JANGAN KETEPIKAN MUAMALAT KERANA IBADAH


Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dalam satu kisah di mana seorang sahabat melewati sebuah lembah yang bermata air yang jernih sehingga mempesonakannya. Lalu dia berfikir untuk mengasingkan diri daripada masyarakat dan ingin menghabiskan masa untuk beribadah di lembah itu. Dia kemudiannya memberitahu hasrat tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Maka jawab Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah engkau lakukannya, kedudukan engkau di jalan Allah lebih utama daripada solat yang engkau lakukan di rumahmu selama tujuh puluh tahun.Tidakkah kamu ingin Allah mengampuni dosamu dan memasukkan kamu ke syurga. Berjuanglah di jalan Allah.”

(Riwayat Tirmidzi)

Adalah tidak tepat bagi sesiapa pun untuk menolak dunia atas alasan demi keutamaan hidup di akhirat atau menolak akhirat untuk hidup selesa di dunia. Inilah dua golongan manusia ekstrem yang menyempitkan keluasan, kesesuaian, dan keunggulan Islam.

Betapa pentingnya urusan muamalat sehingga dalam kitab-kitab hadis, mencatatkan bab ibadat hanya merupakan sebahagian kecil daripada seluruh hadis. Daripada dua puluh jilid Fath al-Bari, syarah Sahih Bukhari, hanya empat jilid berkaitan dengan urusan ibadah. Kenapa hari ini kebanyakan kita lebih menekankan persoalan ibadah daripada urusan muamalat.

Justeru, dikatakan bahawa ibadah yang bersifat kemasyarakatan lebih tinggi nilainya dibandingkan dengan ibadah berseorangan. Ibadah solat jemaah, solat Jumaat. Ibadah haji dan zakat mempunyai pertautan dari segi sosial. Ia bukan sekadar bersifat ritual.

Pemikiran yang memisahkan diantara dunia dan akhirat, pemahaman ibadah hanya dari perspektif yang sempit, tanggapan ilmu agama hanyalah yang berhubung langsung dengan ibadah khusus dan tidak mencakupi ibadah umum hendaklah dibuang demi kecemerlangan masa depan ummah.

Umat manusia seharusnya sedar bahawa perbuatan menyakiti jiran, memutuskan hubungan silaturrahim, merampas hak yang bukan milik kita, berbuat zalim sesama makhluk tidak dapat ditebus dengan urusan ibadah semata-mata. Malah selagi kita berdosa dengan makhluk tersebut, maka selagi itulah ibadah kita tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Hal ini dapat dilihat dalam satu peristiwa seorang yang banyak ibadah tetapi dia dimasukkan ke neraka kerana menganiayai seekor kucing dengan mengurungnya tanpa memberi makan sehingga mati kelaparan. Demikian juga sebaliknya seorang pelacur yang diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang kehausan di tengah-tengah padang pasir (maksud hadis riwayat Bukhari).

Seperti kata al-Syahid Sayid Quth bahawa umat Islam hari ini bertengkar dalam urusan ibadah seperti perbuatan bidaah dalam solat atau haji tetapi mengabaikan urusan yang lebih penting seperti ekonomi yang telah diambil oleh musuh-musuh Islam.

Syeikh Yusuf al-Qardhawi menyebut amal-amal baik dalam muamalat adalah satu ibadah sosial yang merangkumi perbuatan menyatukan kaum dhu’afa, mendamaikan pihak yang bertengkar, berfikir dan mencari ilmu serta meringankan penderitaan orang lain, adalah lebih besar ganjarannya daripada ibadah-ibadah sunnah.

Islam meletakkan kehidupan bermasyarakat sebagai kerja-kerja yang tidak diketepikan, bahkan lebih penting kerana pengekalan ummah dan penerusan mereka di dunia ini bergantung kepada kekuatan sosial ummah yang berkenaan.

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 24, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: