ANTARA ZINA, SYIRIK DAN MEMBUNUH


Secara fitrah, manusia berkembang biak melalui proses persenyawaan telur antara benih lelaki dengan wanita, yang kemudiannya menghasilkan segumpal darah dan membesar dalam rahim seorang wanita. Fitrah itulah juga mensyaratkan agar benih yang lahir itu merupakan zuriat yang sah dan proses pengesahannya mestilah bermula dengan ikatan perkahwinan.

Pada zaman dahulu, jika seseorang wanita melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan yang sah, akan menerima kutukan dan seksaan daripada lingkungan budaya masyarakatnya. Dan, kerana itulah ramai anggota masyarakat menjadi takut sehingga cepat-cepat melangsungkan pernikahan anak perempuan sebaik sahaja melepasi usia akil baligh.

Kebimbangan itu berasaskan kepada tanggungjawab untuk membesarkan anak yang dilahirkan. Jika tanpa dipagari oleh keabsahan keluarga, anak tersebut akan menderita sepanjang hayat.

Bagaimanapun, perkembangan pemikiran manusia telah menyebabkan peraturan moral sedemikian semakin diketepikan, kerana ada yang menganggap bahawa perkahwinan lebih merupakan kongkongan dan proses pembubarannya mengambil liku dan tempoh yang panjang.

Perkembangan pemikiran secara liberal dan bebas itu telah menyemarakkan suatu pandangan baru, bahawa atas persetujuan bersama, lelaki dan wanita boleh tinggal sebumbung selama mana mereka mampu bertahan tanpa ada apa-apa ikatan perkahwinan.

Pelenturan pandangan moral dan agama itu menyebabkan amalan tinggal serumah atau bersekedudukan menjadi pola budaya masyarakat negara-negara maju. Kini, pola itu turut berkembang dan menjadi tempias masyarakat negara-negara membangun sehingga bersekedudukan itu adalah satu amalan biasa.

Paling menyedihkan ialah apabila bersekedudukan tanpa tanggungjawab itu menjurus pula kepada permasalahan membuang bayi. Kerana tekanan masyarakat di negara-negara membangun masih besar terhadap nilai moral, budaya dan agama, bayi yang dilahirkan oleh pasangan tanpa pernikahan menimbulkan masalah baru. Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia telah menjadi semacam satu kegilaan yang paling kejam.

Kesan perlakuan zina, terutamanya dalam kalangan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana. Apabila didapati dirinya mengandung, dia hanya mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan kandungan tersebut atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor, cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri. Bagi yang merasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, turut menghadapi persoalan dan kebimbangan, setelah kelahirannya di manakah akan disorokkan bayi itu.

Islam melihat bersekedudukan tanpa nikah merupakan budaya yang amat dilarang kerana akan mengakibatkan perlakuan zina. Perlakuan zina bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk, tidak bermoral malah mencabar hakikat keinsanan itu sendiri.

Zina merupakan perbuatan membunuh  dari awal-awal lagi, kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukannya tempatnya yang sebenar dan diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri dari kesan-kesannya dengan membunuh janin sebelum ia membentuk rupa atau selepas ia membentuk rupa sama ada sebelum ia dilahirkan atau selepas ia dilahirkan di dunia.

Andai kata janin itu dibiarkan hidup, maka biasanya ia dibiarkan hidup dalam satu kehidupan yang buruk atau kehidupan yang hina, iaitu satu kehidupan yang disia-siakan dalam masyarakat. Zina itu juga merupakan satu bentuk pembunuhan terhadap masyarakat, di mana berkembangnya kejahatan zina yang menyebabkan kehilangan hubungan keturunan dan percampuran darah keturunan dan seterusnya kehilangan kepercayaan terhadap kehormatan dan anak dan mengakibatkan kehancuran ikatan-ikatan masyarakat dan akhirnya membawa keruntuhan  seluruh masyarakat.

Zina turut dilihat sebagai satu bentuk pembunuhan dan penyebaran benih kemasyarakatan yang tempang,  merendahkan martabat manusia, dan hilangnya rasa bangga terhadap keturunan dan jurai keluarga. Bayangkan, apabila seseorang itu tidak mengetahui asal usul atau jurai keturunan, dalam pergaulan akan menyebabkan jiwanya rasa tersisih dan dilanda gundah.

Allah s.w.t amat tegas mengutuk perbuatan  keji (fahsya) itu,  sama ada dilakukan secara beradab berdasarkan peraturan dan persetujuan bersama ataupun yang bersembunyi kerana takutkan kutukan masyarakat dan dikenakan tindakan undang-undang.

Allah s.w.t menegaskan:

Janganlah kamu menghampiri  kerja fahsya (perbuatan keji) sama ada  yang lahir dan yang tersembunyi.”

(al-An’am: 151)

Zina adalah di antara kerja mungkar yang sangat dikeji dan al-Quran memberi amaran keras agar tidak mendekati perbuatan zina.

Dan janganlah kamu mendekati zina;sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan satu jalan yang buruk.”

(al-Israa: 32)

Keburukannya kerana zina berlaku atas sifat manusia yang tidak dapat mengawal nafsu. Keserakahan nafsu inilah yang menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasa oleh nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah, dan seterusnya berperang. Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku kerana disebabkan oleh perbuatan zina, termasuk berbunuh-bunuhan sesama manusia.

Rahsia mengapa Allah s.w.t menggunakan kalimah ‘janganlah engkau mendekati zina’, bukan ‘janganlah engkau berbuat zina’, telah disampaikan Syeikh As-Sa’di dalam tafsirnya.

Kata beliau: “Larangan untuk sekadar mendekati zina  lebih bermakna mendalam dari melarang perbuatannya. Sebab, ia bererti meliputi larangan terhadap seluruh pendahuluan dan pencetusnya. Orang yang berada di sekitar daerah yang terlarang, dikhuatiri terjebak di dalamnya. Terutama dalam masalah ini (zina), yang didorongnya sangat besar pada sebahagian orang.”

Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh nyawa manusia.”

Bagi membendung perbuatan zina, Islam amat melarang pergaulan bebas bukan muhrim. Pergaulan bebas akan mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana yang mencurigakan, bersembunyi dan ini dimulakan dengan khalwat. Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Seorang wanita amat dan hanya digalakkan agar menghias diri dan bersolek semasa berada dengan suaminya, kerana bakal membangkitkan rasa ghairah dalam keadaan yang halal.

Berhias dan kelihatan anggun menawan dalam kelompok bukan muhrim, akan mejerumuskan wanita dalam pelbagai masalah. Keinginan lelaki kepada wanita seksi, memukau hiasan dirinya akan menjadikan gelora semangat tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda, dan akhirnya tergodam naluri seks pula, yakni zina.

Islam menggalakkan perkahwinan kepada yang mampu, dan berpuasa kepada yang tidak mampu, dan melarang mengadakan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi. Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak-anak yang ramai.

Ia akan menggalakkan supaya diberikan subsidi atau bantuan kepada orang-orang yang ingin berkahwin agar dapat memelihara kesucian diri. Ia menjatuhkan hukuman yang paling berat ke atas pelaku zina, juga ke atas mereka menuduh perempuan-perempuan yang baik tanpa bukti melakukan zina. Islam meletakkan sebuah landasan peraturan kukuh bagi mengubati agar keruntuhan dan kehancuran martabat manusia disebabkan oleh jenayah zina.

Kemudian Allah Ss.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain dari Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar,dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya Dia mendapat (pembalasan) dosanya, (yakni) akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh;maka kejahatan mereka diganti  Allah dengan kebajikan.Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(al-Furqan: 68-70)

Di sini jelaslah bahawa Allah s.w.t mengandingkan perbuatan zina dengan syirik dan membunuh nyawa manusia. Dan menjadikan balasannya ialah kekal dalam siksaan yang berlipat ganda, selama seorang hamba (pelaku) tidak menghapuskan faktor penyebab seksaan tersebut dengan taubat, beriman dan berbuat amal salih.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 6, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: