Alam Semesta Sebagai Petunjuk


Kebiasaannya apabila terlintas perkataan “alam”, maka terpaparlah di kotak fikiran kita akan gambaran alam dunia yang saujana luas ini. Alam semesta yang merangkumi langit dan bumi serta benda-benda yang wujud di antara kedua-duanya. Alam yang dapat ditanggap oleh pancaindera.

Alam yang terdiri daripada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, lautan dan cakerawala. Sememangnya inilah yang akan kita tanggapi dahulu apabila menyebut perkataan “alam”. Kita mungkin memerlukan sedetik tafakur untuk menyedari bahawa sebenarnya alam yang terbentang di hadapan kita ini hanya sebahagian daripada keseluruhan alam.

Perkataan “alam” (kata majmuknya: a’lam) terbina daripada tiga huruf, iaitu “ayn” , “lam” dan “mim” di mana daripada akar kata yang sama juga terbinanya perkataan ‘alamat’. Makna tersebut memberi gambaran bahawa alam ini merupakan petunjuk atau alamat kepada sesuatu “objek”.

Dalam konteks alam, ia mengisyaratkan kepada Pencipta, iaitu Allah Taala. Sementara itu perkataan “dunia” pula sebenarnya berasal daripada perkataan Arab – “dunya” daripada akar kata “dana” yang bererti dekat atau hampir. Sementara perkataan “akhirat” pula juga berasal daripada perkataan Arab, iaitu “akhirah” yang bermaksud kemudian ataupun akhir. Makna tersurat daripada perkataan ini ialah alam dunia merupakan alam kini yang kita diami sekarang, manakala alam akhirat merupakan alam kemudian setelah berlalunya alam ini. Disebabkan hampirnya dunia dan jauhnya akhirat dengan kita, maka hidup kita lebih tertumpu kepada dunia dan alpa kepada akhirat.

Menurut Prof. Syed Naquib al-Attas, pembawaan dekat dan jauhnya dunia dan akhirat kepada kesedaran manusia mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ini kerana alam dunia yang kita diami ini berperanan sebagai ayat Allah, iaitu petunjuk yang bakal membawa kita sampai kepada-Nya. Bukankah dengan alamat sesuatu itu akan sampai kepada destinasinya? Destinasi kita ialah menuju Allah. Sebagai petunjuk, maka apabila semakin dekat alam dengan kita, maka lebih jelas dan mudah untuk kita melihat dan memahami makna tujuannya (al-Attas, 1995).

Bagaimanapun, alam yang sepatutnya berperanan sebagai ayat (lambang) juga adalah simbol. Apabila kita hendak menuju kepada sesuatu destinasi, kita biasanya berpandukan papan tanda. Fungsi dan nilai papan tanda hanyalah sekadar menunjuk arah, tidak lebih daripada itu.

Namun dalam konteks alam, ia bukan sekadar berperanan sebagai tanda penunjuk arah tetapi juga sebagai simbol itu sendiri. Simbol dalam erti kata selain menunjuk arah, ia juga membuatkan orang yang melihatnya merasai dan terpegun dengan kewujudannya. Contoh mudah yang sering diberikan oleh Al-Attas ialah bagaimana keadaan seseorang yang berada dalam perjalanan menuju ke sesuatu destinasi. Misalnya, dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Jitra melalui Alor Setar. Apabila sampai di Alor Setar, kita akan mencari tanda arah ke Jitra. Biasanya tanda arah kelihatan ringkas dan mudah. Tapi bagaimana sekiranya apabila tanda arah itu dibina dengan cantik. Berbanding dengan tanda arah tersebut, alam semesta adalah jauh lebih indah dan mengagumkan. Ia bukan sekadar berupaya melalai atau melupakan terus destinasi kita malah ada yang sanggup menafikan terus kewujudannya. Namun alam dunia seperti yang kita tegaskan sebelum ini adalah ayat atau petunjuk hanya kepada orang yang “berakal dan menggunakan akalnya”.

Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kepada akhiran ayat-ayat yang meyarankan manusia memerhati dan memanfaatkan alam. Jika diperhatikan, keseluruhan akhiran ayatnya bersifat stereotaip, iaitu menekankan kepentingan berakal dan penggunaan akal (lihat misalnya surah Ali-Imran, ayat 190-91; al-Insan, ayat 21; al-Baqarah, ayat 164; dan al-Mukminun, ayat 80). Maksud “berakal” di sini bukanlah seperti difahami kebiasaannya oleh orang kebanyakan. Berakal di sini merujuk kepada akal sihat yang berupaya berfungsi mengikut apa yang ditetapkan padanya. Akal yang sakit pula ialah apabila ia tidak lagi mampu melakukan tugasan yang ditetapkan padanya. Jelas diperhatikan ayat-ayat yang mengandungi sebutan “aqal”, kita akan mendapati bahawa semuanya didatangkan dalam bentuk perbuatan “fi’il”, misalnya afala ta’qilun, la’allakum ta’qilun dan in kuntum ta’qilun. Ini menunjukkan bahawa “aktiviti” tidak boleh dipisahkan oleh akal. Dengan kata lain, orang yang tidak menggunakan akalnya adalah sama dengan orang yang tidak berakal atau sakit akalnya. Sayangnya, ada di antara manusia yang bukan sahaja tidak menghargai alam semesta yang menghidangkan keanekaragaman petunjuk, malahan mrncuba merosak dan memusnahkannya.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 24, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: