Februari Dalam Debaran


Ketibaan bulan Februari tentunya mengingatkan kita kepada sebuah lagu yang penuh syahdu, “Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi” yang melonjakkan lagi populariti kumpulan Alleycats pada pertengahan 1980-an dahulu. Februari juga menjadi pilihan ramai pasangan muda sama ada menjadikannya bulan menghantar cincin pertunangan atau perkahwinan, kerana di dalamnya ada hari memperingati kekasih.

Walaupun tradisi memperingati kekasih pada 14 Februari setiap tahun bukanlah tradisi Islam, ia tetap dilakukan oleh sebahagian besar pasangan beragama Islam yang pemikirannya semakin liberal. Meskipun diketahui bahawa tradisi itu bermula di zaman Greek kuno, nampaknya banyak juga kedai menyediakan cenderamata telah memulakan kempen, termasuk kedai-kedai yang menjual barangan kebanggaan wanita.

Debaran Februari tahun ini nampaknya akan mencuak banyak perkara berhubung dengan politik negara. Pada bulan Februari ini juga bermulalah perbicaraan mengenai kes liwat yang didakwa dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Dan, maka kerana kedengarannya bakal menggugah ekopolitik negara, maka Anwar sudah beberapa hari lalu mengemukakan pendapat yang turut mencuri perhatian awam.

Anwar telah mencetuskan kemarahan sebahagian besar umat Islam di Malaysia apabila memberikan sokongan agar kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam. Meskipun beliau sedar pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember tahun lalu telah ditangguhkan, kerana menerima permohonan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu keputusannya tidak membenarkan Herald –The Chatolic Weekly menterjemahkan perkataan Tuhan menjadi Allah.

Ekoran keputusan Menteri Dalam Negeri yang dikeluarkan pada bulan Februari 2008 itu, pengurusan gereja Katholik tidak berpuas hati dan seterusnya membuat rayuan agar disemak semula keputusan tersebut. Kemuncaknya pada akhir tahun lalu, hakim menghujah bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah tersebut sebagaimana diperuntukkan oleh peluasan konsep kebebasan beragama.

Sebahagian kecil masyarakat marah dengan keputusan tersebut. Lebih radikal lagi dilaporkan sebanyak 8 buah gereja telah menerima kesannya, sama ada diletupkan menggunakan bom tangan ataupun diceroboh oleh pihak yang mungkin cuba mengambil kesempatan. Mungkin juga ada hubung kaitnya dengan peristiwa terbaru apabila dua buah masjid, iaitu  Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan MasjidAl-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Menulis Anwar Ibrahim mengenai sokongan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam tulisannya  di akhbar Wall Street Journal, Muslim Have No Monopoly Over Allah” (Orang Islam Tidak Mempunyai Monopoli Terhadap Allah) . Sikap Anwar itu terus dikecam hebat oleh banyak pihak, kerana ia dilihat kesanggupannya untuk melanggar sensitiviti masyarakat Islam. Anwar dilihat tidak lagi memperjuangkan Islam sebagaimana imej yang pernah dilabelkan kepadanya semasa bergiat dalam ABIM dan menjadi pemimpin dalam kerajaan. Anwar sudah menjadi semakin liberal kerana terlalu inginkan pembersihan imej tatkala parti pimpinannya semakin bergolak dan bercelaru, dan imejnya sendiri semakin buram.

Pada 9 Februari nanti, Mahkamah Persekutuan dijadualkan akan membuat keputusan atau menokhtahkan krisis politik Perak. Setelah BN didakwa “merampas kerajaan negeri Perak dengan melantik Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar” fenomena Nizar telah mewarna buat beberapa ketika. Ia ditambahkan lagi garam politik apabila Nizar menang pilihan raya kecil Bukit Gantang, sidang DUN bawah pokok ketapang, tugu demokrasi pokok ketapang, sidang DUN di sebuah hotel, perebutan jawatan Speaker DUN Perak, memijak poster 3 orang wakil rakyat yang menyokong BN, Nizar ketika menghadiri pengkebumian mendiang Teoh Beng Hock dan perebutan kereta Camry (sayang telah terbalik ketika dipandu oleh Nizar sendiri semasa dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan gigi).

Atas mauduk politik Perak, Perdana Menteri turut disindir hebat kerana dikatakan terlibat secara langsung untuk menumbangkan kerajaan campuran PAS-DAP-PKR itu, yang hanya mampu mentadbir selama 11 bulan. Harus diakui bahawa sejak kemenangan pada 8 Mac 2008, PAS-PKR dan DAP sendiri sudahpun menghadapi masalah, terutama dalam pemilihan jawatan Menteri Besar.  DAP yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak, mahukan calon daripada parti tersebut tetapi sedikit terhalang kerana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memerlukan “orang Melayu dan beragama Islam.”

Atas prasyarat itulah DAP menerima Nizar secara paksa, tetapi jumlah keanggotaan ahli majlis mesyuarat lebih berpihak kepada parti dominan Cina itu. Mungkin kerana Nizar dan dua orang wakil rakyat DAP ada hubungan darah, melalui ibu Nizar yang berketurunan Cina, maka polemik itu akhirnya mencapai sedikit kemajuan. Walau bagaimanapun, pentabiran Nizar masih dibayanyi oleh DAP, sehingga sanggup menodai kepentingan Melayu. Nizar seakan-akan ditelunjukkan oleh DAP untuk memberikan tanah kepada sekolah-sekolah Cina bagi menjana ekonomi, menggantikan ahli jawatankuasa masjid (khairiah), membenarkan bukan Melayu mepersendakan ayat al-Quran.

Perilaku ini disokong pula oleh kepimpinan PAS dengan alas an, bukan Islam boleh membaca al-Qur’an kerana orientalis juga berbuat demikian mengkaji Islam. Pemimpin PAS menjadi semakin liberal sehingga Mursyidul Amnya memberika lampu hijau bahawa bukan Islam boleh mencaci Islam kerana “tidak faham dengan Islam”. Inilah sandiwara politik terbesar yang berlaku pada tahun 2009 yang akan terus membengkak pada tahun ini.

Anwar yang dianggap telah banyak menimbulkan masalah kepada pakatan rakyat, pernah diminta oleh Karpal Singh untuk keluar dan menghentikannya. Atas hasrat untuk menapak ke Putrajaya, akhirnya Anwar tidak bangkit mempertahankan sindiran tersebut, membiarkan ia mati begitu sahaja apabila membuat kenyataan bersama menolak Kerajaan Perpaduan, yang pernah dilontarkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang.

BN terus diterjal dengan pelbagai sindirann oleh pembangkang setelah rancangan menukarkan kerajaan pada 16 September 2008 menjadi igauan ngeri. Bagi menutup ketakutan kemilau bayangan perubahan kepimpinan negara, Anwar terus mencanangkan gerakan gelombang pilihan raya kecil sehingga sepanjang tahun 2009,   berlaku dua keadaan yang menyesakkan minda masyarakat. Dua daripada lapan pilihan raya kecil membuktikan tidak sepatutnya berlaku, kerana tidak mempunyai asas yang kuat, iaitu di Bukit Selambau dan Penanti. Penanti sengaja dilakukan bagi Anwar menyingkirkan penyandangnya yang sebelum ini telah diberikan amaran kerana kurang berfungsi dan mendekatkan diri dengan pengundi.

Ahmad Fairus, bekas seorang guru muda tersepit antara tuntutan politik dan tohmahan yang diterimanya dari Angkatan Muda Keadilan sendiri yang mendedahkan telah menerima sogokan dari sebuah kuari di Bukit Mertajam. Syarikat tersebut telah menaja pemergian Ahmad Fairus ke luar negara untuk berkursus. Dengan menggunakan alas an untuk melanjutkan pelajaran, Ahmad Fairus dengan pedih mengumumkan perletakan jawatannya, kerana Dr. Mansor pula ingin merasakan nikmatnya menjadi wakil rakyat setelah beberapa kali kecundang. Kini, Dr. Mansor sentiasa bekejar menggunakan Mercedes 350 milik kerajaan negeri dan mula membisu dengan kedudukan orang Melayu Pulau Pinang, kerana beliau bukanlah tinggi sangat semangat kemelayuannya.

Desas-desus mula tersebar, kerana banyak isu bakal meletus dalam bulan Februari ini,  DUN Perak diramalkan akan dibubarkan. dalam masa yang terdekat. Ada pihak mula membuat percaturan bahawa Perdana Menteri akan mencari jalan untuk mengadakan pilihan raya negeri Perak lebih awal kerana tidak yakin keputusan mahkamah tidak akan berpihak kepada BN. Jika begitulah keadaannya, 2010 bakal menjadi medan kecaman yang hebat dan turut disalutkan dengan liku-liku ikues mendiang Teoh Beng Hock, kerana pandangan pakar forensik dari Thailand sudah banyak dikupas dan diulas, termasuk keputusan tidak mendakwanya atas kebocoran maklumat tersebut.

Perang psikologi yang sedang dikembangkan oleh Anwar dan sekutunya itu adalah bertujuan untuk menyimpangkan pergolakan yang sedang melanda Pakatan Rakyat dan parti-parti yang mendokongnya. PKR Selangor terus bergolak sehingga menyebabkan Menteri Besar semakin kurang jelas percakapannya. Ahli Jawatankuasa PKR yang dipimpinnya membuat kenyataan keluar dan tidak lagi mempercayai kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim atas pelbagai sebab termasuk usahanya untuk masuk campur dalam pengurusan Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor (YBK).

Tan Sri Khalid mahukan jawatan sebagai pengerusi YBK kerana organisasi itu bakal memajukan pembinaan kampus UiTM yang menelan belanja ratusan juta ringgit. Tan Sri Khalid ingin membawa masuk juak-juaknya dalam kontrak pembinaan kampus itu, jika tidak anak menarik balik pemberian tanah yang pernah dilakukan oleh kepimpinan terdahulu. Semakin banyak kontradiksi yang dilakukan oleh PKR di Selangor sehingga Hasan Ali menjadi tersepit. Pertikaian antara Khalid Samad dan Zulkifli Nordin masih panas, dan khabarnya Zulkifli sanggup mencabar Khalid di mahkamah serta berhadapan dengan tindakan disiplin kerana mempertahankan pendiriannya mengenai kalimah Allah hanya untuk orang Islam.

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim akan berlangsung juga dalam bulan Februari.  Anwar sudah beberapa kali cuba mencari helah untuk menyingkirkan dakwaa tersebut akhirnya kecundang dalam permohonannya mendapatkan bahan bukti. Namun yang akan menjadi lebih menarik ialah mengenai bahan bukti yang bakal diajukan kepada mahkamah kerana masyarakat masih ingat bagaimana tilam kepunyaan Anwar pernah dibawa masuk ke mahkamah dalal perbicaraan kes liwatnya dengan adik angkatnya beberapa tahu lalu. Ada yang membayangkan apakah “Bahan bukti” yang bakal dihadap ke mahkamah, itu “melucukan” atau “menggemparkan” lagi. Walau apapun, “bahan bukti” itu akan terheret masuk dalam isu kempen jikalau pilihan raya diadakan, atau mungkin seawalnya menjadi medan percaturan dalam DUN Kota Seputih, jika pilihan raya kecil menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Selain DUN Perak, Sarawak juga berada dalam gelora pilihan raya negeri kerana edahnya dijangka berpenghujung pada bulan Julai 2011. Sebagaimana diramalkan bahawa pilihan raya Sarawak akan berlangsung pada tahun 2010, dan banyak perkara yang sedang dipertimbangkan oleh Pakatan Rakyat bagi mendapatkan sokongan pengundi di sana. Beberapa hari lalu ada percaturan dilakukan bahawa BN tetap dapat menguasai DUN Sarawak, tetapi kekuatannya sedikit tergugat disebabkan oleh beberapa perkara tradisi termasuk kebangkitan semula politik dayak. Isu perletakan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, iaitu anak Ketua Menteri Sarawak turut disuluh sebagai satu faktor tidak puas hati di atas perlantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Idris Jala dilihat tidak mempunyai akar umbi politik, tetapi kerana reputasinya sebagai tokoh korporat menyebabkan Perdana Menteri memberikan tempat sebagai anggota cabinet. Idris yang pernah bertugas di Shell Sarawak dikatakan pernah berjaya melalui “turnaround management”, diberikan kepercayaan melakukan transformasi Syarikat Penerbangan Malaysia. Semasa melakukan transformasi MAS, Idris dikatakan berjaya memberikan keuntungan kerana melupuskan banyak asset, dan bukannya kerana mempunyai sentuhan pengurusan yang bermagnet, yang dikenali sebagai “sentuhan midas.”

Melihat kepada senario PAS di Kelantan, tradisi “cah keting” sebenarnya bukanlah satu perkara baru. Sebelum ini “cah keting” memang terkenal dalam permainan bola sepak, telah menjadi budaya dalam politik baik UMNO ataupun PAS. Suatu ketika dahulu kedengaran calon yang akan bertanding sebagai Ketua Bahagian telah diculik, manaka lawannya mendapat kemenangan mudah. Kes ini pernah berlaku di dalam UMNO Pasir Puteh. Kini merebak dalam PAS. Nik,Aziz akui perbuatan itu, maka kali ini Nik Aziz menjadi pening apabila tokoh yang dicahketingkan ialah beliau sendiri.

Cah keting kerana menolak gagasan kerajaan perpaduan, memohon doa laknat kepada orang lain yang tidak sehaluan politiknya, cadangan tidak membenarkan calon wakil rakyat yang mewakili PAS bukan anak tempatan, krisis menantunya dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, penamatan kontrak setiausaha politik dan akhbar, penyingkiran blogger, menuduh blogger sedangkan sebelumnya memuji blogger, tajaan mengerjakan haji sekeluarga, pampasan RM 800 juta konsesi balak, kekalahan pemimpin tajaannya dalam Muktamar PAS 2009, tuntutan nafkah ADUN Melor, mengosongkan kerusi Telong untuk membolehkan beradu pengaruh antara Ibrahim Ali dan Tok Guru, dan terbaru, laluan ke syurga kaedah Tok Guru.

Ini semuanya bakal menggoncangkan politik sepanjang 2010. Rakyat walaupun terasa muak dengan perilaku ahli politik yang sentiasa mencari jalan memprojekkan diri, tetap juga menerimanya, kerana  itulah survival yang masih ada. Saluran politik masih berada dalam diaspora Melayu walaupun Kit Siang dan Wee Kah Siong cuba merungkaikannya dengan cara masing-masing. Soalnya sekarang, kalau orang Melayu memperkatakan haknya, maka bukan Melayu menganggap saluran yang mengumandangkannya sebagai rasis. Tetapi, jika akhbar-akhbar Cina dan Huatuan yang lebih 2000 buah menyuarakan perkara berkaitan dengan orang Cina, tidak dianggap rasis. Ia dikatakan sebagai kebebasan dan nilai tersebut perlu diperkuatkan bagi menuju kematangan demokrasi.

Tetapi, dalam keghairahan menanti bulan-bulan seterusnya dalam tahun 2010, sebenarnya kita sudah kehilangan beberapa orang pemimpin yang bukan sedikit menyumbangkan jasa kepada negara. Kita perlu mengkaji kebijaksanaan mereka, kerana gagasannya telah menjadikan kita boleh berbincang, berpendapat dan membentuk diaspora pemikiran seperti sekarang.

Kita menyambut tahun baru dengan kematian Tan Sri Mohamad Rahmat (walaupun beliau mengakui sebagai propagandis, tetapi saya tetap menganggapnya sebagai seorang penggerak pemikiran masyarakat, Kerana program semarak, beliau mampu mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap Perdana Menteri dan kestabilan politik dalam negara). Kita juga kehilangan Tun Fatimah Hashim, serikandi bangsa yang banyak mengorbankan tenaga dalam membangunkan politik wanita UMNO dan menyumbangkan fikiran kebajikan wanita dan kanak-kanak sepanjang berada dalam kabinet.

Beberapa hari lalu kita kehilangan seorang lagi tokoh yang saya anggap paling menonjol dalam pembentukan sosial masyarakat Malaysia. Tun Ghazali Shafie yang dilihat sebagai ikon diplomatik, juga merupakan salah seorang arkitek yang menyumbang terlahirnya Rukunegara. Namun dalam banyak perkara, Tun Ghazali terus diingat kerana telah terselamat dalam kemalangan pesawat Cessna di hutan Kuala Lipis oleh kebanyakan orang dan kepada bekas kakitangan, arwah tetap dikenali sebagai King Ghaz kerana ketegasan dan kemesraannya.

Kemangkatan Sultan Iskandar, sultan Johor pada malam 22 Januari lalu turut mewarna suasana muram bulan Januari. Meskipun kemangkatan baginda itu ditangisi oleh segelintir rakyat Johor, seluruh rakyat Malaysa turut berasa sedih kerana baginda pernah menjadi Yang Di Pertuan Agong ke-8 iaitu pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989.

Walau apapun, Februari tetap menjadi debaran jantung setiap orang rakyat Malaysia. Februari semakin berdebar bagi pasangan yang sedang mencongak apakah hadiah yang bakal diberikan bagi memujuk atau membuktikan kesetiaan kepada kekasih hati, tetapi, bagi peminat politik ia bakal mengundang banyak perdebatan dan membuka gelanggang pendapat dengan lebih luas.

Apakah Februari itu boleh memberikan indikasi yang jelas kepada model ekonomi baru Malaysia yang bakal diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada bulan Mac nanti? Kita tunggu dan lihat, sesekali turut mengeluarkan pendapat kerana kita diberikan hak untuk mengeluarkan pendapat asalkan tidak memburuk-burukkan orang lain. Kita mesti ada asas dan bukti, barulah pendapat kita itu boleh dimengerti dan memberikan erti.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 9, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: