BERKATA DUSTA ANTARA TANDA SIFAT INDIVIDU MUNAFIT


Antara perbuatan sangat ditegah Islam ialah berdusta. Jika minum minuman keras dikatakan induk segala keji maka berdusta pula faktor utama kerosakan akhlak dan kesesatan. Dusta atau bohong juga dikategorikan Rasulullah sebagai tanda orang munafik.

Ini jelas seperti sabda Baginda:

“Tanda kemunafikan ada tiga, iaitu jika berkata berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika dipercayai berkhianat.”

(Hadis riwayat Muttafaqalaih)

Sebenarnya, seseorang yang suka berbohong memiliki peribadi buruk yang tidak melambang seorang mukmin sejati. Allah berfirman bermaksud:

“Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.”

(Surah An-Nahl: 105)

Inilah peringatan Allah untuk kita mengenai kedudukan orang yang berdusta.   Hindari perbuatan berbohong itu malah jika kita tinjau dalam masyarakat Melayu ada pepatah berbunyi:

Siakap senohong, gelama, ikan duri, cakap bohong, lama-lama mencuri.”

Begitulah pekanya masyarakat kita dalam soal mendidik anak bagi mengelakkan perbuatan berbohong itu. Umar al-Khattab ada berkata:

“Kejujuran yang membuatku dihina itu lebih aku cintai daripada kebohongan yang membuatku dihormati. Namun, sedikit sekali yang melakukannya.”

Orang yang selalu berdusta dalam percakapan seharian itu melambang manifestasi iman yang goyah. Apa tidaknya, orang yang senang berdusta akan menganggap dosa itu remeh malah boleh dianggap sebagai insan yang tidak takut azab sengsara neraka.

Dusta adalah antara sifat mazmumah yang wajib ditinggalkan kerana ia amat dilarang Allah berdasarkan firman-Nya:

“Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.”

(Surah asy-Syu’araa: 221-223)

Demikian juga dengan penegasan Allah ini:

“…Serta jauhilah perkataan-perkataan dusta.”

(Surah al-Hajj: 30)

Berpandukan ayat Allah itu, jelas bahawa perbuatan berdusta sangat ditegah Islam.  Sesungguhnya, berdusta dikategorikan sebagai dosa besar iaitu selepas dosa syirik (menyekutukan Allah) dan menderhakai ibu bapa. Ini seperti ditegaskan Rasulullah bermaksud:

“Nabi pernah menyatakan berkenaan dosa-dosa besar. Kata baginda, menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berdusta.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Jadi, taraf dusta itu di tempat keempat dalam kategori besar. Namun manusia mudah lupa dan jarang peduli kepada dirinya sendiri mengenai dosa besar yang wajib dijauhi. Kita sangat prihatin dan peka kepada daging babi dan lebih melebihkan takut daging itu lebih daripada takutkan Allah. Demikian juga dengan rasuah. Tanpa ragu ada segelintir manusia bergelumang dengan dosa merasuah dan menerima rasuah. Masya-Allah, kita nampaknya boleh memilih dosa besar. Ada yang boleh dilakukan dan ada yang sangat takut. Fikir dan renungilah ayat Allah dalam al-Quran berkenaan dusta supaya lidah kita menjadi kelu untuk berbicara di luar batasan agama.

Sebenarnya bercakap dusta itu membawa seseorang mukmin bercirikan munafik. Hal ini jelas seperti sabda Rasulullah:

“Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka ia adalah orang munafik. Sesiapa (juga) yang memiliki salah satu daripada empat sifat tersebut bererti dia bersifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya. Empat sifat tersebut ialah apabila bercakap dia berdusta, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila pertikaian dia melampaui batas.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Demikian penegasan Rasulullah mengenai ciri munafik dan sifat suka berdusta itu satu daripadanya. Justeru, sama-sama kita hindari dengan memelihara lidah sebaik mungkin dengan tutur kata jujur dan bermanfaat.

Banyak impak negatif dusta terhadap seseorang insan. Antaranya, membawa punca rasa kurang senang atau kemarahan orang yang mendengarnya. Juga, si pendusta apabila kemudian terbukti segala tutur katanya dusta, ini akan menghilangkan kewibawaannya pada pandang orang lain. Misalnya jika dia seorang ayah dan kerap berdusta pada isteri dan anak maka lambat laun mereka bersikap kurang hormat sekali gus mengikis kualitinya sebagai ayah berwibawa. Jika dia pemimpin negara atau masyarakat tetapi katanya penuh dusta maka orang ramai tidak akan menghormatinya lagi sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan disokong.

Jika dia seorang peniaga dan urusan jualannya diselaputi dusta maka ia akan mendatangkan kesan buruk bukan saja kurang dipercayai pelanggan tetapi apa yang pasti Allah akan membalasnya dengan azab di akhirat.   Rasulullah bersabda:

“Keimanan seseorang itu tidak sempurna sehinggalah dia meninggalkan pembohongan sama ada semasa bergurau senda atau berbalah.”

(Diriwayatkan Abu Hurairah)

Jelas, seorang insan yang dapat mengawal dan memelihara lidahnya daripada mengucapkan kata dusta sebaliknya sentiasa menuturkan kata yang baik dan berfaedah maka dia tergolong dalam mukmin yang berakhlak mulia. Ingatlah, melalui lidah kita akan mendapat bahagia dan melalui lidah juga sengsara dunia dan azab neraka akan menimpa kita.

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 8, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: