HIDUP DI TENGAH-TENGAH KEKOTORAN


Kadangkala kita begitu seronok untuk berasa bahawa kita ini sudah cukup sempurna dalam banyak perkara, sehingga apabila ada pihak lain yang menegur atau mengkritik kita, amat cepat untuk kita bangkit membantah. Kita bukan sahaja cuba menyangga, malah dengan garangnya akan bingkas menyanggah.

Dan ini tidak berlaku kepada individu sahaja, malahan mereka yang duduk dalam agensi-agensi atau yang mengetuai agensi-agensi tertentu juga begitu mudah untuk menganga dan melatah.  Pokoknya, memang kita terlalu sensitif setiap kali dikritik. Mengenai apa sahaja.

Misal sahaja andaikata tiba-tiba ada suara yang menuduh kita sebagai pengotor, yang menuduh kita tidak cakna kepada makna kebersihan, kita tentu akan sangat marah, walau pun di hadapan mata kita sendiri, terpampang segala bukti. Bukti-bukti itu menujukkan betapa bukan sahaja orang lain yang kita nampak senantiasa bermain dengan kekotoran (dan kita mencelanya), bahkan kita sendiri turut melakukannya (tetapi kita alpa).

Untuk contoh yang mudah, sampah dan saliran  buangan sisa sampah adalah salah satu dari gejala kotor yang kita maksudkan itu. Kita tidak mempersoalkan langsung dan tidak juga mempertikaikan perihal orang-orang yang terpaksa menangani kekotoran itu, atau yang bekerja pada lapangan yang pada zahirnya kelihatan kotor dan comot. Para pemungut sampah, pencuci longkangan, pembersih kolam kumbahan, atau individu-individu lain yang setiap saat bergelumang dengan aroma dan aura yang kita namakan “tidak bersih”, mereka bukanlah orang-orang kotor. Tanpa mereka, banyak aspek dan keperluan masyarakat jadi gendala. Sekali lagi kita ulang, itu bukan kotor namanya. Itu pekerjaan bersih, malahan mulia, untuk kebaikan semua manusia. Mereka menangani kekotoran demi kebersihan semua. Kita mesti menghargai mereka.

Yang kita maksudkan sebagai orang-orang yang berbuat kotor ialah mereka yang tanpa segan silu melimpahkan apa sahaja material kotor ke hadapan dan ke tengah masyarakat. Sampah-sampah yang mereka hasilkan, yang mereka cipta setiap saat, itu adalah sampah pribadi mereka. Malangnya ketika melupuskan sampah-sampah itu, mereka tidak pun membawanya ke tong-tong sampah yang banyak tersedia. Mereka juga tidak membakarnya, bagi apa yang wajar dibakar. Tidak pula menimbusnya bagi yang patut ditimbus.

Sebaliknya, sampah-sampah itu mereka buang di mana sahaja mereka suka, walaupun kerana itu orang lain yang akan menghidu aroma busuknya. Atau kadangkala mereka sendiri berasa mau muntah gara-gara sampah yang mereka buang sesuka hati itu.

Perhatikanlah tepi-tepi jalan di mana sahaja, sering sahaja kita temui plastik-plastik berisi sampah yang dibuang; kadang-kadang malahan di pintu pagar kediaman orang lain. Banyak pemilik sampah yang meletakkan kampit-kampit sampah di atas boot belakang kereta, mungkin dengan niat untuk membawa ke tong sampah. Tetapi tidak jarang kampit-kampit sampah itu jatuh di pertengahan jalan, bertaburan dan berselerakan di hadapan kawasan perumahan orang.

Di tempat lain, kampit-kampit sampah itu sengaja mereka jatuhkan di selekoh-selekoh yang sunyi, bila tak ada orang yang melihat. Biasanya di malam-malam hari. Tak kiralah dalam bendang orang, atau dalam kebun pisang atau kebun getah orang. Maka apabila ada aroma busuk yang menyebar, yang menyedutnya adalah para penghuni yang berdekatan. Betapa malangnya mereka. Sampah mereka sendiri mereka bakar mereka timbus, tetapi sampah orang pula yang datang entah dari mana.

Sebetulnya Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah cukup prihatin. Rata-rata hampir setiap PBT menyediaan khidmat pemungutan sampah secara berjadual. Tetapi bayangkanlah bagaimana bermasalahnya para pemungut sampah itu dalam menyempurnakan kerja-kerja mereka, apabila sampah-sampah tidak pun dimasukkan ke dalam tong-tong sampah? Banyak pemilik sampah yang sesuka hati sahaja mencampakkan kampit-kampit sampah mereka, bukan ke dalam tong sampah, tetapi ke tepi-tepi tong sampah. Kadangkala limpah ke atas jalan raya.

Tidak hairan jika terdapat pemungut sampah hanya memungut sampah-sampah yang sedia ada dalam tong, dan meninggalkan apa yang berselerak di luar tong. Mungkin mereka ingin mengajar pengguna, tetapi pengajaran itu pasti tak akan diterima pakai oleh pengguna yang pengotor dan tidak berdisiplin.

Apatah lagi apabila kedapatan di sana sini tong-tong sampah yang sudah usang, yang bocor, yang tidak mampu menampung sampah. Mau tak mau sampah-sampah terpaksa juga dibuang ke tepi tong. Lebih parah lagi apabila sistem pemungutan tidak dijadualkan dengan betul. Sampah-sampah dipungut secara cincai. Kadang-kadang sisa-sisa cairan dan pepejal sampah yang berlendir-lendir itu dibiarkan melimpah dan mengalir ke atas jalan. Maka setiap kali kenderaan mengharunginya, bau yang terlekat pada tayar akan kekal berhari-hari.

Sebenarnya hubungan baik dua hala, antara pengguna dan pemungut sampah PBT, patut saling bersefahaman. Kalau sampah tidak dibuang sembarangan, mudahlah sampah dipungut. Kalau tong-tong sampah tersedia dalam keadaan utuh, dan banyak pula jumlahnya, mudahlah sampah hendak dikumpulkan.

Dalam kes-kes lain, banyak pula sampah-sampah yang dicampakkan begitu sahaja ke sungai-sungai atau ke longkang-longkang. Ini termasuk sampah-sampah yang tak akan hancur dimakan bumi. Tuala wanita, lampin pakai buang, tin-tin susu, plastik-plastik pelbagai jenis, senantiasa sahaja memenuhi sungai dan longkang. Akibatnya, bukan sahaja air sungai yang jadi kotor, malahan demi terjadinya hujan lebat, longkang dan sungai jadi tersumbat. Terjadilah banjir!

Pernahkah anda berkereta api, misalnya dari Seremban ke KL Sentral sahaja; atau menaiki KLIA Eksprees dari Sepang ke KL Sentral? Nah, perhatikan keliling kelalang anda, terutama ketika akan masuk ke Kuala Lumpur. Tidakkah anda akan melihat betapa banyaknya sampah-sampah yang dilimpahkan di lereng-lereng bukit? Atau jika anda berkereta api dari Kuala Krai ke Wakaf Bharu, anda pun akan bertemu dengan perkara yang sama.

Apakah yang mungkin bermain di kepala kita?

Sebenarnya sebahagian besar kita bukan tidak tahu bahawa sampah-sampah yang tidak terurus, yang dibuang merata, boleh menimbulkan pelbagai masalah. Lalat dan nyamuk adalah produk terbaik yang dihasilkan sampah. Penyakit adalah natijah paling lumayan yang diberikan nyamuk kepada manusia. Tetapi manusia kelihatannya sangat cincai dalam mengatasi masalah sampah.

Sejak sekian zaman, kita telah diajar perihal kebersihan, bagaimana menjaga kebersihan, dan apa faedahnya jadi bersih. Tetapi kita  seperti badak-tuli setiap kali diberi peringatan bahawa sampah yang tidak terurus adalah ciri kekotoran yang tidak dapat dimaafkan. Boleh menjatuhkan imej bangsa, negara dan agama.

Ataukah pada akhirnya kita tidak boleh lagi bermain retorik, tidak perlu lagi untuk berkias ibarat, tidak perlu lagi sekadar memujuk dengan niat membimbing? Papantanda-papantanda kita yang sarat slogan mesera dan bunyinya sangat berhikmah itu barangkali sudah sepantasnya kita ganti aksaranya. Nampaknya orang tak berapa peduli dengan papantanda nasihat yang memetik Kata-Kata Mulia, seperti yang berbunyi: An-Nazofatan Minal Iman – Kebersihan Itu Sebahagian Daripada Iman.

Ya, barangkali kita patut berterus terang saja. Yang patut dikutuk, kita kutuk. Yang patut dicela, kita cela.  Barangkali sudah waktunya kita pacakkan papantanda-papantanda yang bertulis slogan kurang manis, misalnya yang berbunyi Membuang sampah merata-rata perbuatan syaitan. Atau pembuang sampah merata-rata adalah iblis dan hanturaya. Atau penabur sampah tak bertempat adalah manusia biadab tak berotak!

Bunyinya kasar, tetapi siapa tahu akan lebih berkesan, kerana pada zaman manusia lebih menyukai yang biadab berbanding yang beradab ini, ada ketikanya cacai maki itu boleh membuatkan mata dan hati manusia terbuka!

Dan serentak itu, undang-undang yang lebih berkesan berhubung dengan pembuangan sampah, disertai dengan operasi penguatkuasaan yang lebih ketat dan lebih menyeluruh, hendaklah segera digubal dan segera pula dilaksanakan!

Kita harus ingat bahawa keadaan kekotoran disekeliling kita akan membawa kepada penyakit berjangkit seperti taun, demam malaria dan sebagainya kepada diri manusia.  Islam memandang berat soal kesihatan umatnya sebab itulah umat Islam disaran untuk menjaga kebersihan di persekitaran mereka mahupun didalam rumah ataupun di luar rumah seperti kawasan kediaman.

Islam mengajar kepada kita untuk menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit, “Mencegah itu baik daripada berubat” (Prevention is better than cure) sementara apabila ditimpa penyakit, maka kita edisuruh untuk mengubatinya.

Konsep Pencegahan di dalam Islam adalah:

  1. Penjagaan kebersihan diri dan persikataran.
  2. Pemakanan yang seimbang.
  3. Perlakuan dan aktiviti fisikal-senaman.
  4. Hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah dalam aspek kerohanian.

Kebersihan amat dititikberatkan di dalam Islam. Sebagaimana yang disebutkan di dalam Hadith “Kebersihan itu sebahagian daripada Iman” Wajib untuk kita menjaga kebersihan yang seterusnya akan mengelakkan seseorang itu daripada pelbagai jenis penyakit samada penyakit berjangkit (communicable) ataupun tidak (non communicable)

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.”

Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit, kebersihan yang dimaksudkan adalah meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran. Diri dan persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis vektor pembawa penyakit ke kawasan tersebut.

Makanan yang disediakan juga hendaklah dipastikan kebersihannya dan hendaklah dibasuh dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna. Jangan sambil lewa dalam menyediakan juadah dan hidangan untuk keluarga.

Dalam kehidupan seharian kita sering dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti sehari hari. Makanan yang di hidangkan ini haruslah bersih dan halal bagi umat Islam.

Allah telah menukilkan di dalam Al Quranul Karim melalui firmannya:

“Wahai manusia, makanlah apa-apa diatas dunia ini dari makanan yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya dia adalah musuhmu yang nyata.”

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 20, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: