“HARI KEKASIH” – INGATKAN KEKASIH ATAU PUJUKAN SYAITAN?


Setiap tahun, apabila munculnya tarikh 14 Februari, ramai remaja dan dewasa Islam menjadi begitu leka untuk meraikan hari itu sebagai “hari kekasih.” Pengendali restoran atau hotel turut memasang jerat, dengan mengadakan pelbagai tawaran menarik kerana sepasang kekasih memerlukan “privasi” bagi membolehkan mereka “memadu kasih” pada tarikh tersebut sehingga lupa bahawa keseronokan tersebut hanyalah sebuah jelmaan ritual syaitan.

Hari Memperingati Kekasih atau dikenali sebagai “Valentine Day” bukanlah berasal dari budaya Melayu dan Islam. Bahkan, pihak gereja Katholik pernah mengeluarkan larangan agar penganut agama itu tidak ikut terseret dari jelajah budaya kuno yang cuba dihidupkan kembali setelah pernah dijejali dengan kutukan dan kecaman masyarakat yang menciptanya. Malah, dalam Ensiklopedia Katolik menyifatkan Hari Memperingati Kekasih -Valentine’s Day –  berasal daripada ritual pemujaan syaitan (the satanic ritual) dan bersifat paganisme.

Kekasih dalam bahasa Inggeris diistilah sebagai “lover”, manakala kasih sayang tidak pula disamakan dengan “love”. Kata yang tepat bagi menggambarkan kasih sayang adalah “affection”, tetapi makna “love” yang digunakan oleh pekerja sosial di Thailand membawa maksud “melakukan seks”. Maka, bagi sesetengah orang apabila menyebut perkataan “love” maka secara jelas ia membuktikan kaitannya dengan seks. “Affection” membawa makna yang lebih dekat dengan perasaan, maka itulah “love” terus menerus membawa konotasi tindakan yang mengarahkan kegiatan seks. Atas sebab itulah hubungan seks disebut sebagai “making love.” Makanya, eloknya mereka yang memuja seks itu kita namakan sebagai “lover” sama ada secara bermusim –part time lover – ataupun pengamal tegar- sex maniac.

Apabila umat Islam dilarang menyertai sambutan tersebut, maka ada pihak yang membuat andaian bahawa halangan itu akan menyekat kebebasan individu dan privasi seseorang. Ada juga kalangan generasi Islam yang berfikiran liberal menganggap penyertaan dalam pesta sedemikian adalah satu usaha mengungkapkan kasih sayang antara pasangan apabila kebanyakan masa mereka tidak boleh bersama. Ada juga pertubuhan Islam memberikan amaran “jangan jadi polis moral” apabila ada pihak tertentu secara sukarela ingin mengawasi agar tidak berlaku festival maksiat sepanjang sambutan tersebut yang bakal berlangsung pada hari Isnin, 14 Februari 2011.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius kerana pada 15 Februari adalah hari cuti umum sempena tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Makanya, tentu ada pihak yang akan menganjurkan majlis “meraikan kekasih” secara berparti dan sebagainya. Malah, ada program yang disusun oleh pihak hotel dan restoran eksklusif dengan bayaran tertentu untuk menyertainya. Inilah yang dibimbangkan kerana sebahagian besarnya adalah pengunjung Melayu dan pasangan Islam.

Banyak orang menjangkakan bahawa larangan ke atas umat Islam meraikan sambutan tersebut hanyalah sebagai larangan semata-mata atas sebab ritual itu adalah berasal dari budaya pengamal agama Nasrani. Walhal mereka seharusnya fahaman, asas larangan utama dalam perspektif Islam ialah kerana penyertaan dalam konteks itu adalah salah, pergaulan bebas bukan muhrim adalah haram. Lelaki dan wanita yang belum berkahwin, meskipun pasangan terbabit bakal berkahwin tidak bermakna sekatan tersebut perlu dilonggarkan.

Kecenderungan lain turut dikesan melalui sambutan seumpamanya yang berlaku beberapa tahun lalu. Pasangan tertentu sanggup melakukan pembohongan sama ada kepada suami atau isteri semata-mata kerana ingin bertemu dengan kekasih gelapnya. Ini juga merupakan fenomena dalam masyarakat Melayu-Islam, yang ikut terpengaruh dengan konsep dan kebebasan tanpa had, hak individu dan privasi. Apabila berjaya dikesan oleh pihak berkuasa, masing-masing memberikan pengakuan bahawa si lelaki sudah pun beristeri, manakala si wanita sudah pun mempunyai cahaya dan masih bersuami.

Berdasarkan sifat itulah maka pemahaman Valentine Day sebagai “Hari Kasih Sayang” adalah tidak tepat. Semasa peristiwa yang menimbulkan akar sambutan itu berlaku ia bukan kerana meraikan kasih sayang. Peristiwanya mempunyai kaitan dengan pesta maksiat yang berlaku pada zaman Rom Klasik yang berbentuk pagan dan bersendikan hukum rimba. Ia merupakan ritual bangsa Rom purba, yang dikenali sebagai Lupercalian Festival.

Dalam kepercayaan mereka, bulan Februari dianggap sebagai bulan penuh cinta – love dan bukanaffection – dan dikaitkan dengan kemuncak kesuburan (berahi atau ghairah). Lupercalian atau Lupercus adalah nama yang diberikan kepada Dewa Kesuburan, iaitu Dewa Pertanian dan Dewa Ternakan. Masyarakat pada masa ini tidak mempunyai banyak kerjaya pilihan, iaitu sebagai petani ataupun penternak binatang (gembala). Dewa tersebut dikatakan sering menjelma sebagai seorang lelaki gagah dengan berpakaian separuh bogel, hanya menutupi sebahagian tubuhnya dengan kulit kambing. Mitosnya mempunyai hubung kait dengan kisah lagenda Remus dan Romulus, dua orang wira yang membuka kota Rom. Kedua-dua mereka tinggal di Bukit Palatine.

Masyarakat Yunani turut mempercayai bahawa bulan Februari, iaitu pada pertengahan bulan Februari sebagai bulan Gamelion. Di bulan tersebut, masyarakat Yunani akan keluar beramai-ramai untuk menyambut ulangtahun perkahwinan paling kudus sepasang dewa, iaitu Zeus dan Hera. Bulan tersebut membawa maksud bulan penuh ghairah dan bagaikan musim mengawan bagi sepasang dewa-dewa tersebut.

Lupercalia Festival diraikan antara tarikh 13 hingga 18 Februari. Dalam dua hari pertama (13 dan 14 Februari) diadakan sambutan besar-besaran untuk Dewi Cinta (Queen of Feverish Love) yang bernama Juno Februata. Pada 13 Februari, di awal pagi seorang ketua pendeta Rom akan mengetuai satu perhimpunan besar-besaran anak muda (lelaki dan wanita) melakukan pemujaan di kuil. Ketika itu, mereka dipisahkan dalam dua barisan, tetapi masing-masing mengarahkan pandangan kepada pentas pemujaan.

Setiap anak gadis diwajibkan menulis nama masing-masing dalam sekeping lembaran kecil. Lembaran-lembaran itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah bekas. Ketua pendeta yang memimpin upacara ritual akan mempersilakan setiap orang pemuda untuk mengambil masing-masing sekeping lembaran sehinggalah tidak sekeping lembaran pun yang akan berbaki. Setiap lembaran yang mengandungi nama gadis itu secara langsungnya menjadi pasangan pemuda yang memilih lembaran tersebut. Anak gadis yang “dijodohkan secara lembaran” itu diwajibkan melayani segala kemahuan pemuda yang “memilih lembaran”. Ianya terus berlangsung dalam tempoh setahun lamanya, iaitu sehingga tiba majlis seumpamanya pada tahun berikutnya.

Mereka tidak diikatkan dengan apa sekatan termasuk tautan tali perkahwinan. Pasangan tersebut bebas melakukan apa sahaja, termasuk bersekedudukan mulai malam menjelang tarikh 14 Februari hingga malam keesokannya. Mereka merayakan hari keterlanjuran itu sebagai “Hari Kasih Sayang”, yang secara maksudnya terseleweng. Seharusnya perayaan tersebut ialah “Hari Melakukan Maksiat” dan bukannya “Hari Kasih Sayang.”

Menjelang 15 Februari, setiap pasangan itu diwajibkan kembali ke kuil untuk melakukan majlis berdoa kepada Dewa Lupercalia. Dalam doa tersebut mereka meminta agar dijauhkan dari segala bahaya termasuk tidak diganggu oleh serigala liar dan roh jahat. Sepanjang upacara tersebut, pendeta yang memimpin majlis akan membawa seekor anjing dan dua ekor kambing untuk disembelihkan sebagai persembahan kepada Dewa Lupercalia atau Lupercus. Selesai melakukan ritual persembahan kepada dewa tersebut, semua yang hadir akan melaksanakan satu lagi ritual dengan meminum air anggur, yakni arak.

Selesai meminum arak, para pemuda akan mengambil secebis kulit kambing dan berlari-lari di sekitar kota. Upacara larian ini turut diikuti oleh anak gadis yang sudah ternoda. Mereka berebut-rebut untuk menggapai atau menyentuh kulit kambing yang dipegang oleh para pemuda. Sambutan itu menjadi hingar-bingar dan membingitkan suasana. Anak gadis cuba melakukan sebanyak mungkin sentuhan kulit kambing manakala si pemuda akan berlomba-lomba untuk menyentuh sebanyak mungkin akan gadis yang berebut-rebut untuk menyentuh kulit kambing itu. Kulit kambing yang dipersembahkan kepada dewa tersebut dianggap mempunyai daya tarikan ajaib, iaitu menjadikan anak gadis itu sebagai seorang yang subur, sentiasa muda dan yang lebih utama sekali ialah bertambah cantik. Nilai kecantikan dan tahap kesuburan seseorang anak gadis ditentukan oleh berapa banyak mereka dapat menyentuh kulit kambing.

Upacara tahunan itu amat dirindui oleh golongan muda Rom kerana para Dea dan Dewi yang disandarkan keinginan itu dilihat sebagai perkasa, cantik dan seksi (termasuk mempunyai ghairah seks). Mereka pula hadir dalam keadaan berpakaian yang paling minimu bagi membuktikan keserlahan kejantanan dan kecantikan diri masing-masing.Hal inilah menyebabkan ramai wanita moden sanggup menghabiskan wang kerana ingin cantik dan kekal cantik, mengenakan kosmetik berlebihan, mengambil suntikan vitamin c atau botox, mengadakan latihan kawalan kegemukan yang ketat, berdiet dan memasuki kelas-kelas kecantikan serta terus berazam menjadi sendat (slim). Turut rajin menyertai gynasiumm, atau gym. Perkataan gymnasium juga berasal dari perkataan Latin yang membawa maksud tempat membina badan.

Tradisi pemujaan terhadap keperkasaan dan kecantikan itu sebenarnya mempunyai kaitan yang rapat dengan pemujaan keterlaluan ke atas keinginan seks. Ritual itu tidak berakhir setelah runtuhnya empayar Rom, terus berkembang dan hidup apabila pihak gereja di bawah Kaisar Konstantin menyambung ritual tersebut dengan memasukkan nilai-nilai Kristian. Mereka menggantikan nama-nama perempuan dan lelaki dengan nama-nama Paus dan orang-orang suci. Bagi lelaki dimulakan dengan nama Saint, manakala perempuan ialah Santa. Mereka yang melakukan ini adalah Kaisar Konstantin sebagai Paus pertama dan Paus Gregory I. Pada tahun 496 M, Paus Gelasius I menjadikan Festival Lupercalian ini sebagai perayaan gereka dengan menghadirkan mitos Santo Valentino (St. Valentine’s). Tarikh 14 Februari diabil sebagai perayaan tersebut ialah kerana St. Valentine’s dilaporkan telah meninggal dunia pada tarikh tersebut. Peringatan “hari kekasih” pada tarikh tersebut adalah sebagai penghargaan di atas kematian Santo Valentino, yang dikatakan mengamalkan budaya sayang menyayangi, sehingga saat-saat kematiannya tiba. Erti kata lain, mungkin boleh diibaratkan sebagai belangkas.

Santo Valentino sanggup berkorban demi menjadikan cinta orang lain penuh kebahagiaan. Sehingga hari ini, kisah sebenar mengenai peribadi St Valentino masih belum dapat dibuktikan sebagai benar, malah pihak gereja sendiri gagal menemukan sebarang bukti “orang suci” itu benar-benar hidup. Ada yang lebih percaya bagai kisah St Valentino itu merupakan sebuah mitos yang sengaja direka-rekan oleh pihak gereja bagi mengingatkan betapa pentingnya kasih sayang dalam masyarakat Kristian ketika itu, kerana sebahagian besar lelaki terpaksa meninggalkan keluarga atas alasan kepentingan tertentu, termasuk menjadi anggota tentera dan sentiasa terlibat dengan peperangan.

Terdapat beberapa versi mengenai St Valentino. Versi pertama percaya bahawa orang suci ini adalah seorang yang beragama Katholik yang berani dan cekal. Beliau adalah yang paling berani bercakap di hadapan Kaisar Cladius II menolak penyembahan dewa-dewa, sebaliknya mengatakan bahawa Jesus adalah satu-satunya Tuhan sebenar. Tindak tanduk itu telah menyebabkan St Valentino akhirnya dipenjarakan, manakala penyokongnya secara rahsia menulis kata-kata semangat dan meletakkannya di jeriji penjara.

Dalam versi kedua , dalam kerakusan Kaisar Cladius II mempertahankan kuasa empayar Rom, beliau memerlukan anggota tentera yang kuat, mahir dan sanggup berkorban untuk kepentingan Rom.Pada pandangan Kaisar Cladius II,  mereka yang masih suci iaitu pemuda yang belum menyentuh wanita adalah anggota tentera yang kuat. Wanita telah direndahkan moral oleh Kaisar Cladius II kerana setelah disentuhnya, lelaki terbabit dikatakan tidak lagi kuat dan boleh menjadi seorang anggota tentera yang hebat.

Atas kepercayaan tersebut, Kaisar menitahkan syarat utama menjadi tentera ialah pemuda yang tidak pernah menyentuh wanita. Ramai yang rasa terkilan dengan arahan tersebut. St. Valentino dan Santo Marius menentang arahan Kaisar Caldius II secara tersembunyi. Ketika itu, bersekudukan antara paderi dan biarawati sudah pun menjadi budaya di sebahagian gereja, namun tidak ditentang oleh kedua orang suci itu. Orang-orang suci di gereja juga diberitakan melakukan perkara yang sama dan ada ketikanya mengamalkan seks sejenis

Kedua tokoh tersebut terus melakukan upacara perkahwinan pasangan, walaupun dilarang oleh Kaisar. Kedua orang suci itu kemudiannya dipenjarakan dan kemudiannya dijatuhkan hukuman mati. Santo Valentino dihukum mati pada tanggal 14 Februari.

Menurut versi ini lagi, Santo Valentino jatuh cinta dengan anak gadis seorang pekerja penjara. Cintanya mendapat balasan dan anak gadis pegawai penjara tersebut seringkali mengunjunginya sehinggalah hukuman mati itu dilaksanakan. Hari tersebut kemudiannya dimasukkan dalam kalendar perayaan gereja, tetapi pada tahun 1969 ianya dihapuskan. Walaupun telah dihapuskan dari perayaan gereja, sambutan Hari Valentine tetap diteruskan hingga kini.

Yang menjadi masalahnya ialan anak-anak muda Islam turut ikut sama. Mitos pemberian bunga ros oleh pasangan kekasih sebagai “kasih sayang” juga tidak boleh diterima oleh akal yang sihat kerana dalam Islam, kasih sayang itu adalah amalan budaya. Setiap orang Islam adalah bersaudara, maka setiap orang Islam adalah sentiasa diminta untuk mengamalkan kasih sayang sepanjang masa, bukan hanya sekadar hari-hari tertentu.

Islam meletakkan kehidupan dalam kasih sayang, kerana Islam adalah agama yang dilahirkan melalui budaya salam. Kesejahteraan hidup itu akan terus terbina melalui kasih sayang, tetapi tidak bermakna boleh berlaku dalam apa sahaja suasana. Antara lelaki mereka mestilah terlebih diikatkan dalam satu pekahwinan, melalui perkahwinan itulah nikmat sebenar berkongsi hidup, harapan dan keinginan bersama pasangan dapat dilaksanakan secara bermoral dan penuh kesantunan. Bahkan, dari situlah lahirnya zuriat yang disambut dengan penuh kegembiraan dan ditatang dengan kasih sayang.

Menyambut “hari kekasih” boleh menyebabkan gejala hamil sebelum nikah, sumbang mahram, zina dan pembuangan bayi akan terus berlaku. Ini kerana pasangan meraikan sambutan tersebut adalah atas dasar keinginan dan kecenderungan sementara, yakni terpengaruh dengan bisikan syaitan dan asakan kelompok yang ingin melihat generasi pelapis Islam rosak dan hancur nilai budaya Islam. Maka, usaha pihak berkuasa untuk menyekat, melarang ataupu mengambil tindakan ke atas pasangan yang meraikan sambutan “hari kekasih” adalah satu tindakan yang wajar kerana ingin mengelakkan daripada keterlanjuran dan perangkap nafsu.

Tulisan Oleh: Monosin Sobri

 

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 19, 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: