SI TANGGANG MODEN


Emosi saya tersentuh dengan beberapa kelakuan pedih ibu bapa oleh anak kandungnya sendiri. Sesekali terfikir juga bahawa betapa rapuhnya nilai kemanusiaan dalam peradaban moden ini apabila seorang anak sanggup memukul ayahnya sendiri yang masih belum pulih dari pembedahan koronari kerana enggan memenuhi permintaan mendapatkan wang RM1 juta.

Dalam kejadian pada jam 11.30 malam 17 Januari lalu , seorang bapa yang berusia 50-an telah dipukul dengan besi ketika bersendirian menonton televisyen. Anaknya itu adalah seorang penuntut perubatan di India dan baru beberapa hari pulang bercuti merasa marah kerana bapanya yang baru selesai menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) enggan memberikan wang sebanyak RM1 juta.

Tujuan dilakukan tindakan itu ialah sebagai “senjata bagi menyeksa” agar diserahkan wang yang dipohon. Menurut polis, sudah tiga kali tindakan yang sama telah dilakukan, disebabkan tidak tahan dengan “ancaman” itu, mangsa membuat laporan polis. Kejadian itu berlaku di Ampang, Selangor.

Dalam laporan kedua, seorang bapa mendakwa telah dihalau oleh anak dan menantunya dari terus menetap di Rancangan Perumahan Awam (RPA), Beseri, Perlis. Laporan Harian Metro pada 13 Januari lalu mendedahkan seorang bapa yang baru menjalani pembedahan jantung dibuang anak sendiri bersama bungkusan pakaian di sebuah pondok menunggus bas berhadapan Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Ahmad, Beseri, Perlis.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 8 Januari sejurus Abdul Rahman Talib mendakwa keluar dari Hospital Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, Abdul Rahman telah diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kemudiannya dimasukkan ke Rumah Orang Tua-tuan Batu Bertangkup, Chuping. Manakala anaknya, Suhari Abdul Rahman, 28 dan isteri, Noraiza Ayub, 32 menafikan tindakan tersebut, sebaliknya menuduh “Apa yang bapa cakap semua bohong. Dia tidak pernah menjalani rawatan jantung dan perbuatannya mereka-rekakan cerita berkenaan semata-mata untuk meraih simpati masyarakat.”

Kejadian ketiga melibatkan seorang bapa berumur 70 tahun, Othman Ismail. Selepas kedua-dua kakinya dipotong “bukan kata-kata semangat yang saya terima. Sebaliknya, setiap hari saya dicemuh dan dihina kerana menyusahkan mereka. Isteri dan anak-anak menganggap saya sebagai beban apatah lagi apabila saya kerap minta bantuan mereka untuk bergerak atau menguruskan diri.

Othman merupakan seorang pesara kerajaan. Kaki kanannya telah dipotong pada tahun 2002 manakala kaki kirinya pada tahun 2005 akibat penyakit kencing manis. Menurut warga emas itu lagi, “masa itu layanan terhadap saya bertambah buruk. Makan hati juga dengan sikap mereka tapi saya tahankan sahaja. Takut kalau saya berkeras mereka akan tambah keras dengan saya. Bila ada anak yang boleh terima saya, menantu pula yang masam muka dan kadangkala saya menjadi punca pertengkaran antara mereka. “

Akibat tidak tahan dengan keadaan itu, termasuk ditinggalkan seorang diri di rumah. Othman akhirnya  tinggal di rumah seorang rakan yang prihatin. Setelah setahun, Othman diterima masuk ke Rumah Ehsan kerana katanya “saya memerlukan penjagaan yang lebih sempurna,”

Seorang ibu, Tumi Wongsoruju, 52, yang berasal dari Kuching, Sarawak turut menerima nasib yang malang apabila anak dan menantunya tidak mahu mengakuinya . Oleh kerana terlalu rindukan anak perempuannya yang sudah tiga tahun tidak ketemu, Tumi sanggup berhutang dengan saudara mara untuk membeli tiket penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur. Dengan berbekalkan wang saku sebanyak RM 150, siibu cuba menjejaki anaknya walaupun mempunyai alamat yang tidak lengkap.

Usahanya itu berhasil dan apabila bertemu pada malam Khamis lalu (21 Januari 2010), pengubat rindunya bertukar menjadi pilu. Anak yang dirinduinya itu mengherdik dan “apa yang lebih memilukan hati, anak saya enggan mengaku saya ibu yang mengandungkannya”.

Walau bagaimanapun sebagai seorang ibu yang cekal, Tumi menjelaskan “Mak Cik tak pernah berkecil hati pasal anak perempuan mak cik walaupun dia tidak mengaku saya emaknya. Dalam hati saya, baik atau buruk, dia tetap anak saya”. Tumi tetap bersabar dan sentiasa menunggu kepulangan anaknya yang berumur 33 tahun itu. Beliau pulang ke Kuching pada 23 Januari lalu dengan perasaan hampa, dan tidak tahu bagaimana cara untuk merayu supaya hati seorang anak boleh kembali menerimanya sebagai seorang ibu.

Kisah tersebut seharusnya tidak lagi berlaku dalam masyarakat yang dikatakan semakin tinggi beradaban dan berpendidikan. Namun apa yang lebih menyedikan, kisah penderhakaan kepada orang tua semakin meningkat setiap tahun. Kita mungkin menjadi semakin resah, apabila kes sedemikian berlaku setiap hari.

Berdasarkan perangkaan Polis Di Raja Malaysia, pada tahun 2005 kes yang melibatkan penderhakaan anak ialah 3,093, meningkat kepada 3,264 (2006) dan  3,756 (2007). Pada tahun 2008, kes tersebut telah menurun kepada 3,038 dan 2,930 pada tahun lalu. Jika diambil purata harian, jelas membuktikan kes penderhakaan kepada ibu bapa berada pada tahap 8 hingga 11 orang sehari.

Meskipun nampaknya kecil, tetapi fenomena ini tidak seharusnya berlaku dalam persekitaran masyarakat yang beradapan tinggi. Sebagai sebuah masyarakat yang menyanjungi akal budi, setiap anak mestilah menghormati ibu bapa mereka. Walaupun ibu bapa amat jarang mengharapkan balasan dari anak-anaknya sendiri, sebagai manusia kita perlu melihat bahawa merekalah yang telah menyediakan segala keperluan sejak kita mula lahir dan boleh berdikari. Pengorbanan mereka tidak terkira besarnya.

Mungkin kita masih ingat lagi betapa tidak terhitungnya nilai kasih sayang seorang ayah dan ibu terhadap anaknya. Iklan musim perayaan memberikan kita ruang berfikir, apakah suatu masa nanti kita akan mengalami keadaan yang sama apabila kita mencapai usia seperti mereka. Apakah anak-anak yang kita tatang dan manjakan sejak kecil itu akan memperlakukan perkara yang sama seperti kisah ditanggang moden itu?

Berdasarkan insiden tersebut, kita mungkin boleh menoleh kembali kepada perspektif sejarah yang pernah berlaku dalam Islam. Kita boleh mengambil pedoman daripada secebis kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s, yang berupaya menyampaikan misinya dalam menegakkan budi pekerti luhur dari Islam.

Diceritakan bahawa Nabi Sulaiman ketika berada di awang-awangan, pada suatu ketika menghadapi samudera gelombang yang kuat. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu. Setelah laut menjadi tenang, Nabi Sulaiman memerintahkan jin menyelam hingga ke dasar lautan. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan lalu bertanya. “Kubah apakah gerangan ini?” Kemudian, baginda meminta pertolongan Allah s.w.t untuk membuka kubah tersebut. Setelah kubah itu terbuka, baginda sekali lagi terkejut melihat tiba-tiba seorang muncul dari dalamnya.

Nabi Sulaiman kemudian bertanya: “Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?” Jawab pemuda tersebut dengan tertib dan berbudi bahasa, “Saya adalah manusia,”

Nabi Sulaiman bertanya lagi:  “Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini?” Pemuda itu kemudiannya menceritakan bagaimana dia boleh tinggal dalam kubah yang berada di dasar lautan itu.

Menurut riwayat pemuda tersebut, ibunya sudah uzur dan tidak lagi mampu bergerak. Melihat keadaan tersebut, pemuda itu memapah dan mengendong ibunya ke mana sahaja dia pergi. Sepanjang kehidupannya itu, si ibu sentiasa berdoa dan si anak tidak pernah bercakap kasar kepada ibunya yang uzur itu.

Kerana ingin memenuhi tuntutan hidup, si ibu itu selalu berdoa agar anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Si ibu juga berharap agar Allah SWT menempatkan anaknya di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

Nabi Sulaiman kemudian bertanya kepada pemuda itu: “Bagaimana kamu berbakti kepada mereka?” Pemuda itu menceritakan bahawa kedua-dua ibu bapanya merupakan seorang taat kepada Tuhan dan beliau dijaga dengan baik sejak kecil.

Kata pemuda itu: “Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah Allah. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya.Ibu saya pula lemah dan selalu kesakitan . Matanya buta dan kakinya lumpuh. Sayalah satu-satunya yang menjaga, membersih badannya dan memandikannya”.

Pemuda itu turut menyuapkan makanan dan minuman kepada emaknya sebagaimana ibunya pernah melakukan perkara yang sama ketika dia masih kecil. Dia tidak pernah mengeluh kepenatan dan merasa bosan melayan keperluan ibunya. Sentiasa dilapangkan dada dan memanjatkan doa agar diberikan ketenangan sepanjang menjalani kehidupan tersebut.

Menurut pemuda itu, selepas ibunya meninggal dunia, dia berjalan menyusuri pantai. Suatu hari, semasa dalam langkah menyusuri pantai itu pemuda tersebut ternampak sebuah tempat yang diperbuat daripada permata. Setelah didekatinya, pintu kubah itu pun terbuka, dan masuklah dia ke dalamnya.

Atas kekaguman itu, Nabi Sulaiman cuba mendapatkan lebih lanjut mengenai pemuda tersebut. Tanya Nabi Sulaiman a.s: “Kamu hidup pada zaman mana?”
Pemuda itu menjawab: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.”

Setelah membuat beberapa perkiraan, akhirnya Nabi Sulaiman a.s menjadi takjub. Usia pemuda itu sebenarnya hampir mencapai 1,400 tahun, tetapi sedikit pun tidak menunjukkan tanda-tanda telah dimamah usia.

Nabi Sulaiman a.s bertanya lagi:“Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?”.

Jawab pemuda tersebut: “Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu bahawa Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.”

Naluri ingin tahu menyebabkan Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Tunjukkan pada saya syurga itu.”

Tidak menjangkakan pertanyaan sedemikian, pemuda itu diam seketika. Beberapa saat kemudiannya, pemuda itu menadah tangan memohon doa kepada Allah s.w.t. Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu bertukar menjadi terang, kemilau bercahaya  dan  bersinar-sinar. Terbentang sebuah pemandangan yang terlalu indah: sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pepohon redup merendang, kolam madu dan susu terhias rapi. Nabi Sulaiman a.s dan tenteranya terpaku melihatnya.

Lalu berkata Nabi Sulaiman a.s: “Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan.”

Balas pemuda itu,: “Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,”

Nabi Sulaiman amat mengagumi pemuda itu. Atas kekaguman itu, baginda bertanya lagi:“Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah di dasar lautan itu?”

Diceritakanlah oleh pemuda tersebut. Sebenarnya beliau sendiri tidak tahu di mana kubah itu berada. Katanya:  “Dalam kubah itu sendiri. saya tidak tahu di mana saya berada. Di langit atau di udara. Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu.”

Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?”

Pemuda itu menjawab: “Jika saya lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang saya makan. Jika saya haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu.”

Tanya Nabi Sulaiman lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?”

Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih. Dari situ saya mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan saya mengetahui hari sudah malam.”

Mendengarkan penerangan pemuda itu, Nabi Sulaiman begitu asyik sekali seakan-akan tidak mahu berhenti. Pemuda itu dengan sopan menyapa: “Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan.”

Setelah menamatkan cerita itu, pemuda tersebut berdoa kepada Allah s.w.t. Pintu kubah itu tertutup kembali dan pemuda itu terus berada di dalamnya. menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali.

Sekelumit kisah tersebut adalah gambaran bagiaman  balasan Allah s.w.t terhadap seorang anak yang sanggup berbaki kepada kedua orang tuanya.  Allah s.w.t meletakkan kedudukan yang tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak melakukan kebaikan dan berbakti kepada kedua orang tuanya.

Hakikat ini telah difirmankan oleh Allah s.w.t:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(al-Isra’: 23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik manakala mentaatinya ialah melaksanakan tanggungjawab tanpa banyak soal, dalih dan tidak menyakitkan hati kedua ibu bapa. Menurut cerita setengah orang, setitik air mata ibu gugur ke bumi kerana tingkah laku anaknya yang keterlaluan, akan menjauhkan anak itu dari syurga. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim.”

Apakah si tanggang moden masih tidak mahu mengakui orang tua mereka atau sekadar ingin menyisihkan diri oleh kerana ada trauma yang melingkari kehidupan? Walau apa pun, ibu bapa tetaplah darah daging kita walaupun rupanya buruk, miskin dan sakit. Ingatlah, kita juga akan berada pada situasi tersebut apabila tiba masanya? Apakah kita akan membiarkan diri kita menjadi batu apabila disumpah atas kederhakaan kita kepada mereka?

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 7, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: