PERSEDIAAN KEMBARA SUCI


Perjalanan mengerjakan haji atau umrah ke tanah suci tidak sama dengan perjalanan ke mana-mana destinasi di dunia ini.  Bukan saja kerana buminya yang penuh barakah atau di sana ada Baitullah dan bersemadinya jasad Rasulullah S.A.W., tetapi kerana ia pengembaraan kerohanian.  Ia perjalanan yang jauh lebih agung, lebih getir dan beranjau daripada perjalan fizikal kerana kita bukan sekadar membawa jasad (badan), malah membawa hati (rohani) untuk tunduk serta patuh kepada Allah S.W.T..

Sebaik saja kaki mula melangkah keluar dari rumah uyntuk ke Tanah Suci, beriringan dengan doa dan air mata keluarga serta sanak saudara, lidah mula memujiNya sambil hati merintih meruntun keampunan, pertolongan dan kasih sayang daripadaNya.  Itulah tanda hati atau rohani kita mula mengembara menuju kepada Allah S.W.T..

Pengembaraan ini bukan perjalanan selesa dengan harapan segala kemudahan sudah disediakan untuk kita.  Ia juga bukan perjalanan untuk bergembira dan bersuka ria.  Ia adalah perjalqan menuntut pengorbanan, menagih keringat dan meruntun perasaan.

Mengembara ke tanah suci mesti dimulai dengan niat ikhlas dan hati yang bersalut dengan iman dan takwa serta dihiasi segala sifat mulia (mahmudah) antaranya, tenang, sabar, bertolak ansur, merendah diri, murah hati, berbaik sangka, bersyukur, reda dan tawakal.

Dua sebab utama kegagalan menyempurnakan kembara suci ini ialah kejahilan dan kedegilan.  Kita mahu ibadah haji dan umrah diterima di sisi Allah S.W.T., bukan sekadar sah sahaja.  Haji yang kita kehendaki ialahb haji yang maqbul (diterima) dan mabruk (diberkati) oleh Allah S.W.T..  Bila ada maqbul dan mabruk, maka baru boleh mencapai haji mabruru dan haji yang mabrur inilah yang akan membawa ke syurga.  Oleh sebab itu, ingatan kepada setiap pengembara, persiapan pengembaraan yang penting ini memerlukan persediaan fizikal dan mental.  Antara senarai persiapan yang sering dibincang dan diperingatkan oleh ulama ialah:

  • Niat yang ikhlas,

  • Persiapan ilmu yang cukup,

  • Bertaubat dari segala dosa,

  • Mendapat keredaan ibubapa, keluarga dan guru,

  • Menyemak semula punca perbelanjaan,

  • Mendapat teman dan rakan yang layak,

  • Memperbanyakkan doa dan zikir sepanjang perjalanan ke tanah suci.

Persiapan kembara suci ini menuntut persiapan diri dan ilmu kerana matlamat pengembaraan ialah menunaikan ibadat yang ditentukan syarat serta caranya atau yang kita sebut sebagai Manasik Haji.  Selain persiapan menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah, perlu diketepikan jauh-jauh segala sifat keji (mazmumah) seperti pemarah, sombong, mementingkan diri, bangga diri, keluh kesah, bakhil, mengumpat, mengukit, berbantah dan buruk sangka.  Hanya dengan cara ini sahaja, haji kita akan diterima Allah S.W.T..  Di bumi suci itu kelak, kita mungkin diuji dengan bermacam ujian oleh Allah S.W.T..  Maka berdoalah semoga kita tabah menghadapinya dan dianugerahi haji mabrur.  Inilah darjat tinggi lagi mulia di sisi Allah S.W.T.

Haji mabrur tidak diperoleh dengan jalan mudah.  Terlebih dulu kita diuji dengan segala kesusahan dan kepayahan.  Setiap manusia akan diuji dengan pengorbanan harta yang banyak, selain terpaksa menempuh perjalan jauh lagi memeritkan.  Dalam pengembaraan ini, kita adalah tetamu Allah S.W.T. dan sebagai tetamuNya, apakah yang hendak kita persembahkan kepada Allah S.W.T. serta apa pula yang ingin kita mohon daripadaNya.

Ketika mandi dan membersihkan diri sebelum memakai ihram, kita hendaklah berniat membersihkan diri daripada segala dosa.  Waktu memasuki kota Makkah, kukuhkan niat untuk menjadikan Allah S.W.T. sebagai satu-satunya tujuan hidup kita.  Ketika tawaf mengelilingi Kaabah, hati diniatkan seolah-olah berjalan menuju keredaan Allah S.W.T..  Ketika Sa’ie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, ibarat antara mengharap pada rahmat Allah S.W.T. dan takut pada azabNya.  Ketika Wukuf di Arafah pula, hati dibawa dekat denganNya.  Dia yang Maha Mengetahui perbuatan dan hati nurani kita.

Ketika menuju ke Muzdalifah dan memungut batu di sana, hati berniat untuk membuang jauh segala macam maksiat dan kejahilan.  Kedtiaka tangan melontar jamrah, kita hakikatnya melontar musuh turun-temurun iaitu iblis dan sekutunya yang terlaknat.  Tatkala rambut dicukur, seolah-olah kita membuang daripada diri kita segala perkara keji dan kita memohon keluar daripada dosa seperti ketika lahir daripada perut ibu.

Demikianlah seharusnya rohani kita dibawa mengembara.  Namun, kita tidak akan mampu melakukannya tanpa petunjuk dan pertolongan Allah S.W.T..  Justeru, kepadaNya kita memohon petunjuk, perlindungan dan keampunan.

Lalu kepadaNya kita mengharap, “Ya Allah, iman dan keyakinan kami hanya secubit jika hendak dibandingkan dengan iman dan keyakinan NabiMu Ibrahim.  Baginda tabah meninggalkan isteri dan putera kesayangannya ditengah padang pasir yang kering dan tandus semata-mata kerana sangat akur dengan perintahMu”.

“Ya Tuhanku, kecekalan dan tawakal kami tidak setanding dengan kekasihMu.  Jadikanlah perjalanan yang bakal kami tempuh ini benar-benar satu perjalanan yang Engkau redha dan Engkau bantu.  Mungkin inilah sekali dalam seumur hidup kami, Engkau rezekikan kami dengan peluang keemasan ini”.

“Jadikanlah ia sebaik-baik kesempatan yang kami dapat manfaatkan di bumi berkat tempat bersemadi para kekasihMu.  Pimpinlah kami dan suluhilah laluan kembara kami ini. Amiin”.


~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 23, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: