MENDISIPLINKAN PELAJAR. APAKAH PERANAN KITA?


Perkembangan mutakhir telah memperlihatkan kepada kita akan gejala yang melanda negara ini berhubung dengan disiplin para remaja. Pelbagai pihak telah mengeluarkan hujah-hujah mereka untuk melepaskan diri daripada tuduhan kegagalan mendisiplinkan para remaja, terutamanya yang berada di bangku sekolah.

Rata-rata masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan fenomena keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Apakah pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah itu? Bagaimana pula peranan ibu bapa dan keluarga? Sejauh manakah keprihatinan pemimpin dalam soal ini? Bagaimana pula reaksi institusi agama dalam menanganinya?

Keruntuhan akhlak di kalangan remaja khususnya para pelajar dengan kewujudan kumpulan-kumpulan samseng di sekolah-sekolah sejak akhir-akhir ini cukup memilukan hati kita semua, kerana ianya menggambarkan betapa biadap dan runtuhnya disiplin dan akhlak segelintir daripada golongan remaja kita.

Kumpulan pelajar ini seolah-olah telah hilang pertimbangan diri dan kewarasan fikiran. Mereka bertindak sesuka hati dan perbuatan mereka terkeluar dari jangkaan kita yang waras. Kita juga tentu bersimpati dengan para guru di sekolah-sekolah yang terbabit apabila imej sekolah yang selama ini dianggap mulia, tempat mencurahkan ilmu bagi mendidik anggota masyarakat, telah menjadi mangsa segelintir pelajar yang masih terbelengu dengan perangai yang tidak bertamadun. Bagaikan pepatah ‘madu diberi, tuba yang dibalas.’

Segala persoalan berkenaan akan terjawab dengan mengkaji dan menilai kembali pengertian sebenar konsep pendidikan, tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak, semua patut insaf betapa kemerosotan akhlak dan moral pelajar serta generasi muda menandakan ada kesilapan pada bahagian tertentu pendidikan, sama ada formal atau tidak formal.

Sebelum dikaji konsep pendidikan, kita perlu sedar dan insaf bahawa pendidikan bukanlah tugas pihak tertentu, tetapi adalah amanah dan tanggungjawab semua – meliputi individu, ibu bapa dan keluarga, pemimpin masyarakat dan negara.

Setiap insan bertanggungjawab, bahkan wajib mendidik dirinya sendiri dengan mencari pelbagai cabang ilmu dan maklumat serta memilih pengalaman hidup yang positif bagi membentuk cara berfikir dan bertindak yang tepat dan dapat diterima oleh agama, budaya dan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang universal. Tegasnya, pendidikan adalah tanggungjawab setiap individu tanpa kompromi.

Dari sudut penakrifannya, pendidikan adalah “suatu proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada insan.” Prof. Syed Mohd. Naquib al-Attas mendefinisikan pendidikan sebagai “satu usaha atau proses menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia.” Dr. Abdul Halim el-Muhammady pula menyatakan bahawa ‘pendidikan Islam itu sebagai satu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, al-Quran dan al-Sunnah, pengalaman salaf al-soleh serta ilmuan muktabar dengan matlamatnya untuk melahirkan insan yang soleh.’

Sementara Imam al-Ghazali pula mengatakan “pendidikan itu ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik.” Secara umumnya, daripada pandangan-pandangan di atas kita boleh mengatakan bahawa pendidikan itu bersifat dalaman dengan bermatlamatkan melahirkan insan yang sempurna dan berakhlak mulia serta ianya proses yang mengambil masa yang panjang.

Walau apapun definisi yang diberikan, dalam memahami pengertian pendidikan, tiga perkara perlu diberi perhatian iaitu proses pendidikan, jenis ilmu dan konsep insan. Secara formalnya, proses pendidikan dilaksanakan dengan perantaraan pelbagai sistem atau peralatan canggih bagi menyalurkan ilmu dan maklumat.

Bagi golongan pendidik, terutamanya para guru mereka perlulah memiliki minat yang mendalam, kewibawaan ilmu dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan. Remaja sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak serius, apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun dalam perkara yang dianggap remeh seperti merokok, cara bercakap dan berpakaian. Rasa hormat kepada guru adalah antara syarat asas dalam memastikan kejayaan penyaluran ilmu dan nilai-nilai yang baik kepada para remaja.

Dalam konteks tidak formal pula seperti dalam institusi keluarga, ibu bapa perlu sentiasa menyingkirkan sifat negatif daripada menjadi amalan dalam rumah tangga. Bayangkan konflik jiwa kepada anak jika ibu bapa setiap hari menghantara anak ke kelas fardu ain tetapi si anak mengetahui ibu bapanya tidak pernah sembahyang atau cuma ke masjid seminggu sekali.

Pendeknya, untuk melahirkan generasi remaja yang berakhlak mulia memerlukan kepada penglibatan yang serius dari semua pihak. Tanpa kerjasama dari setiap pihak yang terlibat akan membantutkan usaha untuk mendisiplin remaja. Kita juga turut bimbang masa hadapan para remaja kini lebih-lebih lagi pada era globalisasi yang tiada lagi batas sempadan komunikasi yang menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.

 

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 6, 2011.

Satu Respons to “MENDISIPLINKAN PELAJAR. APAKAH PERANAN KITA?”

  1. Apakah cara untuk mendisplinkan pelajar? 0.oll

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: