MASIH RELEVANKAH “JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG”?


Dua minggun yang lalu, blog ini telah memaparkan tajuk “AMALAN JAGA TEPI KAIN ORANG LAIN” bagi menangan ini isu keruntuhan akhlak umat Islam dewasa ini.  Kali ini saya memabawa tajuk yang berlawan dengan amalan jaga tepi kain orang lain didalam bentuk persoalan sama ada “JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG” masih boleh digunakan untuk perkara yang tertentu.

Dalam masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang menggambarkan kepedulian masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal ehwal orang lain.  Terkenalnya pepatah ini sehingga ianya sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain.  Pepatah yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang’ yang membawa maksud jangan ambil peduli hal orang lain.  Persoalannya ialah adakah pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini?   Dan lebih-lebih lagi kita orang Islam adakah pepatah ini selaras dengan tuntutan agama?  Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri bergantung dari sudut mana kita melihatnya.

Sekiranya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orangini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang maka memang layak pepatah ini diamalkan.  Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain.  Ini mengupat namanya dan diharamkan oleh agama.  Bahkan al Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di dalam surah al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:

“Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain…”

Begitu juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain.  Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam supaya menjauhi sifat ‘tajassus’ atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan keburukan orang yang tersembunyi, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah dan ayat yang sama seperti di atas, yang membawa maksud:

“Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…”

Buruknya amalan mengupat dan sifat ‘tajassus’ ini sehingga Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:

“Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya; Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya”

(Hadith riwayat at Tirmidzi)

Namun apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah ianya masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya terpaksa diubah darijangan jaga tepi kain orang’ kepada ‘tolong jaga tepi kain orang’.  Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti suatu masa dahulu.

Di mana salah satu puncanya ialah runtuhnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi kekeluargaan.  Jiran sudah tidak lagi mengenali jirannya dan saudara-mara pun jarang sekali ingin bersemuka dan bertanya kabar.  Rasa bertanggungjawab terhadap jiran tetangga dan saudara-mara sudah semakin terhakis dalam budaya hidup masa kini. Dan antara penyebab yang membawa kepada tidak lagi berasa bertanggungjawab kepada permasalahan masyarakat dan kejiranan itu ialah menggunakan alasan ‘jangan jaga tepi kain orang’ sebagai jalan mudah untuk menidakkan rasa tanggungjawab. Sedangkan banyak perkara di dalam masyarakat kita hari ini menuntut supaya kita lebih bertanggungjawab, dan banyak hal dapat diselesaikan sekiranya sikap ingin tahu dan ingin bertanggungjawab ini disuburkan, dan secara tidak langsung pepatah ‘jaga tepi kain orang’ perlu diketengahkan semula.

Contoh ketara yang boleh ditonjolkan ialah seperti kes-kes buang bayi, penderaan dan  penculikan terhadap kanak-kanak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.  Dalam kehidupan moden dan di era globalisasi ini kita tidak dapat menafikan adanya manusia yang bertopengkan iblis dan bernafsukan syaitan.  Jika tidak masakan timbul kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak seperti yang dapat kita lihat di dada-dada akhbar saban hari.  Semua yang berlaku ini memberikan kita satu amaran jelas bahawa para ibubapa dan setiap anggota masyarakat perlu lebih peka dan mengambil tahu terhadap persekitaran masyarakat serta keselamatan anak-anak kita dan anak-anak jiran kita.

Rasa tanggungjawab dan kepekaan ini mungkin boleh menyelamatkan masyarakat kita dari terus dicerobos dengan masalah pembuangan bayi, golongan yang gemar mendera anak-anak ataupun golongan ‘pedofilia’ yang sering mengambil kesempatan dari kecuaian dan kelalaian ibubapa.  Dalam kes penculikan anak-anak umpamanya, kita tidak dapat menafikan bahawa mungkin para ibubapa tidak dapat mengawal dan memberikan tumpuan seratus peratus kepada anak-anaknya apatah lagi bagi mereka yang mempunyai ramai anak.  Namun para ibubapa juga perlu memahami bahawa anak-anak kecil bahkan anak-anak yang sudah meningkat remaja tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri, dan inilah peluang yang sering dinantikan oleh golongan ‘pedofilia’ ini.  Sehubungan dengan itu, kita harus renungi lima perkara dibawah ini:

  1. anak-anak kecil mahupun yang sudah meningkat remaja sebenarnya masih tidak berupaya untuk melindungi diri mereka sendiri”.
  2. “ibu bapa tidak boleh mengandaikan kanak-kanak tidak kira berapa peringkat umur mereka berupaya untuk menjaga diri sendiri dan paling penting, tidak dibiarkan berada di luar mahupun di dalam rumah tanpa ada pengawasan orang lebih dewasa”.
  3. “tiada istilah tempat yang benar-benar selamat untuk kanak-kanak”.
  4. “statistik menunjukkan kejadian seperti ini iaitu penculikan termasuk jenayah keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku di mana saja termasuk di rumah yang kononnya dianggap selamat”.
  5. “ibubapa perlu lebih berhati-hati dan tidak memandang remeh isu keselamatan kanak-kanak”.

Mesej diatas jelas daripada senario kehidupan masyarakat kita ini menggambarkan bahawa mahu tidak mahu rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran hidup kini mesti diwujudkan semula.  Dan pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ perlu diubah kepada ‘tolong jaga tepi kain orang’ sekiranya kita inginkan suasana yang lebih aman dan selamat.

Malangnya kita seringkali tidak mahu dilabelkan sebagai penyibuk dan suka sangat nak jaga tepi kain orang.  Tetapi tahukah kita dengan menjadi ‘tukang sibuk’ dan suka jaga tepi kain orang inilah mungkin suatu hari dapat menyelamatkan nyawa insan kecil yang mungkin anak jiran kita atau mungkin juga anak kita sendiri.  Kita tidak dapat menggambarkan betapa wajah-wajah ibubapa yang dirundung malang ini saban hari meratapi kehilangan anak kesayangan mereka, kesakitan demi kesakitan dan penderitaan demi penderitaan.

Bagi menghadapi  gejala yang semakin membarah ini pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu unit baru khas untuk menangani kes-kes seperti ini.  Usaha ini seharusnya dipuji dan disokong oleh semua pihak.  Cuma yang menjadi persoalan kita hari ini ialah bagaimana pula dengan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat.  Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati sahaja atau mungkin ada peranan yang boleh kita mainkan.

Sebagai ahli masyarakat yang prihatin kita boleh menjadi sebagai pemberi maklumat kepada unit khas ini supaya kes-kes yang melibatkan kanak-kanak ini dapat diuruskan dengan lebih cepat dan berkesan.  Untuk mendapatkan maklumat maka kita  perlu kepada ‘tukang sibuk’ dan menjadi orang yang suka menjaga tepi kain orang.  Menjadi ‘tukang sibuk’ dan suka menjaga tepi kain orang ini pula bukanlah bererti mencari maklumat yang bukan-bukan yang tidak ada hubung kait dengan masalah yang dihadapi.  Memadailah dengan maklumat yang sesuai dan cukup untuk disampaikan kepada pihak polis bagi melicinkan urusan siasatan mereka.

Justeru dengan meningkatnya kes-kes pembuangan bayi, dan kemunculan penjenayah-penjenayah yang zalim, kejam dan sadis ini di dalam masyarakat kita, wajar bagi kita untuk kembali mengukuhkan institusi kejiranan dan kekeluargaan kita.  Kerjasama yang mantap sangat perlu di antara kita sebagai ahli masyarakat dengan pihak yang diberi kuasa.  Mungkin kita adalah dari kalangan orang yang prihatin tetapi takut untuk dilabelkan sebagai tukang sibuk dan suka menjaga tepi kain orang.  Namun ini hanyalah andaian kita terhadap orang lain, kerana hakikatnya realiti kehidupan masyarakat kita sendiri sudah sedar betapa ‘menjaga tepi kain orang’ ini yang kena pada tempatnya adalah satu tanggungjawab yang perlu disuburkan semula agar menjadi budaya sihat yang membawa kepada kesejahteraan kita semua.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 2, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: