MUSYAWARAH MEMILIH CALON PEMIMPIN


Konsep demokrasi meletakkan asas yang kuat kepada keputusan majoriti.  Dalam setiap usaha mencapai keputusan, terutamanya apabila terdapat dua atau lebih pilihan, ia mestilah dibuat secara lebih telus dan dapat diterima oleh sebahagian besar ahli. Bagi menggambarkan suasana ini, kita mungkin boleh mengambil contoh apa yang bakal berlaku di Hulu Selangor dalam tempoh terdekat.

Bagi mewakili Barisan Nasional (BN), pada mulanya parti yang bergerak atas landasan pengundi India mahukan calon daripada kumpulan mereka, memandangkan kawasan tersebut dianggap sebagai tradisi. Logik UMNO juga ada kebenarannya kerana kawasan tersebut merupakan kawasan pengundi Melayu, maka terdengar pula cadangan agar kawasan tersebut dikembalikan kepada calon yang mewakili parti tersebut.

Pertikaian itu akhirnya boleh dilihat bakal menjejaskan peluang BN, maka sebagai Pengerusi BN, Dato’ Sri Najib membayangkan keputusan calon akan dilakukan dalam masa terdekat dan setiap parti komponen haruslah menerima keputusan yang bakal diambil nanti.

Presiden MIC, Datuk Samy Vellu akhirnya membuat pengakuan akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh BN. Bagi BN, perkara yang lebih penting ialah kemenangan calon BN dan bukannya kemenangan bagi calon parti tertentu. Inilah gambaran prinsip musyawarah, kerana ia merupakan kesepakatan menyokong sesuatu keputusan yang telah dibuat. Setiap orang berhak mengeluarkan pendapat dan pandangan sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, apabila ia sudah menjadi keputusan, pematuhannya adalah menjadi satu tanggungjawab.

Menerusi al-Quran, secara jelas umat Islam diperintahkan untuk bermusyawarah dalam mencari jalan atau memecahkan persoalan yang berlaku di kalangan mereka.  Ketika umat Islam mengatakan bahawa mereka memiliki demokrasi, maka yang dimaksudkan adalah idea tentang musyawarah ini. Bukankah al-Quran memerintahkan agar persoalan umat dibicarakan dan diselesaikan secara bersama? Dan bukankah Rasullullah s.a.w telah memberi kebebasan kepada umat Islam agar mengatur sendiri urusan dunianya.

Ini ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Kamu lebih mengetahui persoalan dunia kamu.”

Begitu juga sikap Abu Bakar mengajak bermusyawarah dengan pemimpin-pemimpin / sahabat ketika mencalonkan Umar menjadi ketua negara. Setelah diketahui bahawa mereka menyetujuinya, maka ditetapkan calonnya, sehingga tidak ada jalan bagi perpecahan dan perselisihan umat.

Tegasnya, dalam memilih pemimpin, menghormati ‘keputusan bersama’ adalah elemen yang paling penting demi kesatuan ummah. Jika sesama pemimpin sendiri saling ‘bertentangan’, apa yang dapat kita harapkan daripada masyarakat. Bersatu?

Terdapat satu ungkapan dalam kesusasteraan sufi yang bermaksud:

“Takkan kecewa orang yang memohon petunjuk (kepada Allah) tentang pilihan yang terbaik dan tidak juga akan menyesal seseorang yang melakukan musyawarah.”

Musyawarah ini sendiri berfungsi untuk menghimpun pendapat yang lebih baik dan benar dari pelbagai lapisan masyarakat dan mempersatukan serta mencari jalan keluar masalah bersama secara muafakat, yang dalam bahasa al-Quran disebut (yang bermaksud):

“… segala urusan mereka di musyawarah bersama mereka…”

(al-Syura: 38)

Tertib memilih pemimpin secara musyawarah akan menemui jalan keluar yang diharapkan dan akan mengukuhkan kekuatan serta menghindarkan daripada berlakunya perselisihan pendapat. Perselisihan sesungguhnya akan melemahkan umat Islam sendiri dan ada kemungkinan kelemahan itu dimanfaatkan oleh pihak lain.

Kebaikan serta keutuhan sesebuah negara serta pemerintahannya tidak sekadar dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin tertinggi saja, tetapi harus sama-sama dipikul oleh semua pihak. Keberhasilan serta kejayaan umat itu merupakan hasil daripada perpaduan dan kekuatan; yang memimpin dan yang dipimpin.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan menyesal mereka yang telah melakukan musyawarah.”

Bagaimanapun, terdapat sesetengah ketua atau pemimpin yang bertindak mengikut kemahuannya sendiri yang tidak selaras dengan keputusan mesyuarat telah diputuskan. Apabila keadaan ini berlaku dalam satu-satu organisasi, maka tunggulah kehancuran dan kegagalannya.

Bagi menjamin keberkesanan musyawarah itu sendiri,semua pihak dikehendaki bersikap ikhlas dan jujur untuk mencapai satu-satu matlamat yang diharapkan. Jangan ada mereka yang mengutamakan kepentingan sendiri atau peribadi, kumpulan dan sebagainya. Semangat anggota tersebut, hendaklah sentiasa kental dan jitu, tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh menggagalkan matlamat suci tersebut.

Oleh hal yang demikian itu, dalam musyawarah harus ada keikhlasan mendengar pandangan orang lain selain pandangan sendiri.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 24, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: