APAKAH DOSANYA DIPERLAKU SEDEMIKIAN RUPA?


Perihal mengenai  pembunuhan anak yang tidak berdosa, dirangkaikan oleh al-Quran dalam surah Al-Takwir, ayat 1 hingga  8 dengan peritiwa-peristiwa besar yang akan terjadi, seperti kehancuran matahari, bintang-bintang berjatuhan/berguguran, gunung-gunung dihancurkan, lautan dipanaskan, dan dipertemukannya kembali roh dengan badan.

Bersamaan dengan semua itulah al-Quran bertanya,

Kerana dosa apakah dia (anak perempuan) dibunuh(dikuburkan hidup-hidup)?”

(Al-Takwir: 9).

Dan yang pastinya ayat terakhir ini tidak bertanya siapa yang menbunuh kerana pada hakikatnya siapa pun pelakunya pasti ia telah melakukan perkara yang kejam, di luar batas-batas perikemanusiaan dan mendapat kemurkaaan Allah s.w.t.

Ini semua merupakan isyarat akan betapa besarnya kebencian dan kemurkaan Allah, terhadap si pelaku (pembunuh bayi).  Ditanya oleh ayat diatas: “… kerana dosa apakah anak perempuan itu dibunuh?”

Ayat sebegini bukan sahaja mengisyaratkan larangan terhadap pembunuhan, malahan mengajak si pembunuh untuk menyedari betapa buruk, kejam perbuatannya, serta memahami mengapa dia harus menerima hukuman.

Walaupun penguburan anak perempuan hidup-hidup (zaman jahiliah) hanya terbatas pada beberapa kabilah sahaja, namun kecaman al-Quran terhadap perbuatan keji ini tidak terperi lagi sehingga ‘diumpamakan’ dengan kehancuran alam raya.

Demikianlah juga apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari di mana pembunuhan terhadap bayi-bayi adalah sekadar ingin menutup malu akibat perbuatan zina yang mereka lakukan. Mereka malu kepada ahli masyarakat tetapi tidak pada Tuhan. Perbuatan mereka tidak jauh bezanya dengan hubungan yang terjadi di dunia atau alam binatang – melakukan apa sahaja menurut hawa nafsu.

Manusia sebagai makhluk yang terhormat sepatutnya tidak layak untuk menempuh kehidupan seperti haiwan  dalam memenuhi hajat biologinya.  Sesungguhnya Allah s.w.t telah mensyariatkan pernikahan dengan syarat dan rukunnya bagi tujuan menyucikan hubungan antara dua insan yang telah berniat untuk menjalinkan hubungan suami isteri. Inilah perlindungan yang paling efektif, mengelak daripada fenomena  perzinaan yang melanda dari pelbagai sudut kehidupan hari ini.

Seingat kita, pada zaman jahiliah, yang dibunuh atau yang ditanam hidup-hidup adalah anak perempuan, namun kini yang dibunuh adalah anak lelaki dan juga perempuan. Pada zaman itu, anak yang akan dikuburkan hidup-hidup akan dihiasi terlebih dahulu, tetapi sekarang pembunuhan anak dilakukan sewenang-wenangnya, dibuang dan dibakar. Sungguh ironis dan kejam.

Jika zaman jahiliah, mereka membuang bayi-bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka. Bagaimanapun, sebaliknya, apa yang berlaku pada zaman di mana Islam telah bertapak dengan kukuhnya, bayi-bayi perempuan mahupun lelaki  dibuang dan menjadikan bayi sebagai sama taraf dengan sampah.  Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang  jika bayi yang tidak berdosa itu yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu sahaja.

Terdapat tiga alasan yang diisyaratkan al-Quran dan Sunnah bagi pembunuhan bayi pada zaman jahiliah dulu. Pertama,di kalangan ibubapa yang miskin dengan kelahiran anak perempuan menurut mereka tidak dapat menberi apa-apa faedah, malah menyusahkan  dan menurut mereka  anak perempuan tidak produktif.Untuk  alasan ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Kami yang akan memberi rezeki kepadamu (hai para orang tua) dankepada mereka (anak-anakmu).”

(Al-An’am: 151)

Kedua, kebimbangan anak-anak akan terjeremus dalam lembah kemiskinan apabila mereka dewasa kelak. Untuk mereka ini, Allah s.w.t mengingatkan bahawa,

“Kamilah yang akan menberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan juga kepadamu.”

(Al-Isra’: 31)

Perhatikan  bagaimana al-Quran surah al-An’am ayat 151 di atas, mendahulukan janji pemberian rezeki kepada orang tua yang takut terjerumus dalam kemiskinan, baru kemudian menyebut anak, sedangkan pada surah al-Isra’ ayat 31, yang didahulukan adalah anak yang dibimbangi oleh orang tuanya, baru kemudian orang tua yang membimbangkannya.

Ketiga, mereka khuatir akan menanggung aib, akibat ditawan dalam peperangan sehingga diperkosa atau akibat perzinaan. Itu sebabnya, maka,

”Apabila salah seorang di antara mereka diberi khabar tentang kelahiran anak perempuan, hitam(mukanya merah padam) dan dia sangat marah.”

(Al-Nahl: 58)

Berkali-kali al-Quran dan sunnah menperingatkan betapa bernilainya hidup makhluk Allah s.w.t. Jangankan manusia yang telah menginjakkan kaki di persada bumi, janin yang baru berada dalam perut ibu pun – walaupun masih pada proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah s.w.t.

Di dalam Islam, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mendidik anak-anak. Sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mahu memelihara anak-anak sebenarnya melambangkan sikap tidak berperikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertangungjawab untuk memelihara zuriatnya.

Pada masa jahiliah yang lampau, anak dibunuh oleh mereka yang tidak berpengetahuan,d an yang belum  mengenal apa yang dinamakan hak asasi manusia. Tetapi masa jahiliah moden ini, anak dibunuh oleh ibu bapa  yang berpengetahuan.Apapun alasan pelaku pembunuhan bayi dewasa ini sebenarnya lebih buruk, kejam daripada alasan mereka yang terpaksa melakukan pembunuhan bayi pada masa jahiliah.

Sebagai anggota masyarakat dan atas peranan kita sebagai hamba Allah, kita turut bertanggungjawab untuk sama-sama mencari jalan dan kaedah yang berkesan untuk menangani gejala sosial yang serius ini. Ada pihak yang mahu peraturan undang-undang dan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas pelaku. Ada juga pihak mencadangkan agar institusi keluarga diperkukuhkan.

Ini langkah-langkah yang perlu. Namun, faktor agama perlu diutamakan. Ini meliputi aspek pendidikan (baik dalam keluarga, di sekolah atau melalui dakwah) serta kempen besar-besaran melalui saluran sesuai agar masyarakat lebih faham dan sama-sama berperanan menangani gejala ini secara Islamik.

Kita juga perlu menyediakan pintu taubat kepada mereka yang menyesali perbuatan mereka dan ruang yang lebih besar kepada pihak NGO dalam usaha menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa selaras dengan matlamat kempen Masyarakat Penyayang.

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 3, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: