Merayakan Hari Keputeraan Rasulullah S.A.W.


Walau apa-apa pun yang difatwakan orang tentang sambutan hari keputeraan Rasulullah s.a.w, pada pandangan saya, umat Islam di seluruh dunia akan mendapat semangat dan keinsafan baru ketika menyambut hari yang bersejarah itu. Umat Islam merayakan hari yang bersejarah itu bukanlah dengan niat yang buruk, atau menyalahi sunnah baginda sendiri, tetapi sebagai perayaan yang penting di dalam sejarah agama dan umat Islam, maka 12 Rabiulawwal adalah merupakan tarikh yang seharusnya diperingati setiap tahun, terutamanya untuk meneruskan tauladan dan pengajaran yang seharusnya diambil daripada peristiwa kelahiran manusia agong ini, generasi demi generasi sehingga peristiwa penting ini tidak hanya nanti akan tinggal di dalam buku sejarah semata-mata.

Kita seharusnya mengulang-ulangkan kajian dan penerokaan kita tentang segala peristiwa yang dilalui oleh baginda Rasulullah s.a.w sepanjang hayatnya. Cabaran yang dihadapinya dari segenap pelosok dan penjuru dunia kepada agama yang dibawa manusia agung itu, haruslah dikenal pasti, kita juga haruslah berusaha mempelajari segala tektik dan strategi baginda, menginsafi akan segala susah payah perjuangannya, dan mengenali akan segala kebaikan dan kesejahteraan sejagat yang diperjuangkan baginda dengan berkat hidayat dan petunjuk Allah s.w.t.

Hal ini tentulah tidak merupakan sesuatu yang sia-sia bagi kita pada hari ini, yang sedang menghadapi ulangan sejarah tentang cabaran dan kecaman yang kita hadapi, tentang ejekan dan gambaran buruk yang dilabelkan kepada umat kita, juga tentang kelemahan dan kemunduran yang sedang kita alami sendiri di dalam dunia global dan moden ini.

Kita tentulah seharusnya mengkaji semuanya itu. Kenapakah kita berada di tahap yang lemeh dan mundur? Kenapakah kita sentiasa dikecam dan dikritik? Apakah masalah yang sedang kita hadapi? Dan bagaimanakah masalah itu seharusnya kita atasi?

Seperti yang kita mengetahui, peristiwa kemuncak dari cabaran yang dihadapi oleh baginda dalam perjuangannya di Mekah ialah peristiwa Hijrah ke Madinah yang terpaksa dilakukannya, demi masa depan perjuangan agama dan umatnya. Rasulullah  s.a.w terpaksa berhijrah meninggalkan tanah tempat tumpah darah baginda, Makkah al-Mukarramah, menuju ke Madinah al-Munawwarah, adalah disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat diselesaikan, atau dalam pengertian yang dapat disimpulkan bahawa  tanpa hijrah, umat Islam Mekah yang diketuai baginda Rasulullah s.a.w, akan menghadapi masalah yang lebeh besar dan lebeh merbahaya. Di antara faktor-faktor tersebut ialah:

1)    Bertambah meningkat dan ganasnya penyiksaan fizikal dan mental yang dilancarkan oleh kaum kafir Quraisy terhadap kaum muslimin yang masih lemah pada ketika itu, malah gangguan fizikal dan mental itu sering juga dilancarkan terhadap diri baginda sendiri.

2)    Usaha musuh kaum muslimin mengenakan sekatan ekonomi yang berterusan agar kaum muslimin merasa terdesak, terutamanya kerana kekurangan makanan dan minuman, maka dengan itu kaum Quraisy berangan-angan agar kaum muslimin akan menyerah kalah kepada kehendak kafir musyrikin itu.

3)    Dalam keadaan yang genting ini, Rasulullah pula kehilangan isterinya Khadijah yang kembali ke rahmatullah. Isterinya ini merupakan seorang teman dan pejuang yang sentiasa berdiri teguh di belakang baginda dan sentiasa memberi sokongan padu kepada baginda dalam misinya menyebarkan agama Islam. Dan dalam jangka masa yang sama juga, bapa saudara baginda, Abu Talib meninggal dunia. Bapa saudara baginda ini juga merupakan seorang yang amat kuat mempertahankan baginda dan sentiasa melindunginya daripada permusuhan kaum kafir Quraisy, kerana Abu Talib adalah merupakan seorang yang disegani oleh kaum Quraisy.

Dengan itu ternyata bahawa Hijrah bukanlah merupakan satu tindakan baginda Rasulullah s.a.w secara terburu-buru untuk melarikan diri daripada tanggungjawab baginda bagi menyebarkan ajaran Allah s.w.t di tanah tempat tumpah darahnya, seperti yang pernah di tohmah oleh sesetengah orientalis Barat. Malah tindakan baginda adalah merupakan satu ijtihad yang penuh strategik dan hikmah dalam menyusun agenda jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menyebarkan ajaran Islam ke seluruh alam.

Baginda meletakkan satu harapan baru dalam usaha seterusnya bagi mengembangkan agama Allah s.w.t yang diamanahkan kepada baginda itu, iaitu dengan usaha baginda untuk mendapatkan para penyokong dari Madinah, dan menyediakan satu platform baru yang lebeh kukuh sebagai arena yang lebeh berkesan dalam merangka dan melancarkan strategi risalah atau misi baginda.

Cinta Kepada Tanah Tumpah Darah

Dalam hubungan peristiwa Hijrah ini, ada diriwayatkan bahawa baginda telah membisikkan rasa cintanya kepada kota Mekah, tanah tempat tumpah darah baginda itu dengan penuh perasaan, iaitu ketika akan meninggalkan kota Mekah, baginda mengungkapkan kata-kata berikut:

“Alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Mekah), dan alangkah kasihnya daku kepadamu, seandainya tidak kerana aku diusir oleh kaumku untuk berpisah denganmu, maka demi sesungguhnya aku tidak akan memilih tempat kediamanku selain daripada kamu.”

Setelah mengucapkan kata-kata tersebut, maka baginda pun terus melangkah keluar, yang dilakukannya sebagai menunaikan satu perentah Allah s.w.t, yang di antaranya terdapat didalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumiKu adalah amat luas, maka sembahlah Aku sahaja.” (Al-Ankabut: 56)

Ketika inilah juga turunnya ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Dan katakanlah: Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisimu kekuasaan yang (dapat) menolong.” (Al-Isra’: 80)

Cintakan Tanah Air

Rasulullah s.a.w telah menginspirasikan kepada umatnya bahawa cintakan tanah air dan negara adalah merupakan satu daripada tuntutan agama. Segala amal bakti yang dapat dicurahkan kepada negara hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Bagaimana pun kecintaan kepada watan kadang-kadang memerlukan pengurbanan fizikal dan kerohanian yang dapat dilakukan mengikut kemampuan masing-masing atas sifat individu dan kelompok masyarakat. Baginda menterjemahkan kecintaan ini dengan pengorbanan yang besar, iaitu keluar meninggalkan tanah tempat tumpah darahnya yang amat tercinta demi amanah Allah s.w.t yang dipikulnya, dan demi kelangsungan usaha mengembangkan ajaran Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w meskipun dihadapi dengan kekasaran fizikal, iaitu perbuatan ganas dalam bentuk yang menyakitkan jasad dan badan, seperti dilempar batu, unak, duri dan najis, tetapi baginda sentiasa bertindak dengan penuh hati-hati, agar kekerasan tidak dibalas dengan kekerasan, terutamanya mengingatkan bahawa umat Islam pada permulaan dakwah baginda adalah kecil bilangannya, masih lemah dan masih bergantung kepada keadaan di sekeliling dari segi mendapatkan makanan dan minuman, sedangkan pihak musuh adalah terdiri daripada kaum yang telah lama bertapak, telah biasa dengan pembunuhan dan perbuatan kejam, yang hidup tanpa sebarang nilai akhlak dan perikemanusiaan. Baginda perlu mengembangkan satu cara hidup dan akidah serta nilai-nilai moral kerohanian yang baru di dalam masyarakat yang amat liar itu kerana agama yang dibawa baginda adalah meerupakan agama yang mengandungi akidah yang mantap dengan membawa misi tauhid dalam erti kata bahawa hanya Allah s.w.t merupakan Tuhan yang di sembah, dan agama ini juga membawa ajaran yang penuh toleran dan penuh dengan nilai-nilai kerohanian dan akhlak yang seharusnya diamalkan dengan penuh sedar oleh semua umat manusia.

Akhirnya, apabila keadaan menjadi amat genting, dan kedudukan umat Islam juga berada dalam bahaya di kota Mekah, maka baginda telah menyusun pelan aman yang penuh strategik, iaitu meninggalkan sementara tempat yang berbahaya ini, berundur daripada musuh, dalam pengertian bahawa berundur bukanlah bererti menyerah kalah, tetapi berundur untuk menyusun semula barisan dan kekuatan untuk kemenangan agama kemudian kelak.

Sekiranya umat Islam yang lemah di Makkah itu mengambil sikap terburu-buru berkeras dan berkonfrantasi secara ganas, maka kedudukan Muslimin yang merbahaya ini akan membawa mudarat pula kepada dakwah agama Islam itu sendiri. Maka, tidak mengapa seruan dan dakwah ini di berhentikan sementara di Mekah, dengan harapan bahawa pada satu masa nanti, baginda akan kembali semula ke tanah tumpah darahnya untuk mencipta sejarah baru, iaitu dalam bentuk kemenangan kepada misi yang dibawanya daripada Allah s.w.t seperti yang dibuktikannya ketika baginda pulang ke Mekah dan berjaya mengislamkan umat yang sesat itu, dan menghancurkan segala simbol syirik itu.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 1, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: