DUNIA SEMAKIN UZUR


Hari ini kita sering dipersaksikan dengan pelbagai berita arus perdana yang menerjah kehidupan. Ini termasuk ketidakseimbangan ekosistem dunia yang telah meranapkan erti perikemanusiaan sama ada kepada manusia sendiri, haiwan, dan alam sekitar.

Setelah bertahun-tahun abad lamanya manusia menghadapi pelbagai kerencaman dunia, mengalami krisis yang asasi, iaitu krisis ekonomi global, politik global, dan ekologi global. Kini apa yang mendebarkan seluruh dunia adalah dengan ramalan kehadiran El Nino yang masih menjadi fenomena kepada kita semua. Persoalannya, adakah kita bersedia menerima ledakan pemanasan global atau ‘global warming’ sekiranya fenomena ini benar-benar terjadi kelak?

Pemanasan global yang dikaitkan dengan fenomena El Nino telah menjadi kajian para saintis dunia. Malah pada awal Februari yang lalu, sekumpulan saintis ternama yang menganggotai Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membentangkan laporan mengenai pemanasan suhu bumi.

Laporan yang disifatkan sebagai ‘menusuk tulang dan menggerunkan’ itu amat berkait rapat mengenai kesan perubahan iklim termasuk menjelaskan fenomena kekeringan ketulan ais di Greenland, kehilangan glasier di Antartika, pengasidan laut menerusi sebatian karbon dan pengurangan kepelbagaian spesis biologi.

Kajian itu disiarkan seminggu selepas satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempersalahkan kegiatan manusia ke atas pemanasan global dan meramalkan peningkatan dalam kejadian taufan, kemarau dan bencana alam yang lain menjelang akhir abad ini. Ia juga meramalkan bahawa perubahan iklim akan menyebabkan bencana lebih dahsyat yang pernah dialami sebelum ini dengan lebih kerap lagi. Ini turut diakui Meteorologi Britain (UKMO) yang menyatakan bahawa purata suhu permukaan lautan ekoran El-Nino pada tahun ini akan menyamai atau melebihi rekod tahun 1997-1998.

Tuntasnya, setiap tiga atau tujuh tahun, suatu arus laut yang panas akan menggantikan suatu arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai Peru, Amerika Selatan. Fenomena lautan yang diperhatikan ini dipanggil El Nino. Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika. Corak tekanan permukaan yang berselang-seli di kawasan tropika Lautan Pasifik, yang mana keadaan lautan bertukar dari El Nino ke normal dipanggil Ayunan Selatan (SO).

Hubungan di antara atmosfera dan lautan semasa kejadian El-Nino ini dikenali sebagai El Nino-Ayunan Selatan (El-Nino Southern Oscillation, ENSO).

Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan keadaan kejadian luar biasa cuaca yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan.

Biasanya, semasa ketiadaan El Nino, tekanan permukaan di Pasifik barat biasanya rendah, manakala di tengah dan timur Pasifik adalah tinggi. Di bawah keadaan ini, pada amnya Pasifik barat adalah lembap sementara Pasifik tengah dan timur adalah kering.

Secara lazimnya, El Nino berlaku untuk tempoh 9 hingga ke 18 bulan. Ia mula terbentuk pada awal tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah pada awal tahun yang berikutnya. El Nino yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.

Semasa El Nino, perairan yang lebih panas di Pasifik tengah dan timur membekalkan haba dan lembapan tambahan kepada atmosfera yang berada di atasnya. Ini mendorong pergerakan menaik yang kuat dan dengan demikian merendahkan tekanan permukaan di dalam kawasan pergerakan menaik itu. Udara lembap yang naik itu terpeluwap lalu membentuk kawasan ribut petir yang luas dan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Di kawasan tropika pula, aktiviti-aktiviti ribut petir berpindah dari Pasifik barat ke kawasan Pasifik tengah dan timur, menghasilkan keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia Utara semasa El Nino berlaku. Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di Afrika Tenggara, India, dan Brazil Utara.

Pada masa-masa tertentu, walaupun tidak selalu, suhu permukaan laut di Pasifik tengah dan timur menjadi lebih rendah dari biasa. Fenomena ini di panggil La Nina di mana ianya berkeadaan bertentangan dengan El Nino. Dalam keadaan ini, tekanan atmosfera permukaan di kawasan khatulistiwa Pasifik barat menurun, menyebabkan pembentukkan awan yang lebih dan hujan lebat.

Sejak 50 tahun kebelakangan ini, El Nino telah berlaku sebanyak 12 kali. Dua kejadian El Nino yang terkuat pada abad yang lalu berlaku pada 1982-83 dan 1997-98. Selain faktor pengeluaran gas rumah hijau, ketidaktentuan cuaca kini, antara lain, menyebabkan pelbagai risiko menerusi perubahan corak taburan hujan, aliran arah angin, gelora ombak laut, kemarau panjang dan banjir besar.

Pelbagai bencana alam yang berlaku kebelakangan ini memperlihatkan bahawa negara kita tidak lagi berkecuali daripada menerima bencana. Walaupun banyak inisiatif dilaksanakan, sebaliknya tidak begitu berkesan lagi disebabkan faktor ketidaktentuan perubahan cuaca.

Sedar atau tidak keluasan Malaysia semakin mengecil setiap tahun. Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa di 33 lokasi, sehingga 40 meter pantai terhakis setahun sejak kebelakangan ini. Malah, kenyataan Ketua Pengarah JPS yang dilaporkan dalam New Straits Times pada 25 September 2006 turut mengejutkan, iaitu sepanjang 1414km di 223 lokasi mengalami hakisan pantai. Pada 1986 hanya 74 lokasi dikategorikan kritikal, tetapi selepas 20 tahun jumlah itu meningkat kepada 93. Apakah yang akan terjadi seterusnya?

Sememangnya manusia lupa dan perlu diperingatkan selalu bahawa Allah s.w.t menjadikan alam ini sebagai kemudahan dan keperluan bagi kehidupan hamba-Nya. Segala kemudahan dan ciptaan Allah s.w.t sama ada di langit mahupun di bumi merupakan nikmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Dan dalam masa yang sama manusia diamanahkan menjadi khalifah untuk memikul tanggungjawab mengurus dan mengatur alam ini dengan baik.

Dengan ertikata yang kukuh, iaitu kita tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran dan Sunnah, terutama apabila Allah memerintah agar kita sentiasa menjaga dan memanfaatkannya tanpa melakukan sebarang kerosakan.

Bencana alam tetap akan berlaku disebabkan sikap dan perbuatan manusia itu sendiri. Al-Quran telah menerangkan kepada kita bahawa kemusnahan dan kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia sebagaimana dalam firman-Nya dalam surah ar-Ruum, ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab-sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Sesungguhnya manusia yang tidak menghargai penciptaan Tuhan adalah manusia yang tidak tahu menghargai dirinya sendiri apatah lagi keadaan sekelilingnya. Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah sebuah kapal yang belayar. Jika tidak terkena pada jelaganya, sudah pasti akan terkena asapnya.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 25, 2010.

Satu Respons to “DUNIA SEMAKIN UZUR”

  1. thats give information 4 me…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: