JAHIL DAN TAKSUB PECAHBELAHKAN UMMAH


Kejahilan bukan sahaja akan melahirkan sikap taksub, malah lebih daripada itu ia mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat, dan negara.  Di samping merendahkan martabat insan, kejahilan tidak mengenal nilai-nilai kerjasama, timbang rasa, kecintaan dan keadilan. Kerana sikap jahil dan taksub itulah, maka perpecahan terus berlaku di kalangan kita umat Islam. Ramai yang lupa kerana keghairahan dan ketaksuban yang amat sangat sehingga sanggup menderhaka kepada raja (pemerintah) dan lebih dahsyat lagi sanggup menghasut masyarakat membenci Raja secara terbuka. Perbuatan ini ternyata bertentangan dengan syariat Islam.

Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama  akan bertembung dengan ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan . Agama tidak akan aman sama sekali daripada sikap pelampau dan ketaksuban.  Bahkan setiap umat dalam menegakkan seruan syariat yang benar sentiasa berhadapan dengan golongan ini. Dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama Islam sebenar.

Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama. Demikian juga dalam amalan apa sekalipun, perbuatan golongan ini menggambarkan sikap ekstremis dalam pemahaman terhadap agama.  Secara tidak langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam serta keagungannya. Merek menokok tambah ajaran agama mengikut kefahaman mereka sambil mendakwa masih terdapat kekurangan dalam agama Islam. Seolah-olah Rasulullah s.a.w menyampaikan satu risalah yang tidak sempurna. Kononnya kehadiran golongan yang taksub ini adalah untuk menyempurnakan kekurangan yang ada.

Golongan ini berpendapat bahawa meruntuhkan institusi masyarakat adalah satu jalan taqarrub keoada Allah s.w.t kerana masyarakat tersebut dianggap masyarakat jahiliah yang terpesong dan tidak melaksanakan hukuman yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Demikianlah hakikatnya orang yang jahil perasaannya beku dan lemah otaknya. Justeru itu mudah menjadi taksub dan akibat ketaksuban ini ia tidak lagi boleh berfikir secara normal dan ia akan bertindak mengikut hawa nafsu bukan berlandaskan akal atau ilmu.

Justeru itu kita perlu waspada terhadap golongan ini kerana segala tindak-tanduk mereka ini akan mudah menimbulkan suasana tidak aman seperti ketakutan, kebencian, kesusahan, kesengsaraan dan bermacam-macam situasi yang menuju ke arah kehancuran dan kemusnahan.

Kejahilan dan ketaksuban menjadikan diri mereka tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Hati mereka telah buta daripada keimanan dan ketakwaan. Kata hukama: Buta hati kerana jahil lebih berbahaya daripada buta mata. Bukan sedikit mereka celik mata tetapi buta hati kerana jahil. Golongan ini makin diberi peringatan atau nasihat makin bertambah bebal dan jahil. Lebih berbahaya lagi apabila ditambah pula dengan penyakit kesombongan. Sikap ini dicela oleh Allah di dalam  firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(al-A’raaf: 79)

Kejahilan menjadikannya tidak dapat memanfaatkan mata, telinga dan akal sehingga mereka tidak memperoleh hidayah Allah. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada binatang, sebab binatang tidak mempunyai daya fikir untuk mengolak hasil penglihatan dan pendengaran mereka. Inilah ciri-ciri orang yang sesat, iaitu yang tidak mempergunakan daya fikirannya, perasaannya dan kemahuannya serta indera sesuai dengan fitrahnya.

Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata:

“Tiada musuh yang lebih kutakuti daripada kejahilan. Setiap manusia menjadi musuh selama ia jahil.”

Jelas bahawa kejahilan adalah pokok segala kecelakaan dan punca segala bahaya. Orang yang jahil tergolong dalam maksud hadis Nabi yang bermaksud:

“Dunia itu terlaknat, segala isinya terlaknat, kecuali zikrullah (berzikir kepada Allah), sesesorang yang berilmu dan seorang yang mencari ilmu.”

Seorang yang jahil itu tidak akan terkeluar dari kegelapan kejahilan melainkan dengan nur dan cahaya ilmu pengetahuan.Ia merangkumi ilmu-ilmu untuk keperluan dan kesempurnaan tanggungjawab diri terhadap Allah, ilmuuntuk mempertingkatkan kualiti hidup diri, keluarga, dan masyarakat.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 5, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: