FID-DUNIYA HASANAH, FIL-AKHIRATI HASANAH


Sejak zaman berzaman, sebuah komuniti yang bernama keluarga telah berkembang melalui pelbagai cara dan jalan, di mana sebahagian besarnya terpaksa melalui dan mengalami pergulatan, kemelut dan perjuangan yang sangat gesit, malahan sangat mencekik, sama ada dengan natijah yang positif, yakni muncul sebagai sebuah keluarga yang berjaya; atau berakhir dengan sangat negatif: tercerai berai dan hancur lebur, malahan berantakan segalanya!

Dalam waktu yang sama, tidak sedikit proses pembinaan sesebuah keluarga itu berjalan seada-adanya, tanpa banyak masalah, lurus dan “linang”, seolah-olah dari generasi ke generasi hanya mengulang-ulang meniti landasan yang sama, malahan landasan itu langsung tidak diperbaharui dan tidak pernah dipoles dengan bedak-bedak hiasan. Tiada mendatangkan masalah kepada persekitaran, tetapi juga tiada memberikan manfaat kepada khalayak. Jumud dan manualitif sekali.

Bagaimanapun, dua natijah di atas sama sekali tak terlepas dari solusi kehidupan manusia. Kendati hampir setiap ahli di dalam sesebuah keluarga selalu berharap kepada yang positif, tetapi tidak jarang pula antara anggota keluarga tertentu yang langsung tidak mengambil peduli akan destinasi atau matlamat keluarganya. Jika pun mereka tidak berbuat apa-apa dan tidak memberikan apa-apa saham kepada pembi-naan keluarganya, itu masih boleh dianggap biasa. Sekurang-kurangnya mereka hanya jadi tukang makan dan tukang tidur, dan dalam masa yang sama mereka tidak menginjak-pijak keluarga mereka sendiri. Antara mereka mungkin dapat hidup senang lenang kerana mewarisi dana lumayan dari bebuyut mereka.

Sebaliknya, yang benar-benar menjadi masalah ialah apabila ada antara ahli keluarga yang bukan sahaja tidak pernah terlintas untuk membangunkan imej keluar-ga, malahan pada masa yang sama tidak henti-henti mendatangkan mudarat dan mala-petaka kepada keluarga. Sekadar duduk goyang kaki kilas siku, tiba masa makan, makan lebih dulu dan lebih banyak dari orang lain, siang hari asyik membuta tapi malam entah merayap ke mana, pulangnya ketika ayam sudah berkokok, sebulan sekali minta diberikan wang untuk membeli pakaian, untuk piknik, untuk tukar hand-phone (padahal bil telefon rumah saja sudah melambung ratusan ringgit kerana sekali bergayut di telefon, dua tiga jam itu masih dianggap “sebentar”), itu pun masih dianggap ‘okey’ oleh sesetengah ketua keluarga. Tidurlah sesuka hati kamu, seminggu tak bangun pun tak apa, asalkan jangan buat hal di rumah dan di luar. Itulah harapan ayah atau ibu. Harapan datuk atau nenek.

Yang menjadi kudisnya ialah, bukan sahaja tak pernah terlintas untuk turut berbakti kepada keluarga, sebaliknya dengan sengaja keluarga diseret ke lembah sengsara, gara-gara pelbagai macam perangai dan karenah sebagai “orang yang tak sedar diri”.

Begitulah, setiap punya kesempatan untuk mendengar, setiap berpeluang untuk membaca, di mana-mana sahaja kita akan mendengar dan membaca cerita-cerita yang memperihal kronik yang melanda kehidupan berkeluarga dari kelas manapun jua, sehingga pada akhir-akhirnya terserlah semacam hakikat bahawa tonggak dan pancang-pasak kekeluargaan bangsa (masyarakat) kita ini nampaknya benar-benar telah goyah. Ada-ada sahaja, di manapun jua, sisi-sisi yang menampakkan kecatatan dan ketempangannya, yang dampak terbesarnya bukan sahaja membuatkan individu dan keluarga berkenaan sahaja jadi berantakan, malahan negara dan masyarakat umumnya terpaksa memikul beban buruknya.

Dengan itu, hampir tidak ada seorangpun ahli dari mana-mana keluarga yang boleh berasa dan boleh bersikap tenteram berhadapan dengan konflik ini. Tidak ada yang boleh berkata: “Ah, keluarga saya, sejak datuk nenek lagi, tak pernah ada masalah, tak pernah terlibat dengan perkara-perkara negatif. Kalau keluarga lain jadi punah-ranah, kami tak perlu berasa runsing.” Juga tak ada yang boleh mendakwa: “Saya tak pernah membuatkan keluarga saya menerima nama yang buruk. Saya tak pernah buat perangai jahat. Saya tahu bawa diri. Saya tahu jaga diri. Saya tak kacau orang lain.”

Mungkin sesebuah keluarga itu tak pernah ada masalah. Mungkin individu-individu dalam sesebuah keluarga itu tak pernah “kacau orang” lain. Tetapi apabila setiap orang berasa mereka telah selamat dengan apa yang mereka miliki, umumnya mereka boleh menjadi alpa. Terutama, pada satu saat, mereka menjadi terlalu “pentingkan diri sendiri”. Dan bilamana datang musibat, mereka mula kesasaran. Ketika itulah baru mereka sedar bahawa selama ini mereka terlalu yakin akan keampuhan keluarga mereka, seolah-olah tak mungkin dirembat dan dirembas oleh apa jua malapetaka.

Setenang manapun sesebuah keluarga itu, selinang manapun seseorang ahli keluarga itu hidup dalam keluarganya, dan seutuh manapun komuniti sesebuah keluarga itu dipacak, apabila setiap seorang tidak cuba untuk memberikan nilai-tambah dari semasa ke semasa, tidak cuba melipatgandakan daya-guna tenaga setiap ahli, keadaan akan menjadi pasif. Mungkin “pasif” seperti itu jauh lebih baik daripada (atau jika dibandingkan dengan) keluarga lain yang berantakan, tetapi ke arah merangkul sebuah masadepan yang betul-betul gemilang, sesebuah keluarga harus senantiasa berwawasan maju untuk dua puluh atau lima puluh tahun akan datang.

Dengan itu, bermula dengan ahli yang paling dewasa (mungkin datuk dan nenek; malahan moyang, jika masih hidup) hinggalah ke yang paling cilik (mungkin cucu-cicit, mungkin juga piut, jika kebetulan masih sempat bersama), komuniti sesebuah keluarga itu mesti saling bergantungan, saling bantu membantu, saling tampung menampung dan tampu menampu, saling memberi dorongan, saling memberi rangsangan, saling memberi dan menerima motivasi, saling memberi nasihat, dan terpenting adalah saling “ingat-mengingat”kan terhadap perlunya hidup beradab sopan, hidup yang jernih-jilah, hidup yang jujur dan ikhlas, khususnya hidup yang tertakluk kepada undang-undang: undang-undang negara dan tentu saja undang-undang (hukum-hakam) agama. Pokoknya kita ini ‘kan orang beragama?

Yang sering dipertanyakan orang ialah: apakah gejalanya yang sering menjadi punca kepada keberantakan dan kebobrokan sesebuah keluarga itu? Apakah kerana kemiskinan? Ataukah kerana terlalu mewah? Atau kerana pengaruh hiburan? Atau kerana pengaruh lingkungan? Atau kerana dadah dan alkohol? Sebenarnya punca dan sebabnya boleh datang dari apa sahaja, tetapi punca dan sebab itu boleh juga tidak datang dari apa sahaja tersebut; kerana punca yang sesungguhnya kepada kehancur-leburan sesebuah keluarga (atau kemusnahan ahli-ahli tertentu di dalam keluarga) ialah ketika keluarga berkenaan (baik dengan seluruh ahlinya, mahupun sekadar satu dua anggotanya) telah melupakan Tuhan! Kita ulang dengan taukid (kuat dan lantang): telah melupakan Tuhan!

Ingat, soalnya bukan “telah tidak percayakan Tuhan”, tetapi “telah melupakan Tuhan”, atau barangkali “telah melupakan Tuhan sama sekali”.

Dalam keluarga manapun, yang menganut agama apapun, apabila memang mereka beragama, “tidak pernah timbul” soal tidak percayakan Tuhan. Bahkan di kalangan mereka yang mengaku “saya tidak percaya adanya tuhan” sekalipun, sebenarnya jauh di lubuk hati mereka, mereka percaya bahawa “Tuhan itu ada”. Jika tidak, masakan mereka menyebut-nyebut perkataan “Tuhan”? Jadi, sekali lagi, soalnya bukanlah mereka tidak percayakan Tuhan atau tidak percaya adanya Tuhan, sebaliknya mereka sekadar “melupakan Tuhan”, atau barangkali lebih tepat jika dikatakan mereka sekadar “melupakan adanya Tuhan dan adanya Kuasa Tuhan beserta pemantauan-Nya”.

Apatah lagi bagi sebuah keluarga Islam, sebuah keluarga Melayu yang rata-rata menganut Islam, mereka pasti selalu percaya kepada Tuhan, selalu percaya adanya Tuhan. Hanya ketika mereka bertingkah sahaja, baru kelihatan tingkah-tingkah itu selalu saja seolah-olah menafikan adanya Penglihatan Tuhan.

Nah, inilah titik tolaknya.

Apabila seseorang, seorang ahli sebuah keluarga misalnya, mula lupa kepada kehadiran Tuhan dalam segala urusan dan pergerakan, ketika itulah manusia berasa dia boleh berbuat apa sahaja yang dia sukai. Dia akan mengambil pilihan tanpa merujuk kepada keredhaan Tuhan. Dia akan berbuat apa sahaja tanpa menghitung secara hemah apakah perbuatannya itu di jalan Tuhan atau sebaliknya. Malahan, ada waktunya dengan berani dia akan mencabar: jika saya salah dengan perbuatan saya, yang akan dihukum adalah saya. Itu adalah urusan saya dengan Tuhan. Apa perlunya orang lain sibuk-sibuk?

Tidak syak lagi, dengan prinsip hidup bebas lepas semacam inilah, timbulnya kes-kes menjolok mata menikam hati masyarakat. Misalnya, apabila seorang perempuan muda alias perawan dilihat berpakaian serba-singkat serba-ringkas, kemudian berani pula pamer diri di hadapan kamera, dan fotonya lalu dimuatkan dalam pelbagai media cetak, lantas penampilannya itu menimbulkan kontroversi, dia dengan lantang membuat kritikan balas: “Ayah dan mak saya tak marah pun saya pakai macam ni… Kenapa orang lain pula sibuk-sibuk?”

Dengan kes-kes seupama inilah yang kita maksudkan tadi: bukan ahli keluarga kita, atau kepala keluarga kita, tidak percayakan Tuhan, sebaliknya mereka sekadar lupakan Tuhan. Lupakan di mana letaknya batas sempadan daripada hukum-hukum syariat. Pokoknya mereka Islam. Lalu bagaimana mereka boleh bersuara seperti itu?

Si anak gadis satu hal. Dia mungkin masih muda belia, belum cukup pengetahuan agama, belum kental bajaan adat dan budi-basa budaya bangsa. Tapi si orang tuanya bagaimana?

Di tempat lain, seorang belia mungkin bosan apabila dileteri khalayak, lalu diapun menangkis: “Tak ada siapapun yang tegur saya kalaupun saya pulang lewat malam… Ibu bapa sayapun sekadar bertanya: nak ke mana tu, malam-malam… Balik tu awallah sikit… Saya bangun pagi jam sebelas tak siapa yang marah. Saya minum alkohol pun ibu bapa saya sekadar peringatkan: kalau minum tu, jangan banyak sangat, jangan sampai mabuk pula…”

Ini pun sudah lumrah berlaku dalam keluarga bangsa kita, yang tahu alkohol itu haram dan terlarang. Tapi ibu bapa kita hanya melarang anak-anak supaya jangan minum banyak-banyak, jangan sampai mabuk. Ertinya, minum sikit tak apa. Minum tak sampai mabuk tak apa.

Lalu, bagaimanalah pancang keluarga bangsa kita boleh kukuh dan kuat, kalau sudah begitu sikap ibu bapa kita sendiri? Memang tidak semua ibu bapa kita begitu. Yang sedemikian cuma sekadar lima atau sepuluh peratus saja daripada keseluruhan ibu bapa. Bagaimanapun, lima atau sepuluh peratus itu sudah cukup besar untuk kemudi-annya muncul sebagai wabak, yang memang pada akhirnya mampu menghancurkan nilai-nilai murni seluruh institusi kekeluargaan bangsa kita.

Malahan yang sedikit persen ini jugalah, apabila tiba-tiba terjatuh atau terantuk, menganga luas-luas, menjerit meracau menyalahkan orang lain, sampai-sampai apabila terlibat dalam kes-kes yang melanggar undang-undang, mulalah cari “kabel” minta diselamatkan. Tahu pula malunya. Tak sanggup pula menanggung aib.

Entah gara-gara sudah terlalu mewah, atau akibat lajunya rempuhan budaya hiburan moden lewat media elektronik kita, atau sebagai keberhasilan daripada globalisasi yang merobohkan segala macam benteng dan memendekkan segala macam jarak antara benua, terbokti bahawa muda-mudi kita, malahan ibu bapa mudi-mudi kita sendiri, bagaikan sedang dipukau untuk menerima apa sahaja yang disodorkan. Sementara di satu pihak, begitu sekali gigihnya para pemimpin dan cerdik cendekiawan kita berjuang untuk memupuk nilai-nilai Islami dan nilai-nilai adat timur yang indah seni budi bahasanya, di waktu yang sama, aksi-aksi yang 180 darjah jungkir-balik dari nilai-nilai Islami dipromosikan sedemikian hebat.

Di satu pihak, termasuk Perdana Menteri sendiri, tanpa letih dan lelah menyeru, menyuarakan, bekerja dan berjuang demi mengangkat martabat bangsa dan martabat umat agar menjadi bangsa dan umat yang benar-benar punya harga diri, yang benar-benar tunduk kepada syariat, akan tetapi pada masa yang sama, senantiasa saja ada aktiviti-aktiviti yang begitu bertentangan dengan nilai-nilai Islam, yang begitu jauh dari ciri-ciri Islam, yang sama sekali tak akan ada titik-temunya.

Alangkah ironisnya. Dari satu kutub, termasuk daripada Pejabat Perdana Menteri, seruan-seruan untuk mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan bangsa kita, tak henti-henti ditiupkan; tetapi pada waktu yang sana, terdapat kalangan yang bertaraf pemimpin sendiri, yang sepatutnya patuh kepada gerak-kerja murni pucuk pimpinan negara, tetapi tiba-tiba tanpa segan silu menjadi pendorong kepada budaya jerit-pekik dan hiruk-pikuk dunia hiburan, dunia maksiat, yang pergerakan manusianya langsung tidak mengenal batas sempadan dan norma-norma etika.

Lalu, bagaimana misalnya, cita-cita membina kekeluargaan yang ampuh dapat terlaksana.

Terbukti, seringkali dalam banyak perbuatan kita, kita ini betul-betul lupa sama sekali akan kehadiran Tuhan. Kita boleh saja bercakap atau turut bercakap tentang Tuhan kerana kebetulan orang mempercakapkannya. Kita cuma komited dalam apa saja isu umum semata-mata kerana kita tidak mahu dianggap sebagai “kera sumbang”. Sebaliknya, demi saja berpaling belakang, mulalah kita melupakan semuanya. Tuhan pun kita lupakan!

Padahal, sepanjang bekerja kuat untuk membangunkan keluarga (daripada pembangunan keluarga akan membangun pula komuniti masyarakat, komuniti bangsa, komuniti ummah), kunci kepada keberhasilannya tidak lain tidak bukan kecuali keredaan Tuhan. Lalu, sampai sejauh mana kita ini benar-benar berharap kepada keredaan Tuhan, andaikata perbuatan-perbuatan lahiriah kita selalu saja mengundang kemurkaan Tuhan?

Usahkan apa, untuk berdoa demi kesejahteraan keluarga pun tak pernah kita lakukan, atau amat jarang kita lakukan. Setiap kita sering berharap agar esok kita senantiasa cerah. Sebelum lelapkan mata di malam hari, kita selalu impikan agar tatkala munculnya fajar pagi esok, segala sesuatu mengenai diri kita, diri anak-anak kita, diri setiap anggota famili kita, akan disinari kejayaan. Kalau tunggu periksa, biarlah lulus cemerlang periksanya. Kalau tunggu keputusan temuduga, biarlah berjaya temuduga itu. Kalau tunggu transaksi saham, biarlah harga saham melonjak berkali-ganda. Biarlah dapat beli rumah baru, dapat beli kereta baru, dapat sekali lagi melancung ke luar negara.

Semuanya diharapkan, tetapi berdoanya tidak! Kenapa tidak berdoa? Kerana kita, buat seketika atau buat banyak ketika, lupa sama sekali akan kehadiran Tuhan. Kita terlalu yakin dengan kepintaran anak-anak kita, maka tanpa berdoa, tanpa ihsan Tuhan, anak-anak mesti lulus. Kita terlalu percaya kepada ijazah cemerlang di tangan anak-anak kita, maka tanpa berdoapun, tanpa peranan Tuhan pun, anak-anak kita mesti berjaya dalam temuduga. Kita terlalu konfiden akan pengaruh kita, akan kepakaran kita dalam bisnes, maka cukuplah semua itu untuk membuatkan kita sukses dalam apa jua transaksi. Apa lagi perlunya berdoa? Apa lagi perlu ingatkan Tuhan?

Lalu, di kalangan anggota  keluarga sendiri, anak-anak misalnya, yang tahu ibubapa bekerja siang malam untuk membangunkan keluarga, turut juga mengambil sikap yang sama. Bukan sahaja tidak pernah menunjukkan simpati kepada ibu bapa, malahan langsung tidak cuba untuk menunjukkan simpati kepada perjuangan ibu bapa.

Malahan terdapat para ibu tun yang bekerja siang malam, melupakan kesenangan sendiri, semata-mata kerana mahu memberi kemewahan kepada anak-anak. Namun berapa banyak anak-anak yang mahu berterima kasih kepada ibundanya sendiri? Ibunda lupakan kesempatan untuk jadi jutawan kerana mahu melihat anak senang lenang dalam arus kota raya misalnya, tapi anak-anak bagaikan hendak tak hendak saja menunjukkan simpatinya kepada ibunda.

Apatah lagi untuk mendoakan kesejahhteraan ibunda, padahal sesuatu yang bakal diwarisi daripada ibunda amatlah mahal, padahal ibunda sendiri tak mempergantungkan harapan kepada sesiapa lagi kecuali kepada anak-anak; lalu bagaimana anak-anak boleh bersikap masabodo, langsung tak pernah menunjukkan sikap bertanggungjawab dan sekali gus pertanggungjawaban sebagai pewaris masa depan daripada apa yang ibunda usahakan?

Kenapa?

Antara lain kerana kita telah tidak menghadirkan Tuhan di dalam diri kita, di dalam fikiran kita, di dalam perancangan kita, di dalam kerja-kerja kita, dan di dalam harapan-harapan kita. Kita melupakan Tuhan kerana terlalu percaya hanya kita dan tak lain tak bukan kecuali kitalah yang menentukan nasib kita!

Lalu apabila nasib kita tiba-tiba merudum, apabila nasib keluarga kita tiba-tiba lingkup, apabila prestij keluarga kita tiba-tiba tertiarap, hendak kita apakan lagi?

Untunglah kerana Tuhan itu, Allah s.w.t itu, Maha Pengampun Maha Penyayang, Maha Pengasih Maha Pemberi. Betapapun Dia dilupakan, Dia tidak pernah melupakan makhluk-Nya. Betapun Dia dipinggirkan oleh manusia, namun dengan Ke-Maha-Adilan-Nya, Dia tetap melimpahkan rezeki-Nya buat sesiapa sahaja…yang dikehendaki-Nya!

Begitu manusia jarang menghadirkan Tuhan di dalam urusan pembangunan keluarga-Nya, namun Tuhan senantiasa hadir untuk melimpahi keluarga mana sahaja yang ikhlas dalam mencari kemakmuran dan keberhasilan hidup!

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 25, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: