak berhutang. Ada orang berhutang untuk belajar, berniaga, dan sebagainya.

Seandainya kita mengambil pendapat orang berhutang tidak diwajibkan berzakat, maka apa akan jadi kepada nasib umat Islam secara keseluruhannya, khususnya fakir miskin. Sesetengah manusia mampu membayar ansuran rumah dan kereta ribuan ringgit setiap bulan, maka apakah alasannya untuk tidak menunaikan zakat yang mungkin berjumlah puluhan ringgit sahaja sebulan.

Imam As-Syafie menyatakan: “Sesungguhnya hutang tidak menghalangi kewajipan untuk mengeluarkan zakat.” Maknanya, hutang yang dibuat oleh seseorang itu tidak boleh dijadikan alasan meninggalkan zakat, selagi mana kekayaan yang dikuasainya itu sendiri mencukupi nisabnya.

Sesuatu yang tersirat pastinya dapat digugah, iaitu sikap berpada-pada apabila mengadakan sesuatu majlis agar ianya tidak dipandang serong oleh orang lain. Islam mewajibkan zakat ke atas umatnya tetapi tidak secara mutlak bahkan atas siapa yang mempunyai kelebihan harta untuk membantu umat yang lemah, yang tidak punya apa-apa, ataupun kurang berkemampuan bagi memenuhi kehendak keperluan kehidupan.

Islam juga menggalakkan umatnya yang berkemampuan bagi menunaikan haji bagi memperoleh keberkatan Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang memiliki bekal dan kenderaan yang dapat menyampaikannya untuk berhaji ke Rumah Allah, iaitu Masjid al-Haram, dan dia tidak berhaji, maka pilihlah dia untuk mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.”

Saranan Rasulullah s.a.w ini telah memberikan kita suatu pengajaran mengenai penggunaan harta yang sangat berkesan. Oleh kerana harta itu jika digunakan akan habis juga walau berapa banyak sekalipun jumlahnya, maka ia haruslah dilaburkan untuk mendatangkan hasil. Dengan cara ini, manfaat yang akan didapati daripada harta itu akan berpanjangan, bahkan akan berkekalan.

Harta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t seharusnya dimanfaatkan hatta sebiji benih yang ditanam sekalipun, agar ia tumbuh dan berbuah ranum pada suatu hari nanti.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 2, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: