“CLIMATE CHANGE” DI MALAYSIA


Dunia sekarang menghadapi perubahan cuaca yang amat mendadak, dan ada di antaranya yang membawakan kemusnahan dan kehancuran seperti gempa bumi, banjir air dan lumpur, tanah runtuh dan sebagainya, yang bukan hanya memusnahkan harta benda dan tanaman, kilang, bangunan dan sebagainya, tetapi memakan korban nyawa manusia yang begitu banyak, mati, cedera, merana, trauma dan berbagai-bagai penderitaan fizikal dan spiritual yang amat dahsyat.

Tetapi alhamdulillah, negara kita tidak mengalami bencana alam yang yang baru sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda yang banyak, tetapi yang kita rasai hanyalah cuaca panas yang berterusan, peningkatan suhu udara yang tinggi, dan ancaman kekuranagn air yang berlaku di sana sini di negeri-negeri dalam Malaysia ini, yang mengakibatkan kebimbangan kepada rakyat umumnya. Bimbang takut dikenakan catuan air, tiada air untuk bercucuk tanam, menyiram bunga, membasuh kereta, memasak di restoran dan sebagainya.

Berita kekeringan takungan air di sesetengah negeri kita amat membimbangkan penduduk, kerana air adalah merupakan satu-satunya nikmat Tuhan yang amat berharga seperti yang diterangkan oleh Allah s.w.t bahawa Allah menjadikan segala-segalanya yang hidup ini adalah daripada air.

Buktinya, beberapa orang manusia yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan yang berlaku akibat gerak gempa di Haiti baru-baru ini telah dapat hidup agak lama, kerana terdapat diantaranya yang terperangkap di dalam tempat yang masih mempunyai air untuk mereka meminumnya.

Bagaimanapun, bencana yang berlaku di Malaysia akhir-akhir ini mungkin merupakan satu bencana yang lebeh hebat lagi daripada bencana alam itu, iaitu bencana yang menimpa minda dan sikap serta tingkah laku manusia rakan-rakan kita yang terlibat di dalam politik sempit dan penuh dengan taksub melulu, iaitu yang berlaku di kalangan segelintir warga negara kita sendiri.

Malapetaka yang berlaku itu ialah  bencana manusia yang ganas, rakus, tidak bersopan, tindakan tidak bertamadun, celupar, kasar perkataan, dan tidak beradab atau beretika seperti yang  diharapkan dalam perjalanan bangsa kita menuju matlamat mewujudkan negara maju dalam ekonomi dan perindustriaan, sains dan teknologi pada tahun 2020, dan menuju matlamat untuk menjadikan bangsa Malaysia sebagai satu bangsa yang bermoral, beretika dan berpegang teguh kepada nilai-nilai moral dan agama.

Orang-orang yang seharusnya merupakan penggubal dasar negara dan pemimpin rakyat di dalam gedung undang-undang seperti Parlimen yang terkenal sebagai Dewan Rakyat, iaitu tempat para wakil rakyat berkumpul, berbincang, berbahas untuk kepentingan rakyat, tiba-tiba bertukar menjadi medan kata mengata, pekik memekik, jerit menjerit dan sebagainya dihadapan mata rakyat, mata orang tua, mata orang asing, mata kanak-kanak, pelajar sekolah, belia dan semua kalangan masyarakat, yang memerhati gelagat mereka yang semakin menjadi-jadi sejak Malaysia menjadi sebenar-benarnya negara “demokratik”, dengan mempunyai ramai ahli pembangkang yang gagah, menjadikan Parlimen yang kononnya benar-benar merupakan Dewan yang benar-benar “mewakili semua golongan rakyat”, yang ahli-ahlinya menjadi pilihan rakyat!

Rupa-rupanya di dalam Parlimen inilah terdapat para perwakilan yang menggunakannya untuk kepentingan bangkangan mereka yang melulu, menjerit-jerit seperti kanak-kanak yang kelaparan atau merajuk, keluar dewan dengan angkuh sekali.

Saya berada di United Kingdom lebeh dari tiga tahun semasa saya menyambung pelajaran di sana, dan setiap kali saya membuka TV menonton perbahasan Parlimen mereka, tidak pernah sekali pun saya melihat sebarang ahli mengganggu ketika seorang MP lain berucap, walau sepedas mana sekali pun, atau sehebat mana sekali pun keritikan yang ditujukan  kepada sesiapa saja dalam Parlimen itu.

Tidak pernah saya lihat ahli-ahli YB itu mengeluarkan kata-kata yang berbentuk ancaman, hasutan, kasar dan tidak bersopan. Tak pernah mereka berebut untuk bercakap sekiranya Yang Dipertua Dewan belum memberi izin. Malah sepanjang yang saya tahu, tidak ada ahli-ahli yang keluar beramai-ramai meninggalkan Dewan sebagai tanda protes, berkelakuan seperti kanak-kanak yang kempunan coklat atau ais krim.

Bagaimanapun, hal ini berlaku dalam Dewan kita, berlaku dengan amat hebat dan memalukan selepas Pilihan Raya yang lalu, selepas kononnya bahawa “rakyat telah mengambil kuasa demokratik” yang sebenarnya dengan memilih wakil yang mereka sukai, yang “dapat memperjuangkan demokrasi, menghapuskan rasuah, mewujudkan masyarakat bermoral, melindungi maruah dan agama” dan berbagai-bagai lagi teori dan slogan  lainnya, yang kelihatan amat menarik dan memberi harapan yang ideal bagi Malaysia yang maju bertamaddun dan sebagainya.

Oleh itu, rakyat rasanya perlu menyedari semula keadaan cuaca dan suasana alam tabie kita sebagai sebuah negara yang amat unik, yang memerlukan bangsa yang juga unik, yang mempunyai jati diri dan identiti sendiri, bukan negara caca murba, ganas, tidak bermoral dan tidak beradab.

Rakyat harus menilai semula untuk kembali kepada sistem moderation yang para wakil rakyatnya tidak melampau batas-batas kesopanan dan akhlak yang baik. Haruslah dipertimbangkan fakta-fakta yang berlaku pada masa-masa yang terakhir ini, apabila banyak wakil rakyat yang mendedahkan kepincangan beberapa orang “rakan kongsi” mereka ketika sama-sama berada dalam satu parti dalam pilihan raya yang lalu, dan memenangi pilihan raya di atas tiket parti tersebut, kemudian setelah mereka terlibat di dalam sistem pemerintahan sebagai pembangkang barulah mereka sedari akan kesilapan mereka, lalu keluar parti menjadi anggota bebas, dan teruslah membuka banyak rahsia yang mereka tahu.

Hal ini seharusnya menjadi pembuka mata yang amat baik bagi rakyat seluruhnya, supaya negara kita tidak akan terperangkap di dalam taktik politik sempit yang berbahaya itu.

Tahun 2020 hanya berada di ambang pintu dan kita akan melihat mataharinya muncul, tetapi apakah wakil-wakil kita masih berada dalam tahun lima puluhan, atau enam puluhan, atau zaman batu dan kayu yang tidak mengenal batas-batas kesusilaan dan ketertiban, nilai-nilai moral kerohanian agama kita.

Climate change seperti yang berlaku di tempat lain, tidak perlu berlaku kepada negara kita, climate change itu biarlah berlaku di tempat lain, dan kita akan sentiasa terlindung daripada malapetakanya.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 11, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: