CABARAN MENJANA EKONOMI UMAT ISLAM


Dalam al-Quran dinyatakan bahawa nabi Muhamad SAW diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam, sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-anbiyaa’ ayat 107. Justeru itu Islam memberi tumpuan kepada usaha menyusun diri, masyarakat dan negara semoga memperoleh kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan sehingga wujudnya sebuah masyarakat Malaysia yang peradaban tinggi.  Bagaimanapun salah satu halangan  yang menghalang  bagi tercapainya matlamat itu ialah kemunduran ekonomi masyarakat Islam.

Di negara kita, umat Islam mewakili 60% daripada penduduk tetapi mereka hanya menguasai 20% sahaja daripada kekayaan ekonomi negara.  Di peringkat antarabangsa umat Islam hanya menyumbang 5 peratus kepada ekonomi dunia.  Kebanyakan negara Islam jatuh ke dalam kategori negara kurang membangun.  Oleh itu, usaha untuk memajukan ekonomi negara adalah usaha keagamaan.

Menurut laporan terakhir Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), 40% daripada isi rumah di Malaysia memperoleh pendapatan secara purata RM1,500 ke bawah sebulan dan mereka tergulung dalam kategori dipinggir kemiskinan. Kesan daripada kemiskinan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, mudah terjebak dalam kegiatan sosial dan boleh membawa kekufuran.

Dalam usaha untuk melonjakkan imej, maruah dan harga diri umat Islam sebagai pembawa rahmat ini, maka Islam menggalakan umatnya berkerja bersungguh-sungguh secara berkesan untuk meningkatkan kekuatan ekonomi  dan kekayaan.

Kemajuan ekonomi justeru itu menjadi agenda penting bagi mengurangkan kemiskinan dan menaikkan taraf hidup ummah yang rendah.  Dalam usaha mencapai niat suci dan murni ini menjelang tahun 2020, kerajaan telah melancarkan Model Ekonomi Baru. Model ini diperlukan sesuai dengan hakikat ekonomi semasa untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020 dan meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Ke arah pencapaian tersebut kerajaan telah melakukan perubahan yang besar kepada dasar negara.

Salah satu keberhasilan utama Model Eonomi Baru ialah melonjakkan kadar pendapatan perkapita rakyat kepada RM49,000 setahun  atau kira-kira RM 4,000 sebulan. Pendekatan untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi sangat tepat dengan senario semasa.

Kebijaksanaan dan keikhlasan kepimpinan negara melaksana tindakan tersebut adalah jalan terbaik untuk menyelamat ekonomi negara pada suasana semasa.  Matlamat akhirnya ialah tiada rakyat negara ini yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat pelbagai peluang secara saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara.

Model Ekonomi Baru merupakan satu cabaran kepada orang Islam supaya mengubah sikap dari bekerja sekadar cukup makan kepada berusaha bagi mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi agar mereka dapat berada diarus perdana ekonomi negara. Maka dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa pihak kerajaan begitu serius dan komited dalam membangunkan negara untuk masa depan rakyat.

Setiap negara dan bangsa sentiasa bersaing untuk memaju kekayaan dan kekuatan ekonomi. Kita amat bersyukur dengan usaha kerajaan kebelakangan ini sehingga melonjakkan negara kita mampu bersaing dengan negara luar dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam Laporan Tahunan terkini Daya Saing Ekonomi Dunia 2010 yang diterbitkan oleh Institute For Management (IMD)  telah menyenaraikan negara kita di tangga ke  sepuluh teratas negara paling berdaya saing di dunia. Tahun lepas kita berada di tangga ke lapan belas.

Kejayaan ini adalah hasil usaha kerajaan dan rakyat dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan yang berjaya menarik pelabur luar dan dalam negara untuk sama-sama menambah baik ekonomi negara . Kejayaan ini juga menjadikan negara kita dipandang tinggi oleh negara-negara lain serta menjadi contoh kepada negara-negara Islam.

Menurut laporan Unit Perancang Ekonomi Negara, Jabatan Perdana Menteri prestasi suku pertama ekonomi negara kita bertambah baik dengan pertumbuhan ekonomi empat bulan pertama tahun ini pada 10.1% berbanding pada tahun 2009 pada kedudukan negatif 1.7% .

Dalam menyusun dan mengendali kegiatan ekonomi, adalah diingatkan bahawa kita perlu berwaspada, agar ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan – iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat.

Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Kita juga perlu mengambil contoh sifat-sifat usahawan Islam yang berjaya seperti  Abdul Rahman bin Auf, Zubair Ibnu A’wwam, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Mereka bukan sahaja menjadi usahawan yang berjaya tetapi mereka turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dan pengembangan dakwah Islam. Oleh itu kebijaksanaan mereka mengenal pasti peluang ekonomi dengan disertai amalan etika dan keperibadian para sahabat tersebut perlu dicontohi oleh pentadbir, peniaga dan pengusaha pada hari ini.

Tetapi malangnya terdapat segelintir umat Islam yang memandang remeh dan menganggap bahawa usaha memaju dan mengukuhkan ekonomi tidak penting dan bukan satu lapangan yang dituntut serta tidak ada hubungkait dengan agama.  Ini merupakan satu tanggapan dan pemahaman yang salah, kerana Islam adalah suatu agama yang mementingkan kepada kehidupan dunia.  Kehidupan di alam akhirat adalah penerusan daripada alam dunia.  Tidak akan adanya akhirat jika tidak adanya dunia.  Justeru urusan keduniaan hendaklah di susun menepati ajaran al-Quran dan al-Hadis.

Kesimpulannya, marilah kita semua menginsafi dan menyedari, bahawa umat yang bertakwa dan maju yang mana mereka bebas dari kemiskinan akan menjadi umat yang kuat, bangsa yang  disegani, dihormati dan mempunyai harga diri yang tinggi. Dengan demikian sekali lagi mimbar menyeru marilah kita berjihad memajukan status ekonomi diri dan negara dengan mengambil peluang dan merebut kesempatan yang disediakan dalam pendekatan Model Ekonomi Baru ini. Jika kita gagal mengambil peluang keemasan ini maka orang lain akan memperolehi manfaat dan kita akan terus tinggal kebelakang.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Jun 1, 2010.

2 Respons to “CABARAN MENJANA EKONOMI UMAT ISLAM”

  1. terima kasih atas perkongsian..mintak izin untuk dapatkan maklumat ini.

    semoga Allah membalas jasa tuan. amin.

  2. TERIMA KASIH DI ATAS TULISAN TUAN,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: