GERSANGNYA NILAI KEMANUSIAAN MASA KINI


Picture3

Kebelakangan ini kita disajikan dengan pelbagai berita dan realiti sosial yang ‘menyesakkan dada’. Bayi yang baru lahir dibuang dan ditinggalkan mati sehingga dihurungi semut, kanak-kanak berumur tiga tahun mati diseksa dan didera oleh teman lelaki ibu kanak-kanak sendiri, ‘nikah koboi’ di institusi pengajian tinggi, remaja hamil luar nikah, dan semakin ramai orang Islam meminum arak merupakan antara realiti kehidupan masa kini yang semakin membimbangkan.  Kes-kes tersebut memberikan kita satu gambaran jelas bahawa maruah dan moral umat Islam semakin rendah.

Melihat kepada fenomena tersebut, kita kadangkala berfikir kenapakah manusia sanggup melakukan hal-hal tersebut, sedangkan agama dengan jelas melarang. Apakah hati manusia sudah lama beku dan dibelenggu oleh keseronokan sementara? Kerana kebekuan hati, hanya peka kepada keinginan naluri keseronokan, apakah manusia sudah lupa dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyal hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat.”

(al-A’raf: 179)

Melihat kepada apa yang berlaku, kita mungkin mengambil keputusan secara cepat bahawa pelaku (mereka yang terlibat) seolah-olah sudah buta hati dan perasaan. Akibat terlalu menurut kata hati, di pertengahan jalan menjeruk rasa kerana terlanjur, dan akhirnya menanggung ketakutan yang mendalam. Setelah tidak dapat lagi menutup ruang kesilapan, maka anak yang dikandung turut menjadi mangsa, sama ada digugurkan pada peringkat awal ataupun menantikan kelahirannya.

Seandainya mengambil keputusan melahirkan bayi yang dikandung, ke mana “buah hati” itu akan dibesarkan. Apabila bayi itu dilahirkan, siapakah pula yang akan menjaga dan membesarkannya, sedangkan ibu yang melahirkan harus pula berusaha untuk menutup aib yang telah dilakukan. Ibu bapa tidak sanggup menerima “kelahiran” tersebut, kerana takut turut diaibkan. Alangkah bernasib baik jika ada orang atau rumah-rumah kebajikan yang sanggup menyelamatkan keadaan, itu pun jika si ibu tersebut mengambil keputusan mencari perlindungan sementara.

Aib yang berlaku bukan lagi merupakan aib keluarga, tetapi turut menjadi aib masyarakat dan umat Islam sendiri. Fenomena ini bukanlah boleh dibendung oleh sekumpulan orang, malah melibatkan semua anggota masyarakat. Dan, kerana itu, setiap ahli masyarakat perlu menjiwai kembali semangat Islam dalam pembentukan masyarakat harmoni dan bermaruah.

Kita sebenarnya semakin melupakan Allah s.w.t, maka itulah kita menjadi takut untuk bertindak menghapuskan sebarang kebejatan. Malah kita hanya asyik menyalahkan badan-badan kerajaan dan pihak-pihak tertentu, sedangkan kita sendiri turut membentuk iklim yang subur. Kita tidak sanggup  menghindarkan petanda maksiat, malah adakala hati kita menjadi gelap kerana memikirkan keuntungan tertentu. Tangan kita sebenarnya semakin kotor dan  berlumuran dosa. Kita kadangkala hanya pandai mengingatkan, tetapi tidak pernah memikirkan apakah di sebalik semua masalah itu, berapa besarkah saham yang kita carumkan?

Kita menjadi rakus dan leka dengan keseronokan palsu. Kita terhakis oleh faktor ekonomi, yang memerlukan kita mencari kesenangan semasa hidup. Kita memikirkan dengan kesenangan itulah sebenarnya kita juga terpaksa membayar dengan harga mahal kepada moral dan maruah.

Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya. Malangnya hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini kerana mereka juga ditutupi oleh nafsu amarah (jahat). Justeru Allah s.w.t berfiman yang bermaksud:

“(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan hatinya keras membantu, dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.”

Golongan yang ‘buta’ daripada memiliki perikemanusiaan adalah manusia yang ‘menghambakan diri’ kepada sikap sombong (takbur) dalam dirinya. Menurut Imam Ali a.s, Iblis pada mulanya adalah makhluk yang sangat taat beribadah. Enam ribu tahun menyembah Allah dengan penuh kesungguhan. Tetapi kerana takbur kepada Allah s.w.t. satu saat sahaja ia dilaknati Allah s.w.t  selama-lamanya kerana ia ingin menyaingi kebesaran dan keagungan Tuhan.

Dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 178 menjelaskan tentang adanya kewajipan melaksanakan hukum qishah, iaitu orang yang membunuh hukumannya ialah dibalas dengan hukuman bunuh. Manakala orang yang memukul harus dipukul dan begitulah seterusnya. Ia bertujuan membolehkan si pembunuh merasakan bagaimana siksanya dibunuh. Mereka yang memukul merasakan betapa sakitnya kena pukul.  Dengan demikian mereka tidak lagi sewenang-wenangnya melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Mereka yang tidak berperikemanusiaan ini adalah manusia yang kasar jiwanya dan tidak mendapat bimbingan agama. Mereka hidup di dalam persekitaran orang-orang yang kasar jiwanya. Pengaruh ini cenderung untuk mereka melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan.

“Sesungguhnya sejahat-jahat manusia kedudukannya disisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang dijauhi orang lain kerana takut akan kejahatan itu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka kurang memiliki sifat perikemanusiaan kerana tidak pernah menyedari bahawa menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, membela kebenaran, mengambil berat terhadap orang lain merupakan suatu kewajipan dan tuntutan kemanusiaan yang harus ditegakkan. Allah s.w.t  menganugerahkan akal kepada manusia bagi tujuan memelihara kemanusiaannya.

Dengan akal, manusia tidak akan secara membuta tuli mengikut hawa nafsu. Bahkan dengan akalnya ia dapat mengendalikan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang di luar batasan perikemanusiaan. Hanya manusia yang tidak berasa malu sahaja akan melakukan apapun kehendak hatinya. Ini ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:

”Sekiranya kamu tidak ada sifat malu maka lakukanlah apa sahaja sekehendakmu.”

(Riwayat Bukhari)

Akal dan malu adalah dua contoh benteng tindakan manusia, sebelum melakukan sesuatu perlu berfikir berkali-kali. Rasa malu menjadi pelindung, kerana malu itulah sebenarnya menyelamatkan diri, komuniti dan masyarakat daripada kancah kehancuran.

Demikian dengan kisah penderaan kejam keatas Syafiah Humairah Sahari. Ia jelas menggambarkan betapa kejamnya manusia yang diselubungi sifat-sifat kebinatangan yang semestinya kita bendung, kerana ia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaannya.

Hanyalah agama yang mampu memberi ketenangan pada jiwa manusia. Agama  mampu mengatasi kerosakan moral dan memugar sebuah kehidupan harmoni secara universal dan mengatasi persoalan manusia.

Bagaimanapun, untuk mengajak orang kembali kepada pegangan agama, bukanlah satu perkara mudah setelah sekian lama tersasar dan mengamalkannya. Tetapi, itulah cabaran yang perlu dilaksanakan oleh anggota masyarakat yang prihatin dan bukan hanya sekadar melahirkan rasa simpati, geram atau marah.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 11, 2010.

Satu Respons to “GERSANGNYA NILAI KEMANUSIAAN MASA KINI”

  1. dunia semakin tua….khdpan manusia sama spt binatang1..kejam!..zalim!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: