“SIKAP AMBIL TAHU” DAPAT MEMBANTU ATASI GEJALA SOSIAL


Adalah menjadi suatu kesilapan besar apabila menganggap Islam itu hanya menjurus persoalan ibadat semata-mata. Sedangkan persoalan akhlak merupakan agenda utama agama itu. Lebih-lebih lagi syaitan dan iblis telah bersumpah dan berjanji di hadapan Allah agar hukuman terhadap mereka ditunda sehingga hari kiamat bagi membolehkan mereka untuk menyesatkan umat manusia.  Maka ini menyebabkan akhlak manusia akan teruk diancam oleh godaan dan bisikan was-was dari makhluk Allah yang ingkar itu.  Begitu pun ancaman dari makhluk ini sebenarnya tidaklah sehebat dari nafsu yang ada dalam diri manusia.

Sebenarnya syaitan adalah golongan yang lemah berbanding nafsu yang pengaruhnya terhadap manusia adalah lebih kuat.  Sebabnya, syaitan akan hanya menggoda manusia dari empat penjuru iaitu kiri, kanan, depan dan belakang. Tetapi tidak dari atas dan bawah.  Ini kerana kedudukan Allah yang sangat tinggi karamah dan kemuliaan-Nya dan syaitan pula tidak bersifat tinggi manakala jika individu umat Islam itu bersifat kehambaan, tawaduk, rendah diri syaitan tidak mudah untuk menganggu individu seperti itu.  Kerana itu kita sering menyebutkan mujahadah an-nafs (perangi nafsu) berbanding mujahadah as-syaitan (perangi syaitan).

Macam-macam yang berlaku hari ini dan hampir kesemuanya gejala yang sebelum ini tidak terfikir akan berlaku, terutamanya kes membuang bayi yang malangnya secara majoritinya dilakukan oleh kalangan umat Islam kita sendiri.  Namun zaman untuk kita saling menuding jari mencari kesalahan dan menghukum orang lain sudah berlalu kerana semua itu tidak dapat mengubah apa-apa kerana yang penting sekarang ini adalah apakah sumbangan kita semua bagi membanteras segala macam gejala sosial yang berlaku itu.  Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain terutama dalam sama-sama menangani kerosakan akhlak yang berlaku dalam masyarakatnya sendiri.

Masyarakat memahami sepenuhnya hakikat mengenai maksiat yang jika tidak dibendung akan menjadi satu sifat yang kuat melekat, sukar untuk ditanggal dan lebih teruk lagi, iaitu sifat maksiat itu suka melahirkan maksiat yang lain. Pada mulanya, seseorang akan rasa bersalah apabila melakukan maksiat, rasa berdosa dan rasa hina tetapi apabila tidak diubati dengan taubat nasuha maka jadilah bagai pepatah Melayu ada mengatakan ‘alah bisa tegal biasa’. Tidak menjadi apa malah terus menjadi sebahagian dari sifat hidup seseorang itu, suka buat maksiat.

Maka tidak menghairankan jika dalam kes menggugur dan membuang bayi secara haram terkadang melibatkan perbuatan yang dilakukan berulang kali tanpa mengenal erti serik dan taubat.  Ini berdasarkan tafsiran terhadap ayat dari surah an-Nur ayat 21:  Azzaniyyatu (Penzina perempuan) dan Wazzani (Penzina lelaki) yang dimulakan dengan huruf alif dan lam itu tidak sahaja bermakna perkataan khas tetapi juga bagi menunjukkan perbuatan zina itu telah menjadi sebati dan ‘kebiasaan’ bagi individu lelaki dan perempuan itu.

“Penzina perempuan dan penzina lelaki, sebatlah kedua mereka dengan 100 sebatan, dan janganlah rasa belas kasihan kamu terhadap mereka berdua mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman”. (an-Nur: 2)

Tabiat banyak makan dan tidur adalah antara punca nafsu bermaharajalela dalam diri di samping tidak mempunyai identiti Islam yang sejati dengan membenarkan dirinya dipengaruhi oleh pelbagai budaya yang tidak sihat. Namun keruntuhan institusi rumah tangga turut memberi sumbangan terbesar kepada akhlak yang dikuasai oleh nafsu, iaitu sedari dari pemilihan pasangan hidup itu sendiri.

Kita seharusnya menaruh harapan agar dikembalikan institusi masjid dan surau kepada peranan yang lebih ampuh dan efektif untuk menangani apa juga permasalahan ummah.  Institusi masjid penting dalam masyarakat, rumah-rumah ibadat itu perlukan pengisian silibus yang baru dan lebih relevan dengan kehendak dan keperluan kesemua latar belakang masyarakat Islam. Ini kerana silibus-silibus masjid yang ada hari ini hanya mesra kepada golongan tua, senja dan renta.  Ini menyebabkan yang sering mengunjungi masjid yang kita nampak hanya dua golongan sahaja, iaitu sama ada yang paling tua dan yang paling muda, kanak-kanak.  Mereka yang berada antara golongan tua dan kanak-kanak ini, tidak ada, tidak nampak (mengunjungi masjid).  Kalau ada pun apabila mereka datang ke masjid, kuliah-kuliah pengajian agama yang berlangsung mengenai dari kitab-kitab lama, maka tidak menjadi daya tarikan kepada golongan muda tersebut.

Kawalan perlu terhadap pengaruh-pengaruh media yang turut mencetuskan fenomena kelemahan akal dan lebih memberikan kekuatan kepada nafsu.   Ini termasuk juga kerap ditayangkan mengenai kisah-kisah hantu pada hari ini, tentu sahaja ia tidak memberikan sebarang faedah terutama yang menontonnya kanak-kanak dan fenomena ini wajar mendapat perhatian semua pihak.

Oleh yang sedemikian, adalah diharapkan bahawa seluruh umat Islam harus mengambil sikap ‘menjaga tepi kain’ sebagai antara jalan penyelesaian gejala sosial malah sikap itu sendiri dibenarkan dan digalakkan dalam Islam.   Apa sahaja perlakuan sumbang yang berlaku di hadapan mata, mesti ditegur tanpa kita perlu rasa bimbang atau was-was.  Ramai yang bimbang takut diapa-apakan jika cuba bertindak membetulkan keadaan. Tetapi semua itu tidak akan terjadi selagi kita tidak mencuba dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Saya sendiri pernah menegur seorang pemuda yang meraba-raba paha seorang pelajar perempuan yang masih dalam pakaian seragam sekolah di sebuah medan selera di Putrajaya. Perbuatan yang sangat menjolok mata itu sangat menarik perhatian orang lain sehinggalah saya mengambil tindakkan sendiri menegur pemuda tersebut.  Tentu sahaja pasangan tersebut tidak mempunyai status hubungan suami isteri namun dengan nada menyindir tetapi penuh kebapaan saya meminta supaya pasangan itu segera bernikah.

Kata saya kepada pasangan tersebut: “Kalau sudah menikah, kamu nak buat apa, tak jadi masalah”. Tetapi itu tentunya bukan tujuan saya tetapi dengan pelaku-pelaku maksiat ini kita memerlukan penggunaan bahasa yang berterus terang sahaja dengan mereka, supaya mereka sedar dan akhirnya malu sendiri.

Disini, saya ingin menasihat ibu bapa supaya mengawasi sepenuhnya perlakuan anak-anak mereka sebelum mereka menyesal di kemudian hari.   Bukan sahaja kita mesti tahu ke mana anak-anak itu keluar ke mana pergi tetapi ibu bapa perlu menjejaki anak-anak itu bagi memastikan mereka tidak melencong yang rupa-rupanya membuang masa lepak bercampur lelaki perempuan di kompleks-kompleks beli belah.

Pada pandangan saya, mencegah maksiat tidak seharusnya diletakkan ditangan pihak berkuasa atau pihak-pihak yang tetentu.  Peranan kita sebagai umat Islam harus dilaksanakan bagi membenteras perbuat yang terkutuk ini.  Kita seharusnya berani menjalankan tugas “Amal Makruf dan Nahi Mungkar” kerana Allah SWT.  Sekiranya ramai umat Islam bersikap sedemikian, maka gejala sosial dikalangan remaja dapat dibendung dan diatasi.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 28, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: