Sebat Syariah Didik, Insafkan Pesalah



KAKITANGAN Penjara Wanita Kajang melaksanakan hukuman sebatan syariah. (Gambar kanan) KAKITANGAN penjara menunjukkan hukuman sebat kesalahan jenayah sivil.

Hukuman sebatan sivil, penjara, denda lebih menyekat kebebasan dan hak asasi

Hukuman sebat tidak melebihi enam kali adalah satu daripada hukuman yang diperuntukkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, di samping hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak lebih RM5,000. Bidang kuasa Mahkamah Syariah bagaimanapun hanya diperuntukkan kepada orang Islam.

Bagi kesalahan yang boleh dikenakan sebat pula berbeza antara negeri. Namun, secara umumnya ia merangkumi jenis kesalahan yang berkaitan akhlak, ajaran sesat dan minum arak.Ramai beranggapan hukuman sebat terhadap tubuh sesuatu yang kejam dan menyakitkan serta membawa penghinaan kerana menjadikan seseorang seolah-olah seperti binatang. Alasannya juga ia bertentangan dengan hak asasi manusia dan mereka lebih menyokong hukuman penjara dan denda.

Sekali pandang, memang benar seperti didakwa, tetapi ini pun jika hukuman sebat yang dimaksudkan itu seperti dijalankan di Mahkamah Sivil. Mereka silap jika rujukan sama dibuat terhadap hukuman sebat syariah. Pelaksanaan hukuman sebat syariah lebih ringan berbanding sebatan sivil kerana cara sebatan syariah sederhana dan tidak boleh melukakan kulit.

Ketika hukuman dilaksanakan, pesalah perlu berpakaian lengkap dan tukang sebat tidak boleh mengangkat tangannya melebihi paras kepala. Boleh dikatakan hukuman sebat syariah lebih bersifat ta’dib (mendidik dan memberi kesedaran) daripada ta’zib (menyeksa). Justeru, hukuman sebatan syariah boleh dilaksanakan ke atas pesalah tanpa mengira jantina.

Perlu diingat, perkara asasnya adalah segala hukuman pasti tidak akan dikenakan, melainkan jika seseorang melakukan jenayah iaitu antara perkara keji yang perlu dihindari semua pihak. Apa saja hukuman yang dikenakan terhadap pesalah bukan bertujuan untuk pembalasan semata-mata, tetapi memberi pengajaran kepada diri dan masyarakat umum.

Jika ada yang mengatakan hukuman sebat bertentangan dengan hak asasi manusia, hakikatnya hukuman penjara dan denda lebih dahsyat. Hukuman penjara yang menjadi hukuman favourite atau pilihan dewasa ini alternatif yang terbaik untuk menghukum pesalah.

Hukuman itu menyekat kebebasan individu dengan meletakkannya bersama penjenayah lain, terpaksa mengikut peraturan penjara yang jelas mengikat kebebasan, menghalang daripada hidup bersama keluarganya adalah hukuman lebih menyeksakan.

Ia lebih bahaya apabila banduan yang dikelilingi penjenayah lain boleh memperkayakan lagi teknik melakukan jenayah. Keluarga banduan pula terutama yang bergantung hidup kepadanya seperti isteri, anak dan ibu bapa turut menjadi mangsa.

Mereka hilang punca pendapatan, terbiar merana, menghadapi tekanan dan cemuhan masyarakat seolah-olah mereka juga dihukum kerana kesalahan yang tidak dilakukan.

Tidak cukup dengan itu, rekod peribadi banduan pula menjadi buruk. Sudah pasti implikasinya amat berat terutama jika dia berhasrat mencari pekerjaan dan mendapatkan pembiayaan kewangan bagi bagi menanggung keluarga mahu pun diri sendiri. Dalam pada itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk penjara.

Jika perbelanjaan seorang banduan RM35 sehari, untuk tempoh setahun ia menjadi RM12,775. Bagaimana jika 30,000 banduan? Bayangkan berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan?

Hukuman denda pula bukan pencegahan efektif kerana bagi yang mampu, semahal mana pun ia masih boleh dibayar. Pesalah yang tidak mampu membayar denda pula bakal dihukum penjara. Bukankah ini diskriminasi yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia? Sebaliknya jika hukuman sebat dikenakan, tanpa mengira darjat, taraf kehidupan, kaya atau miskin, jadi kesannya lebih menyeluruh.

Hukuman sebat syariah, walaupun dianggap menyeksa tubuh, ia tidak seberat yang difikirkan. Pelaksanaan hukuman sebat tidak mengambil masa lama kerana dijalankan cukup ringkas dan tepat. Malah seterusnya, pesalah dibebaskan dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Kesannya tidak berakhir di situ atau cuma memberi kesan fizikal semata-mata kerana ia dapat memberi kesan yang mendalam kepada diri pesalah. Lebih penting, ia memberi keinsafan agar tidak mengulangi perbuatan salah. Ia juga memberi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat dan mencegah mereka terjebak ke dalam perlakuan maksiat dan jenayah.

Jika diamati, jelaslah sebat syariah banyak kelebihan. Si pesalah tidak ditahan kebebasannya serta dapat meneruskan kehidupan bersama keluarga dan boleh meneruskan pekerjaan seperti biasa.

Hukuman ini juga tidak membebankan kerajaan kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar seperti perbelanjaan penjara. Kerajaan juga tidak kerugian warga pekerja dan buruh yang produktif demi kemajuan negara.

Paling utama, hukuman sebat syariah tidak memberi implikasi seburuk penjara kepada pesalah kerana rekod peribadi masih bersih. Pesalah juga tidak kehilangan pekerjaan dan masih mendapat pembiayaan kewangan.

Menurut Islam, hak asasi manusia perlu ditafsirkan mengikut kehendak Islam. Hak individu hendaklah diimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan dan kesejahteraan. Allah yang Maha Menciptakan semestinya Maha Mengetahui mengenai apa yang diperlukan dan diingini manusia ciptaan-Nya.

Sehubungan itu, sudah pastilah, apa saja yang disyariatkan mempunyai nilai kemaslahatan yang mungkin tidak dapat difahami melainkan oleh manusia yang berakal.

Perlu diyakini juga, hukuman sebat jika dilaksanakan seperti dikehendaki undang-undang Islam adalah rahmat yang dapat membendung jenayah semaksimum mungkin. Kita percaya Allah SWT sebagai pencipta. Hanya Dialah yang Maha mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-Nya. Wallahu alam.

Oleh: Nasimah Hussin
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber: BH Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 21, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: