FALSAFAH IBADAT PUASA DALAM ERTI KESATUAN DAN KEKUATAN UMMAH


Agama Islam merupakan agama dinamik untuk umat manusia. Agama ini dimulai dengan gagasan Tauhid, iaitu keesaan Allah s.w.t, dan menjauhkan segala kefahaman syirik, menduakan Tuhan, atau mempercayai sesuatu yang membawa kepada syirik.

Agama Islam, dengan itu, adalah merupakan agama yang satu untuk semua umat manusia, dan umat yang beriman kepada agama ini dari segi akidah, syariah dan akhlaknya, iaitu umat Islam, adalah merupakan umat yang satu.

Kesatuan umat Islam pertama sekali dapat dihayati dalam amal ibadat yang difardukan ke atasnya, seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji, semuanya dilakukan dalam bentuk dan niat yang sama, tanpa mengira latar belakang bangsa, budaya, bahasa dan warna kulit.

Ibadat yang dilakukan di tanah suci Makkah al-Mukarramah umpamanya menunjukkan kesatuan umat Islam ini. Walaupun bilangan umat yang melakukan ibadat umrah atau haji, bertawaf, bersa’i dan lain-lain berjumlah berjuta-juta orang, tetapi semua umat Islam bersembahyang dan melakukan ibadat lain dalam bentuk dan niat yang sama, iaitu niat kerana Allah s.w.t, tawaf tujuh kali, sembahyang sama bilangan rakaatnya mengikut sembahyang fardhu yang dilakukan dan seterusnya melakukan segala rukun dan syarat ibadat itu dalam bentuk yang sama.

Dari sudut fizikalnya saja, kita dapat melihat persamaan ini, iaitu di dalam masjidul-haram ketika tiba waktu sembahyang, ketika bilal mengucapkan iqamah, maka setiap individu Muslim yang berada di dalam masjid akan bangun serentak mengadap kiblat dari penjuru mana sekali pun dia berada, menyusun barisan yang betul, lalu mengikut imam dalam takbir, rukuk sujudnya dan seterusnya mengakhiri sembahyang itu dalam masa yang ditentukan.

Semuanya ini dilakukan serentak dalam masa yang cepat, tanpa teragak-agak.

Kita yang melihat gambar umat Islam bersembahyang di sekeliling Kaabah dari udara, akan dapat melihat bagaimana saf-saf yang bulat kelihatan mengelilingi Kaabah dengan teratur sekali, yang kalau ditakdirkan akan dilakukan oleh umat lain tentulah mereka akan mengambil masa berhari-hari, atau berbulan-bulan bagi melakukan raptainya, untuk mengatur barisan itu dengan sempurna.

Inilah sebenarnya falsafah kesatuan umat Islam yang dilambangkan di dalam ibadat – ritual itu, sejak berabad-abad lalu, ketika agama Islam diturunkan Allah melalui Nabi terakhir Rasulullah s.a.w kepada umat manusia.

Namun falsafah ini tidak dapat dihayati sepenuhnya dalam aspek kehidupan umat Islam yang berjumlah lebah dari 1.4 bilion di dalam dunia pada hari ini. Tidak perlu ditegaskan di sini, kerana semua kita tahu tentang perpecahan umat Islam yang berlaku sekarang, termasuk ketika menentang musuh bersama, atau ketika menghadapi satu-satu isu mengenai umat Islam, malah seperti isu Palestin, Iraq dan lain-lain, umat Islam mengambil sikap yang berbeza-beza mengikut kehendak Kerajaan masing-masing, atau kepentingan sendiri.

Oleh hal demikian itu, bagi menyusun kesatuan umat Islam bagi satu jangka masa hadapan umat kita, semua Kerajaan Islam seharusnya berusaha memperbaiki diri sendiri, melalui kesedaran keagamaan ini dan menghayatinya di dalam semua kegiatan masyarakat dan pendidikan, agar makna kesatuan umat akan dapat difahami, dihayati dan dipraktikkan di dalam masyarakat umat Islam seluruhnya.

Kejadian dalam masyarakat Islam, yang dimanifestasikan dalam permusuhan sesama sendiri, pembunuhan, krisis mazhab, tidak wujudnya kerjasama perdagangan dan perniagaan, tidak mempunyai identiti dan jati diri sendiri, kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri, dan krisis politik dalam negara yang mengakibatkan kemunduran umat Islam, semuanya ini adalah merupakan krisis di dalam dunia Islam yang berterusan, dan kelihatan tidak akan berakhir dalam jangka masa yang singkat.

Kesatuan umat bukanlah hanya sekadar kesatuan dalam ritual dan ibadat khusus seperti yang ditunjukkan selama ini, tetapi kesatuan itu seharusnya menjelma dalam semua aspek kehidupan kita yang seharusnya menjadi matlamat kita untuk membangun kekuatan umat Islam di dalam semua aspek kehidupannya, iaitu kekuatan ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi, politik dan sebagainya.

Mungkin kita memerlukan masa yang amat lama untuk mencapai matlamat ini, dan hal itu pun mungkin tidak dapat dicapai sekiranya seluruh umat Islam tidak berusaha mencari jalannya bagaimanakah kesatuan ini dapat direalisasikan pada masa yang akan datang.

Oleh kerana segala-galanya haruslah bermula di dalam diri sendiri, maka kita di negara ini haruslah menyedari arti kesatuan ini, iaitu dengan memahami apakah maknanya kesatuan umat Islam di negara kita, dan bagaimanakah kekuatan umat dapat dipertingkatkan, apakah agenda pendidikan, ekonomi, ilmu pengetahuan dan politik yang seharusnya menjadi agenda perjuangan kita, tanpa menjejaskan kesatuan negara dan bangsa kita sendiri.

Pada masa kini kita sedang berpuasa Ramadan, maka semangat ibadat puasa ini juga haruslah dihayati, sejajar dengan semangat dan amal ibadat kita itu yang dijelmakan di dalam ibadat solat terawih, kejayaan menghadapi cabaran, kekuatan dan kekentalan azam dalam menjayakan ibadat puasa, maka demikianlah juga seharusnya keazaman dan kekuatan kita dalam menghadapi segala cabaran dalam kehidupan kita, demi membina kekuatan dan kesatuan umat dalam semua aspek dan bidang kehidupannya dunia dan akhirat.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di September 16, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: